Posted on: September 23, 2020 Posted by: Fadhilah Comments: 0

Topik perbincangan membabitkan poligami seringkali menjadi pendebatan kebanyakan kaum wanita. Mereka berpendapat, walaupun keputusan poligami terletak di tangan suami, hak-hak sebagai isteri perlu diperjuangkan secara adil.


Peguam, Roslina Sabiyah menerusi Facebooknya memberikan penjelasan lanjut apa yang perlu dilakukan isteri jika suami menyatakan hasrat mahu berkahwin lagi.

Apa nak buat jika suami nak poligami?

Apa nak buat jika tau suami nak berpoligami? Wanita.. ketahuilah hak anda.Orang perempuan ni kalau ditanya, macamana kalau suami nak kahwin lain? Izinkan tak? Nak jawab tak boleh, takut dikatakan menolak hukum pulak kan..

jadi kebanyakannya akan jawab secara berlapik. Boleh.. tak ada masalah.. tapi dengan syarat! Tiap-tiap bulan bagi duit nafkah RM5,000-RM10,000 kepada isteri. Sediakan rumah banglo sebijik. Sediakan kereta mewah sebijik. Tanggung semua keperluan isteri dan anak-anak dari hujung rambut sampai hujung kaki. Isteri dah tak payah kerja lagi untuk bantu suami.. yelah bila suami nak kahwin lain kan maksudnya dia dah mampu kan?

Kalau suami sanggup sediakan semua tu, tak kisahlah dia nak kahwin berapa pun kahwinlah. Macam biasa je dengar dialog tu kan. Haa.. amacam? Ada berani? Cabar si isteri yang sebenarnya tengah memendam rajuk, geram dan marahnya dalam hati.

Wahai para isteri.. memang tak ada siapa pun kalau ditanya tentang poligami, akan rela hati menerimanya. Ia memang madu yang manis untuk suami tapi menjadi racun yang pahit bagi isteri apatah lagi kalau si suami memang jenis yang culas bab tanggungjawab dalam perkahwinan yang sedia ada.

Maka sebab itu si isteri memberikan syarat-syarat sebegitu kerana tahu si suami tidak akan mampu memenuhinya.Tetapi tahukah wahai isteri? Izin anda tak diperlukan pun untuk suami anda berkahwin lagi. Syarat-syarat tersebut tidak langsung menakutkan mereka malah boleh menjadi penyebab semakin banyaknya kes-kes suami kahwin senyap-senyap di luar negara. Taktik anda tu dah lapuk dan tak memberi apa-apa manfaat pun pada isteri pertama yang bakal dimadukan dan pada anak-anak yang bakal menerima ibu dan adik-beradik tiri.

Isteri perlu tahu tentang hak mereka

Wahai para isteri.. kalau kita biarkan diri bergelut dengan emosi kita akan kalah. Tapi sebaliknya pertahankanlah hak anda dan anak-anak dengan ilmu. Apa yang anda boleh buat dalam keadaan yang sangat menguji kasih sayang dan kesetiaan dalam rumahtangga? Di sini saya kongsikan tips-tips apa yang para isteri perlu tahu tentang hak mereka :

1) Sediakan emosi untuk menerima kemungkinan suami akan berkahwin juga walau dilarang. Cemburu dan marah itu normal. Sedangkan Saidatina Aisyah r.a juga cemburu bila Rasulullah s.a.w. berkahwin lain. Ambillah masa selama mana pun untuk tenangkan diri. Biarlah masa yang menyembuhkan luka.

2) Sediakan perbincangan yang terbuka untuk suami. Kadang-kadang sikap isteri sendiri yang menyebabkan suami takut nak berlaku jujur. Mana yang lebih sakit? Suami yang dah bertahun-tahun berkongsi hidup dengan kita dan dia berterusan menipu kita di belakang atau dia bersikap jujur dengan menyatakan sesuatu yang membuatkan kita sakit saat mendengarnya? Percayalah.. ubat juga pahit. Lama-lama rasa sakit itu akan pulih juga walaupun akan meninggalkan parut.

3) Ini yang paling penting. Nasihatkan suami untuk buat permohonan poligami di Mahkamah. Ambil tahu segala prosedur kerana inilah satu-satunya peluang anda untuk menuntut hak anda sebagai isteri pertama. Prosedur untuk memanggil isteri pertama ke Mahkamah bukan untuk meminta izin isteri untuk membenarkan suami berpoligami. Melainkan Mahkamah ingin membuat siasatan apakah hak-hak dan keperluan isteri-isteri yang suami perlu lunaskan untuk membolehkan beliau layak berpoligami. Hak apa yang boleh dituntut?

3.1- Hak nafkah bulanan. Kalau sebelum ini suami memang langsung tak pernah bagi nafkah bulanan, masa inilah nak minta Mahkamah rekodkan berapa nafkah yang selayaknya suami peruntukkan untuk isteri pertama dan bakal isteri. Mahkamah akan siasat pendapatan suami dan keperluan isteri2. Tak semestinya suami kena kaya atau banyak duit. Mahkamah cuma nak tengok suami tu bijak mengatur perbelanjaan untuk keperluan kedua-dua keluarga mengikut tahap kemampuan suami.

Ketahui hak tempat tinggal, bermalam & harta sepencarian

3.2- Hak tempat tinggal. Di mana isteri pertama akan tinggal dan di mana bakal isteri akan tinggal. Jika selama ini, isteri pertama yang bayar duit ansuran rumah sendiri, kali ini beliau boleh minta dengan Mahkamah supaya duit ansuran tersebut dibayar oleh suami melainkan isteri tersebut redha nak teruskan bayaran seperti sebelumnya.

3.3- Hak giliran bermalam. Adil bukan sahaja dari segi duit dan keperluan zahir tapi juga dari segi keperluan batin termasuklah perhatian, masa dan kasih sayang terhadap keluarga sedia ada dan bukannya hanya menumpukan kepada isteri baru sahaja.

3.4- Hak Harta Sepencarian. Jika suami ada membeli dan menyimpan harta sepanjang tempoh perkahwinan dengan isteri pertama, isteri tersebut boleh menuntut harta-harta tersebut diisytiharkan sebagai harta sepencarian. Boleh direkodkan sebagai persetujuan bersama semasa permohonan poligami tersebut. Boleh juga buat pembahagian harta suami secara hibah siap-siap kepada anak-anak isteri pertama. Untuk isteri baru, kenalah cari harta lain yang baru kan? Barulah adil.

3.5- Hak untuk menentukan nafkah anak-anak. Kalau sebelum ini isteri pertama tak kisah pun tanggung nafkah anak sorang-sorang dengan alasan malas nak berkira dengan suami, kali ini isteri pertama boleh mohon supaya mahkamah tetapkan terus nafkah anak setiap bulan. Ini supaya, dalam keghairahan suami nak galas tanggungjawab yang baru, tanggungjawab yang lama dan sedia ada ini tak dilupakan.

Apa nak buat jika suami dah dapatkan perintah poligami?

4) Apa nak buat jika suami dah dapatkan perintah poligami tanpa pengetahuan isteri pertama? Yang ini pun banyak berlaku sebab suami takut isteri pertama datang ke Mahkamah untuk tuntut semua hak2 yang disebutkan di atas tadi. Maka macam2 helah dibuat supaya isteri pertama tak tahu. Jika ini berlaku, sebaik sahaja isteri pertama tahu tentang adanya poligami dan dah buat carian di mahkamah tentang perintah poligami tersebut, isteri tersebut boleh failkan permohonan Ubah Perintah Nafkah di mahkamah yang sama.

5) Bagaimana jika suami kahwin senyap-senyap di luar negara? Jangan bimbang, lambat-laun dia akan daftarkan juga nikahnya di sini. Masa proses nak daftar nikah tu, biasanya isteri pertama pun akan turut dipanggil. Jadi isteri pertama boleh ulangi proses di para 3 di atas untuk tuntut hak-haknya di mahkamah. Undang-undang dibuat bukan untuk menyusahkan tetapi untuk menjaga kemaslahatan.

6) Tapi kalau suami tak daftar juga nikahnya di luar negara di sini macam mana? Pun jangan bimbang juga. Bermakna hanya isteri pertama yang diiktiraf sebagai isteri yang sah di sisi undang-undang malaysia. Jika berlaku kematian kepada suami, isteri kedua tak boleh tuntut hak faraid selagi nikahnya tak didaftarkan di sini. Anak-anak dari isteri kedua juga tak dapat faraid sebab mereka tak ada sijil nikah dan surat beranak yang ‘sah’ di sini. Walaupun pernikahan mereka sah di sisi undang-undang syarak, tetapi mereka telah melanggar undang-undang negara.

7) Paling buruk, bagaimana jika suami tak mahu failkan permohonan poligami sebaliknya dia terus ceraikan isteri pertama? Itu menunjukkan, dari awal-awal lagi dia dah tak mampu berlaku ADIL. Selepas tempoh bertenang, bangkitlah dan tuntut hak anda untuk failkan nafkah iddah, nafkah mutaah, hak harta sepencarian, hutang perkahwinan (jika ada), nafkah anak-anak dan hak jagaan anak-anak. Ini untuk meneruskan kelangsungan hidup dan menjaga kebajikan bekas isteri dan anak-anak yang ditinggalkan. Doakan sahaja dia terus bahagia di atas penderitaan dan air mata orang lain. Tak apa, Allah kan ada.

Tak semua yang amalkan poligami tu buruk dan tak adil. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Malah ada je yang berpoligami tapi lebih adil dan bahagia daripada yang hanya ada isteri seorang tapi tak mampu jalankan tanggungjawab dengan baik. Yang penting ikut saluran undang-undang yang betul, mampu adil dan bertanggungjawab.

Adil tu bukan sekadar samarata, tetapi meletakkan sesuatu di tempatnya yang betul.Wahai para isteri, sekarang dah tau kan apa yang patut dibuat? Jadi jangan sedih lagi. Kita kena bertindak dengan ilmu insyaAllah tindakan kita takkan melulu.

Jadilah wanita world class yang mampu mengubah air mata menjadi permata, dan yang mampu terus bahagia lagi membahagiakan walau apa juga dugaan yang datang melanda..

#empoweringwomen

#peguammenulis

#celiksyariah

Sumber : Roslina Sabiyah

Leave a Comment