“Jangan Bandingkan Makna Bahagia Rumah Tangga Kita Dengan Orang Lain” – Ustazah Noor Laila

Sebelum sampai pada ikatan sebuah perkahwinan, pastinya setiap pasangan melalui pelbagai ranjau dan ujian untuk menghalalkan hubungan sebagai suami isteri yang sah. Kisah cinta kita dan mereka tidak sama. Ya, mungkin ujiannya nampak sama namun cerita yang mengisi pada sebuah jalan penceritaan itu jauh sangat berbeza. Apatah lagi setelah mendirikan rumah tangga. Jika dulu maksud bahagia dalam kamus hanya satu iaitu gembira. Tetapi bahagia rumah tangga mempunyai 1001 istillah yang hanya pasangan yang melaluinya sendiri rasai.

Bahagia rumah tangga aku dan mereka tidak sama

bahagia rumah tangga

Mengulas tentang isu bahagia rumah tangga ini, Ustazah Noor Laila ada perkongsiaannya yang tersendiri. Menurutnya, makna bahagia itu sangat subjektif kerana apa yang kita lihat secara zahirnya ia hanyalah yang tersurat. Jauh daripada itu, ada yang lebih penting iaitu makna yang tersirat dan hanya boleh dilalui kepada pasangan dalam rumah tangga.

“Ada orang rasa bahagia boleh beri makan kepada kucing-kucing liar di tepi jalan. Malah tidak cukup dengan itu, mereka sanggup merawat kucing yang sakit dengan penuh kasih sayang.”

“Ada juga orang yang rasa bahagia bila dia siap masak untuk suami dan anak-anak. Hidangan yang cantik dihias itu ditangkap gambarnya sebagai kenangan. Memang satu kepuasan yang sukar diungkap dengan kata-kata.”

“Ada orang bahagia bila dia beri makan dekat anak-anak yatim. Bila anak-anak yatim rasa gembira, dia puas. Kerana dia tahu, kasih dan sayang itu tidak semua orang mampu untuk rasa.”

“Ada orang bahagia dapat belikan anak-anak pakaian yang baru walau cuma dari pasar malam atau jualan murah. Asbab rasa hendak bahagiakan orang lain itu begitu kuat, bila dapat gaji sahaja terus belanja anak tanpa fikir lagi tentang keperluan diri yang lama tidak berganti. Nikmatnya dapat tengok anak tersenyum bahagia.”

bahagia rumah tangga

“Ada orang bahagia setiap hari boleh sedekah, walaupun sedikit. Walaupun tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak nampak berapa nilainya. Bahagia lihat orang yang susah dapat merasa dan memiliki. Yakin rezeki semuanya Allah yang beri.”

“Ada juga orang yang bahagia kerana dapat solat berjemaah dan ngaji Al-Quran setiap hari, diperbaiki solatnya dan bacaannya. Tidak mengira waktu lapang atau sibuk, akhirat terus dikejar seperti esok diri ini mahu kembali menghadap Yang Maha Esa.”

“Dan ada orang yang bahagia dengan tiap langkah dipenuhi doa dan zikir. Selalu zikir mengingati Allah. Halang diri bercakap perkara yang tidak baik, bercakap keburukan orang atau pun mencari salah orang. Sangat bahagia bila mana, lidah tidak terlepas dari lantunan zikir.”

Apa yang ingin disampaikan di sini, bahagia rumah tangga setiap pasangan itu berbeza-beza dan tidak sama antara satu sama lain.

Ujian salah satu asam garam dalam bibit cinta rumah tangga

bahagia rumah tangga

Siapa pun kita, berpangkat atau tidak, miskin atau kaya, kita tetap seorang manusia biasa yang tidak terlepas dari berbuat dosa dan perlu sentiasa memperbaiki kesalahan diri. Hidup ini bukannya perlarian tetapi perjalanan dan tujuan destinasi kita yang terakhir adalah syurga.

Sabarlah dalam menghadapi ujian dan dugaan dalam rumah tangga. Setiap saat sukar kita sama ada kecil atau besar, yakin Allah SWT sentiasa ada.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ

Maksudnya: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”

Jangan malu untuk bahagia rumah tangga dengan cara kita sendiri. Jika itu yang membuatkan diri kita dan pasangan rasa gembira dan seronok, maka itulah yang terbaik. Kita pastinya lebih mengenali pasangan sendiri berbanding orang lain di luar sana.

Jauhkan diri dari circle toksik yang boleh mempengaruhi minda kita dengan pemikiran yang negatif sentiasa. Dalam masa yang sama ubah sikap dari gemar membanding-bandingkan rumah tangga kita dan orang lain yang nampak bahagia khususnya di media sosial. Pasangan kita adalah yang terbaik untuk kehidupan kita kerana itu Allah mempertemukannya dalam ikatan perkahwinan.

Hannani Juhari
Author: Hannani Juhari

2 Comments
  1. […] kejayaan dan kepopularitiannya dalam dunia hiburan, dia turut tidak terkecuali terpalit dengan isu rumah tangga. Baru-baru ini, dia yang dijemput sebagai tetamu undangan dalam rancangan Next To Neelofa telah […]

  2. […] ini penting untuk menyediakan kewangan yang cukup dan ekonomi yang kukuh bagi memulakan kehidupan rumah tangga yang lebih baik. Namun, memang tidak dinafikan oleh kerana pengaruh dan tekanan sekeliling, kadang […]

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart