7 Sebab Mengapa Pasangan Pilih Nikah Di Sempadan, Alasan No.5 Pasti Buat Ramai Terkejut!

Rata-rata orang Malaysia memilih untuk nikah di negara sendiri. Melakukan proses adat, agama dan undang-undang negara berkenaan dengan perkahwinan yang telah ditetapkan. Namun begitu, ada juga segelintir yang memilih untuk nikah di sempadan.

Artikel pada kali ini, kami akan kongsikan kepada anda realiti perkahwinan di lakukan di sempadan dan mengapa ia menjdi trend golongan muda yang mahu kahwin “express” hari ini.

Apa itu nikah di sempadan?

nikah di sempadan

Nikah sempadan adalah pernikahan luar negara dengan melalui urusan pernikahan menggunakan khidmat jurunikah di negara tersebut.

Perkahwinan rentas sempadan seperti ini dijadikan jalan pintas untuk pasangan menghalalkan sesebuah hubungan.

Malah dikatakan pasangan Malaysia yang berkahwin di Thailand meningkat lebih dari 100 peratus dari lima pasangan kepada 10 hingga 15 pasangan sebulan sejak pintu sempadan negara dibuka.

Ia bermula dari pasangan dari golongan biasa sehinggalah dari kalangan orang kenamaan (VIP) sendiri.

Sebab nikah di sempadan popular dalam masyarakat kita

Bukan mudah sebenarnya proses untuk nikah di sempadan. Namun pernah atau tidak kita terfikir mengapa pasangan ini memilih untuk melalui jalan yang sukar itu.

Dan bahkan juga bukan sedikit pihak yang menyediakan tawaran perkhidmatan untuk membantu pasangan ini bernikah di sana. Berikut adalah sebab-sebab yang kami percaya ia kebanyakkan berlaku kepada mereka yang memilih untuk nikah di sempadan.

1. Suami ingin berpoligami tetapi tanpa keizinan isteri pertama

Suami pilih untuk nikah di sempadan oleh kerana dia ingin berpoligami tetapi bergelut dengan masalah untuk memperoleh persetujuan sekiranya dilakukan di Malaysia.

Dua isu yang terpalit dengan tindakan ini contohnya seperti mahkamah tidak beri izin untuk berpoligami ataupun suami sendiri ingin merahsiakan perkahwinan berikutnya daripada pengetahuan isteri pertama atau pun kedua-dua sekali.

2. Tidak mendapat restu orang tua

Pasangan yang mahu berkahwin dengan pilhan sendiri tetapi tidak mendapat restu keluarga khususnya orang tua terpaksa memilih untuk nikah di sempadan bagi memastikan keinginan mereka terealisasi.

Ia mungkin terjadi kerana salah satu keluarga atau kedua-dua pihak sekali tidak merestuinya. Ini disebabkan oleh pasangan yang tidak sekufu, orang tua mempunyai calon pilihan lain, atau sebagainya.

3. Sudah terlanjur atau mengandung

Pasangan muda yang sudah terlanjur dalam perhubungan dan pergaulan bebas sehingga mengandung mengambil keputusan untuk kahwin lari dan berjauhan dari keluarga kerana rasa kesal dan menyesal dengan perbuatan yang dia lakukan.

Ada ibu bapa yang mampu untuk menerima pasangan yang sudah terlanjur. Dan ramai juga yang tidak mahu menerimanya kerana dikatakan sudah mencemar nama baik keluarga.

Oleh kerana inilah, pasangan lebih suka untuk kahwin lari daripada menunggu untuk proses pernikahan atas undang-undang Malaysia.

4. Proses kahwin di sempadan lebih murah

Kahwin di sempadan dikatakan lebih murah kerana kita tidak perlu mengeluarkan bajet yang banyak atau melaksanakan majlis kahwin yang meriah seperti di Malaysia.

Bayaran pun hanya diperlukan semasa proses akad nikah, mas kahwin dan bayaran kepada mereka yang menguruskan pernikahan kita itu sahaja.

5. Proses kahwin di sempadan lebih mudah

Memang tidak dinafikan, proses nikah di sempadan lebih mudah berbanding di negara sendiri.

Nikah di Malaysia tidaklah terlalu rumit tetapi kita perlu melalui proses demi proses yang penting dan sudah ditetapkan oleh kerajaan bagi mengelak dari berlaku masalah di kemudian hari.

Berbeza dengan nikah di sempadan, biasanya proses hanya menitikberatkan soal yang wajib dan sah sahaja menurut agama seperti akad nikah, saksi, dan pengantin.

6. Sukar membuat keputusan dengan permintaan keluarga

Mungkin kedengaran agak pelik, tetapi percayalah ibu bapa moden hari ini ada sesetengahnya yang masih mengamalkan adat dengan memilih pasangan sendiri untuk disatukan dengan anak.

Lebih-lebih lagi jika anak kita itu perempuan, inilah yang menjadikan mereka mudah memberontak dengan keputusan dan permintaan keluarga.

7. Kos wang hantaran yang melambung tinggi

Wang hantaran dibayar berpandukan kadar gaji atau pendidikan seseorang. Itu sudah menjadi trend perkahwinan di Malaysia.

Namun ada juga sesetengah ibu bapa yang meminta hantaran yang terlalu tinggi hingga kadangkala tidak munasabah telah menambah beban buat si pasangan terbabit.

Bayangkan, si lelaki baru keluar universiti dan baru juga sahaja menapak dalam dunia pekerjaan. Bagaimana dia mahu mendapatkan wang hantaran itu dengan segera?

Risiko kahwin di sempadan yang ramai tidak tahu

Kahwin di sempadan memang sah di sisi agama tetapi dari segi undang-undang perkahwinan negara kita, ia tidak patut dilakukan kerana bakal menimbulkan pelbagai masalah di kemudian hari khususnya kepada wanita itu sendiri.

Mereka yang berkahwin di luar sempadan sebenarnya mencari masalah lebih besar apabila pulang ke Malaysia.

Masalah utamanya adalah pendaftaran perkahwinan. Mengikut sistem undang-undang keluarga Islam di Malaysia ialah satu-satu perkahwinan adalah sah apabila diiktiraf kerajaan apabila ia dilakukan mengikut hukum syarak dan mengikut undang-undang Islam di Malaysia.

Banyak pihak yang perlu pasangan ini lalui sebelum perkahwinan mereka disahkan oleh Mahkamah Syariah. Antaranya, pejabat agama, jabatan/bahagian pendakwaan, mahkamah syariah dan kembali semula kepada pejabat agama.

Tanpa pendaftaran perkahwinan, pasangan gagal dapat sijil nikah. Jika mereka dapat anak, mereka tidak dapat mendaftar kelahiran anak di bawah kategori anak sah nikah.

Begitu juga sekiranya pasangan ini bercerai, mahkamah tidak dapat mengesahkan perceraian sehinggalah sijil nikah ditunjukkan.

Perkahwinan adalah sesuatu jalan yang baik untuk menyempurnakan sebahagian iman pada diri kita. Justeru itu, pilihlah jalan yang terbaik dan dan tidak merugikan ramai orang.

Semoga perkongsian kami mengenai nikah di sempadan ini dapat memberikan anda informasi dan pengetahuan yang berguna.


Artikel Berkaitan:

Hannani Juhari
Author: Hannani Juhari

Leave a Reply

Scroll to Top