4 Jenis Karakter Mak Mertua Menantu Susah Untuk Tambat Hatinya, Tips Untuk Atasi Rasa Give Up Dengan Keluarga Mertua

Dalam keseronokan kita mengambil keputusan untuk melangkah dalam satu fasa kehidupan yang baru, jangan kita lupakan tentang cabaran dan rintangan yang bakal datang setelah berumah tangga. Bak kata orang bila tinggal sebumbung, baru kita kenal luar dan dalam orang itu. Ini termasuklah dalam mengenal dengan lebih rapat hubungan mertua menantu. Ada sempadan dan batasannya yang perlu kita jaga baik dari segi tanggungjawab mahupun hal peribadi. Artikel ini akan mendedahkan kepada anda gambaran dalam ragam mertua menantu yang boleh diambil iktibar.

Konflik mertua menantu terjerat mencari kebahagiaan atau keredhaan

mertua menantu

Konflik perhubungan antara mertua dan menantu boleh memberi kesan yang teruk kepada sesebuah keluarga. Ini biasanya terjadi antara mak mertua dengan menantu perempuan, apatah lagi jika anak lelaki merupakan satu-satunya anak tunggal atau anak kesayangan dalam keluarga.

Walau bagaimanapun, setiap menantu perlu sedar. Apabila kita mengatakan yang kita menerima suami sebagai pilihan hati untuk membina rumah tangga bersama, automatik kita juga perlu menerima seluruh ahli keluarganya sekali. Ini wajar kerana persetujuan kita meliputi semua perkara yang berkaitan dengan suami.

Namun tidak dinafikan sungguhpun menantu sudah melakukan hal yang sedemikian masih timbul lagi isu-isu yang membabitkan hubungan antara mertua dan menantu.

Karakter mak mertua yang “panas” dengan menantu

Bagi yang baru berumah tangga atau mahu berumah tangga ini adalah antara 4 karakter popular seorang mak mertua yang mungkin buat kita rasa kurang selesa.

1. Mak mertua suka bersaing dan mudah cemburu

mertua menantu

Ini banyak terjadi bila mana anak lekaki atau pun suami kita itu adalah merupakan anak tunggal dalam keluarga, atau satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, atau yang paling manja di kalangan adik-beradik yang lain. Perhatian seorang ibu pasti mengarah lebih kepada suami kita.

Sungguhpun mak mertua menerima keputusan untuk anaknya mendirikan rumah tangga, tetapi besar kemungkinan dia masih belum rasa akan kepentingan berbuat sedemikian atas alasan, “Mak boleh jaga kamu” atau “Tak ada orang yang mampu jaga kamu macam mana mak jaga”.

Ini jelas berlaku kepada segelintir menantu sehingga menyebabkan mak mertua suka untuk bersaing dengan apa jua perkara khususnya dalam masakan dan dalam masa yang sama mudah cemburu serta berkecil hati.

Dalam menangani situasi ini, si isteri boleh berbincang dengan suami supaya apa-apa sahaja yang kita beli atau di mana juga kita pergi, ajaklah sekali ibu mertua. Ini boleh mengelakkan si ibu merasa tersaing dengan kehadiran si isteri dalam hidup anaknya.

2. Mak mertua suka campur tangan urusan rumah tangga

mertua menantu

Dalam sisi lain pula, ada juga mak mertua yang gemar campur tangan urusan rumah tangga. Persoalan seperti “Lepas kahwin nak duduk mana?” , “Nak berapa orang anak?”, “Nak pergi mana?” atau sebagainya menjadi isu kadang kala apabila ia kerap kali ditanyakan.

Ibaratnya seperti anak dan menantu tidak mempunyai ruang sendiri dan privacy untuk menentukan hala tuju rumah tangganya. Bukan itu sahaja, bahkan ada mak mertua yang sudi menjadi batu api dalam persengketaan rumah tangga anak sendiri.

Dalam menangani situasi ini, mak mertua, suami, dan menantu perlu duduk semeja. Suami perlu mainkan peranan untuk menasihati maknya sendiri untuk elak dari dia berkecil hati.

3. Mak mertua rasa kita bukan “menantu pilihan”

mertua menantu

Hari ini kahwin mengikut aturan keluarga masih berlaku lagi biarpun kita sudah melangkah ke tahun 2023 tidak lama lagi. Perkara ini terjadi mungkin kerana pengaruh lama atau adat yang biasa diamalkan oleh sesebuah keluarga sejak turun-temurun.

Atau mungkin, ada perangai dan tingkah laku menantu yang mak mertua tidak berkenan di hati. Dalam menangani situasi ini, apa yang perlu menantu buat adalah jalankan sahaja tugas kita sebagai isteri dan menantu yang naik supaya mak mertua dapat tengok sendiri antara kaca dan permata. Jangan kita menaburkan kebencian untuk melawan kebencian, tetapi sambutlah dengan kasih sayang dan kesabaran.

4. Mak mertua cerewet dan banyak songeh

mertua menantu

Yang terakhir, mak mertua mempunyai sikap cerewet dan banyak songeh. Bagi menantu yang pernah atau mempunyai pengalaman memasak bersama mak mertua di dapur, anda pasti perasan perkara ini.

Biasanya yang mudah kita kesan perangai mak mertua mula cerewet apabila melibatkan masakan, pakaian, kebersihan, dan penampilan. Jika teguran atau kritikan itu baik dan membina maka kita ambillah sebagai pelajaran. Namun jika sekadar kritikan yang hanya mengeji dan menghina, jika boleh berbincang dengan suami untuk duduk di rumah sendiri.

Kehadiran menantu dalam keluarga sepatutnya menjadi kegembiraan dan kebahagiaan kepada sesebuah keluarga. Mak mertua dan menantu itu adalah rezeki yang Allah kurniakan kepada orang yang sudah berkahwin. Lumrah kehidupan pasti kita tidak lari dari berlaku selisih faham atau konflik antara mertua menantu. Namun, janganlah disebabkan hal kecil kita menjadi sebuah keluarga yang dulunya bahagia sekarang berpecah belah.

Pesanan buat bakal-bakal pengantin di luar sana atau mereka yang masih belum berumah tangga, berdoalah dari sekarang agar diberikan mertua yang baik kepada kita. Semoga dipermudahkan segalanya.


Artikel Berkaitan:

Hannani Juhari
Author: Hannani Juhari

Leave a Reply

Scroll to Top