“20 Tahun Bukan Sekejap,” Artis Hebat Ziana Zain Dedah Kisah Rumah Tangga Dalam Rancangan Next To Neelofa

Membezakan yang mana aib dan jenayah itu kadang kala penting untuk memastikan kita tidak bersangka buruk kepada orang lain. Siapa yang tidak kenal dengan sosok seorang penyanyi yang digelar Ratu Pop Asia serta ibu kepada 4 orang cahaya mata? Seiring kejayaan dan kepopularitiannya dalam dunia hiburan, dia turut tidak terkecuali terpalit dengan isu rumah tangga. Baru-baru ini, dia yang dijemput sebagai tetamu undangan dalam rancangan Next To Neelofa telah mengejutkan ramai pihak pihak bila mana, Ziana Zain dedah kisah rumah tangganya sebelum bercerai.

Ziana Zain dedah kisah rumah tangga, undang sebak netizen

Siapa sangka di balik karier seorang anak seni seperti Ziana Zain yang dikatakan penyanyi “evergreen” sehingga kini, dia juga tidak terkecuali dengan kisah rumah tangga yang meruntun jiwa. Ziana Zain dedah kisah rumah tangganya bukanlah untuk memberitahu aib bekas suami sebaliknya agar menjadi pengajaran buat isteri-isteri di luar sana apatah lagi apa yang berlaku pada dirinya sudah dikategorikan sebagai kes jenayah.

“Sepanjang hidup Kak Gee, that was 2016…” memulakan bicara dengan ayat ini ibaratnya membuka kembali episod hitamnya sekeluarga beberapa tahun lalu. Dia bukanlah seorang isteri yang suka berkongsi masalah rumah tangganya. Malah penderitaan 20 tahun yang dialaminya masih disembunyikan oleh ibu bapa, dan ahli keluarganya sendiri.

Lama sungguh dipendam apa yang berlaku selama ini dalam hidupnya. Selama ini mempertahankan rumah tangga adalah perkara utama yang Ziana perjuangkan kerana masih sayang akan perkahwinan ini.

ziana zain dedah kisah

“Saya rasa macam tiada harga diri”

Menerusi rakaman rancangan tersebut, Ziana turut mendedahkan bahawa dia terpaksa menelan kata-kata kesat bekas suaminya ketika mereka masih bersama sehingga membuatkan dirinya tawar hati.

Menurut Ziana, dia merasakan dirinya tiada harga diri apabila tidak dihargai seorang perlindung yang bernama suami apatah lagi perkahwinan ini sudah berbelas tahun berdiri bersama.

“Sebagai isteri perasaan macam mana sebagai isteri? Berbelas tahun saya taat kepadanya, dia boleh cakap dia tidak heran (peduli) dengan saya. Jadi, saya ke sahaja yang terdamba-dambakan dia. Perasaan waktu itu rasa macam tiada harga diri,” katanya.

Seorang isteri juga seorang ibu kepada anak-anak suaminya. Pengorbanan seorang isteri mengandung dan melahirkan anak dianggap sesuatu yang tidak bermakna. Wanita mana yang tidak terkesan dan terasa hati apatah lagi perkataan itu keluar sendiri dari bibir seorang suami yang sangat dicintai.

“Macam mana dia (bekas suami) tergamak keluarkan perkataan sebegitu. Saya isteri dia. Dia nak anak empat, saya beranak anak empat orang. Saya hampir nyawa 50-50 bertarung (nyawa) untuknya dan ini pengakhirannya,” luah Ziana Zain.

Buat solat hajat, istikharah, dan solat taubat sepanjang malam

Konflik ini berlarutan namun sebagai isteri, dia tetap sabar dan taat semata-mata redha bahawa segala yang berlaku adalah ujian buatnya. Pada tahun 2016, hatinya mula rasa jauh dengan suami, sedikit demi sedikit rasa sayang itu lenyap. Lumrah seorang manusia lemah pasti kita mempunyai tahap kesabaranya yang tersendiri.

“Saya berdoa dan bertanya, kenapa saya macam ada rasa yang saya tak suka suami saya. Saya tak nak jadi isteri derhaka. Saya berdoa, kembalikan rasa kasih sayang terhadap suami saya,” katanya.

ziana zain dedah kisah

Namun seakan-akan rasa sabar itu hilang bila mana suaminya didakwa merotan anaknya yang menghidap Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).

Ziana buntu untuk meneruskan perkahwinan ini ataupun meleraikannya secara baik demi anak-anak. Malam hari itu juga, dia buat solat taubat, istikharah dan hajat untuk minta petunjuk kepada Allah SWT.

Allah seakan-akan mendengar doanya apabila satu persatu “rahsia” bekas suami terbongkar lalu dia akhirnya membuat laporan polis dan rumah tangga itu berakhir pada Julai 2018 selepas 20 tahun bersama.

Pesan anak jangan lupa jaga ayah bila tua nanti

Sebagai seorang ibu, Ziana tidak menghalang hubungan atau memutuskan hubungan anak-anaknya bersama bekas suami. Walaupun dengan apa ujian rumah tangga yang mereka sekeluarga tempuhi, seorang bapa tetap bapa kepada anak-anaknya.

Ziana turut berpesan supaya anak-anak tidak membenci bapanya. Dan bila mereka dewasa nanti, dan bapa mereka sudah pun tua. Jangan lupa akan tanggungjawab dan tugas seorang anak untuk menjaga bapanya.

Perkongsian dan nasihat Ziana Zain benar-benar membuka mata ramai orang. Satu sisi melihat kepada ketabahan seorang wanita dan isteri dalam mempertahankan dan memperjuangkan kebahagiaan rumah tangga dengan segala pengorbanan yang dibuat. Dan satu sisi lagi adalah kasihnya seorang ibu yang tetap menasihati anak-anak perkara yang baik akan bapa mereka sungguhpun masing-masing mempunyai sejarah yang tersendiri.

Hannani Juhari
Author: Hannani Juhari

1 Comment
  1. […] sama juga seperti suami membenarkan suami melihat lelaki lain melihat kemaluan isteri saat melahirkan anak. Pada hakikat, aurat isteri di bawah itu adalah sulit dan menjadi rahsia bagi suami sahaja. Menurut […]

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart