Hukum Kenduri Kahwin Bagi Majlis Pihak Lelaki dan Perempuan, Tanggungjawab Awal Yang Ramai Orang Terlepas Pandang

Membuat perancangan sebuah majlis perkahwinan bukanlah satu hal yang mudah. Banyak persediaan yang perlu kita lakukan baik sebelum, semasa, mahupun selepas majlis itu berlangsung. Dalam masa yang sama, banyak juga perkara yang perlu sama-sama kita bincangkan iaitu termasuklah dari segi kos perbelanjaan, tempahan pakej perkahwinan, barang perkahwinan dan sebagainya.

Sebelum kita merancang majlis tersebut dengan lebih jauh, apa kata kita fahami dulu hukum kenduri kahwin yang mungkin ramai orang tidak peka soal ini.

Apa itu walimatul urus?

Perkataan walimatul urus itu diambil dari kata “walmun” yang beerti perhimpunan, kerana pasangan suami isteri pada ketika itu berkumpul seperti mana yang dikatakan oleh Imam Az-Zuhri dan selainnya.

Dari segi bahasa walimatul urus merupakan kenduri atau jamuan yang diadakan untuk meraikan sebuah perkahwinan. Manakala dari segi istilah pula, ia adalah sebagai tanda pengumuman (majlis) untuk pernikahan yang menghalalkan hubungan suami isteri dan perpindahan atas kepemilikan.

Galakan untuk mengadakan majlis perkahwinan ini ada diriwayatkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa Abd al-Rahman bin ‘Auf telah berkahwin. Lalu Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

‏ أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ

Maksudnya: “Hendaklah kamu melakukan majlis perkahwinan sekalipun dengan seekor kambing.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Asal bagi hukum kenduri kahwin adalah suna muakkad. Meskipun begitu, sebahagian ulama mempunyai perbezaan pendapat yang mengatakan bahawa majlis perkahwinan merupakan tanggungjawab suami iaitu pengantin lelaki.

Manakala sebahagian lagi menyatakan bahawa urusan majlis perkahwinan adalah merupakan tanggungjawab keluarga mertua.

Hukum kenduri kahwin bagi pengantin lelaki

hukum kenduri kahwin

Hukum kenduri kahwin untuk pengantin lelaki adalah sunat. Hal ini bertepatan dengan pendapat dari Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Syathiri.

Beliau berkata, “Para ulama berpendapat bahawa walimah disunatkan kepada suami (pengantin lelaki). Melainkan sebahagian ulama berpendapat bahawa ia disunatkan dengan seruan yang umum (iaitu tanpa dikhususkan kepada sesiapa), bagi tujuan menzahirkan kegembiraan dan keseronokan.”

Beliau turut menukilkan pendapat dari Syeikh Daud al-Zahiri yang menyatakan bahawa walimah itu wajib ke atas suami. Berdasarkan perintah Nabi S.A.W kepada Abdul Rahman bin ‘Auf.

Manakala para ulama Syafi’eyyah meletakkan arahan tersebut kepada hukum sunat (iaitu sunat bagi suami melakukan walimah). – (Rujuk Syarah Yaqut al-Nafis, Muhammad bin Ahmad al-Syathiri, Hlm. 597).

Hukum kenduri kahwin bagi pengantin perempuan

hukum kenduri kahwin

Hukum kenduri kahwin untuk pengantin perempuan adalah harus. Ini bermaksud, majlis boleh sekiranya mahu diadakan atau tidak diadakan, ia tidak menjadi masalah sama sekali.

Pihak pengantin perempuan yang mahu mengadakan majlis walimah sendiri ini jelas akan menyebabkan terlaksana sudah hukum sunat majlis itu kepada pengantin lelaki.

Walimah cara Rasulullah SAW

Berdasarkan daripada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu Anhu, beliau menjelaskan:

Abdul Rahman berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku baru sahaja bernikah dengan seorang wanita dengan mahar satu nawat emas (emas sebesar biji kurma).” Rasulullah SAW berkata kepada Abdul Rahman: “Adakanlah walimah walau pun hanya dengan menyembelih seekor kambing.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah telah memerintahkan ‘Abdurrahman bin ‘Auf supaya mengadakan kenduri walimah. Walaupun begitu, walimah tidaklah semestinya dilakukan dengan seekor kambing, tetapi ia memadai dilakukan bersesuaian dengan kemampuan seseorang.

Majlis kahwin biar sederhana, jangan dahulukan adat daripada agama

Mengulas tentang trend hari ini yang menjadi kelaziman ramai pengantin baru di negara kita yang banyak kali mengadakan majls perkahwinan iaitu seperti majlis kahwin pihak perempuan, majlis bertandang menantu dan sebagainya ianya tidaklah menjadi kesalahan.

Ia akan kembali kepada hukum asalnya iaitu harus, selagi mana tidak berlaku pembaziran dan israf (berlebih-lebihan). Ukur baju biar dibadan sendiri sesuai dengan kemampuan diri masing-masing.

Ibu bapa tidak wajar untuk mendesak anak dan menantu untuk mengadakan majlis besar-besaran sekiranya mereka tidak mahu atau tidak mampu. Islam itu sangat mudah dan tidak membebankan.

Justeru itu, kita sepatutnya tidak perlu untuk menyukarkan tuntutan yang wajib menjadi lebih “payah” untuk dibuat.

Diharapkan dengan perkongsian mengenai hukum kenduri kahwin ini, pembaca khususnya bakal-bakal pengantin baru di luar sana dapat menimba ilmu pengetahuan yang bermanfat untuk diaplikasikan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

Biar bersederhana, asalkan majlis perkahwinan kita itu mendapat berkat dan keberkatan oleh Nya.


Artikel Berkaitan:

Hannani Juhari
Author: Hannani Juhari

We will be happy to hear your thoughts

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart