Hak Memilih Pasangan Hidup Ada Pada Lelaki dan Perempuan, Bagaimana Jika Calon Pilihan Tidak Dapat Restu Ibu Bapa?

Manusia melalui fasa kehidupan yang cukup unik dan istimewa. Dari lahir mempunyai keluarga iaitu ibu dan ayah, kini mahu pula membina keluarga sendiri dan mewujudkan satu generasi yang baru. Itulah lumrah dalam kehidupan yang akan dilalui oleh semua orang. Baik lelaki atau perempuan, masing-masing pastinya dalam diam menyimpan kriteria calon pilihan untuk dijadikan pasangan hidup. Namun tidak semua yang menjadi kesukaan kita itu turut disukai oleh insan yang membesarkan kita selama ini. Dalam hak memilih pasangan hidup, adakah anak diberikan 100% keputusan untuk menentukan masa depan hidupnya sendiri? Lalu bagaimana calon yang dipilih itu tidak mendapat persetujuan ibu bapa?

Wanita pun ada hak memilih pasangan hidup tau!

hak memilih pasangan hidup

Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud, “Seorang wanita dinikahi kerana empat (4) sebab: Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu merebut yang empunya agama, itulah pilihan terbaik.” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Sungguhpun hadis berkenaan memberikan panduan bagi para lelaki, namun dalam hal mencari jodoh wanita juga ada hak memilih pasangan hidup mereka sendiri.

Perkara ini dikatakan sendiri dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Apabila datang kepada kamu peminang yang engkau puas hati dengan agama dan kelakuannya, maka kahwinkanlah dia. Jika tidak kamu lakukan, akan berlaku fitnah di atas muka bumi, dan kerosakan yang berpanjangan.” – (Hadis Riwayat Tirmidzi).

Dalam hadis kedua ini, Rasulullah SAW berpesan kepada para wali sekalian sama ada bapa atau sebagainya supaya memilih calon suami untuk anak perempuan mereka dari kalangan orang yang memiliki agama dan akhlak yang mulia.

Ini penting sekali kerana calon suami yang mempunyai sikap-sikap mulia dan menjalani kehidupan berlandaskan agama dan panduan Al-Quran dan Hadis akan menjadi ketua keluarga yang baik. Dalam masa yang sama dia juga mampu untuk memelihara hak-hak dan kehormatan ahli keluarga, mendidik isteri dan anak-anak, serta menjalankan tanggungjawabnya dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.

hak memilih pasangan hidup

Sungguhpun demikian, wali perlu faham tiada paksaan sama sekali dalam menikahkan anak. Anak perempuan mempunyai hak memilih pasangan hidup mereka. Lebih-lebih lagi dalam peredaran dunia moden yang membawa wanita terus maju kehadapan ini, soal perkahwinan bukanlah sesuatu yang perlu dirahsiakan lagi.

Seorang wanita berhak untuk menyatakan pendapatnya, menyuarakan pendiriannya, dan menidakkan pilihan yang diberi kepadanya. Ini bermakna keputusan akhir kesemuanya ada di tangan wanita itu sendiri.

Bila hati sudah berkenan, maka dibawa rujuk dan berjumpa dengan ibu bapa masing-masing kerana itulah tuntutan agama dan budaya kita yang perlu dilakukan.

Mengapa ibu bapa tak suka calon dipilih?

Seorang ibu melarang kerana dia sayangkan anaknya. Seorang bapa pun memarahi kerana dia sayangkan anaknya. Ibu bapa kita sudah merasai dahulu asam garam kehidupan rumah tangga sebelum kita. Mereka sudah matang dalam memahami kepayahan dan liku alam rumah tangga, kerana itu mereka gemar untuk menasihati dan mengutamakan sikap berhati-hati.

Bukan mudah seorang bapa memberikan tanggungjawab menjaga anak gadisnya kepada lelaki lain. Tugas itu berat, amanah itu sukar. Belum tentu lelaki yang diamanahkan itu mampu untuk jaga anaknya seperti mana dia menjaganya dari kecil sehingga sekarang.

Kita mungkin mengenali pasangan kita dari hasil 3 tahun percintaan atau lebih. Tetapi seorang ibu dan bapa mengenali anaknya dari sejak tapak kaki mereka sebesar dua jari tangan.

Selain itu, perkahwinan ini juga bukanlah sesuatu yang melibatkan pasangan suami isteri sahaja, justeru ia melibatkan kedua-dua belah pihak keluarga. Keizinan dan keredhaan ibu bapa akan menjamin kebahagiaan dan kesinambungan hidup berumah tangga. Bukankah dari Abdullah bin ‘Amrin bin Ash RA, ia berkata, Nabi SAW telah bersabda:

“Keredaan Allah itu terletak pada keredaan kedua ibu bapa, dan murka Allah itu terletak pada murka kedua ibu bapa.” – (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Apa nak buat untuk pujuk ibu bapa terima calon pilihan?

Sekeras-keras hati ibu bapa, mereka juga manusia yang boleh dilembutkan dengan caranya. Bila kita berhadapan dengan situasi seperti ini, kita boleh:

1. Tunjukkan kesungguhan diri

hak memilih pasangan hidup

Serius, dengan apa yang kita perjuangkan. Dalam memperjuangkan hubungan dengan pasangan, kita perlu menyiapkan diri fizikal, emosi, dan rohani. Kukuhkan kewangan diri, ilmu agama, dan ubah sikap menjadi yang terbaik untuk kehidupan kita bersama.

2. Ambil hati ibu bapa pasangan

Biar orang tidak suka dengan kita. Biar seribu kali orang membenci kita. Tetapi jangan pernah kita meletakkan rasa benci yang sama kepadanya. Jadilah pasangan yang terbaik dan tidak termakan dek “kebencian”.

Kekerasan lawannya kelembutan. Hanya dengan kelembutan, hati yang keras akan tewas. Oleh yang demikian, jangan pernah berputus asa. Itu baru didunia kita ditolak oleh manusia. Lebih takut jika di akhirat kita ditolak oleh Allah SWT sebagai hambanya yang soleh.

3. Berdoa kepada Allah SWT agar dilembutkan hati dan bertawakal

Apa sahaja usaha yang kita lakukan, pasti semuanya akan berakhir dengan kita berdoa kepada Nya dan bertawakal iaitu menyerahkan segala-galanya kepada Yang Maha Esa. Meletakkan sandaran dan kebergantungan kita kepada Allah semata, pasti kita tidak kecewa walaupun keputusan itu pahit untuk diterima.

Duhai ibu bapa, permudahkan urusan anak kalian dalam membina keluarga. Bimbing mereka agar tetap istiqamah menjadi anak yang baik jangan kerana berselisih pendapat kalian bermasam muka. Duhai anak, hormati ibu dan bapa kerana mereka insan yang banyak berkorban untuk kita. Santuni mereka, jika pilihan itu memang ditakdirkan sebagai jodoh kita. Sehebat mana pun ujian, dia tetap jodoh kita.

Hannani Juhari
Author: Hannani Juhari

1 thought on “Hak Memilih Pasangan Hidup Ada Pada Lelaki dan Perempuan, Bagaimana Jika Calon Pilihan Tidak Dapat Restu Ibu Bapa?”

  1. Pingback: Ibu Tunggal Bawa Anak Kerja Yang Cacat Penglihatan, Jadi Rider Foodpanda Untuk Teruskan Hidup

Leave a Reply

Scroll to Top