Siap Melambai-Lambai Atas Bangunan Tinggi Pencakar Langit, Keberanian Iron Lady KLCC Terus Dikagumi Kaum Lelaki

Kerjaya lasak, berisiko tinggi, dan mencabar selalunya menjadi pilihan dominan kepada kaum lelaki untuk menceburinya. Bahkan itu pun tidak semua kaum lelaki yang memiliki kemampuan fizikal dan mental untuk menjadi sebahagian daripada mereka. Tetapi ingat, dalam dunia moden ini kaum wanita tidak ketinggalan untuk sama-sama berada dalam satu “tapak” di mana kaum lelaki berdiri. Contohnya Iron Lady KLCC kita yang telah membuat semua orang membuka mata dengan keberaniannya sebagai seorang NDT Technician.

Panjat puncak KLCC boleh melambai lagi, Iron Lady KLCC buat ramai kagum dengan aksinya

iron lady klcc

Baru-baru ini heboh di media sosial seorang wanita berhijab panjat puncak Menara Berkembar Kuala Lumpur City Center (KLCC) yang mempunyai ketinggian 88 tingkat dan menjadi mercu tanda Malaysia. Video viral berkenaan Iron Lady KLCC itu telah dikongsikan di laman akaun Tik Tok @siva_wwc6.

Normalia Sidek, 30, yang bertugas sebagai Rope Access Technician (juruteknik akses tali) dan juga Non-Destructive Testing (NDT) technician ini tidak kekok digelar Iron Lady KLCC setelah videonya telah tersebar meluas dan ditonton jutaan orang.

Dalam video tersebut, Iron Lady KLCC itu sebenarnya sedang bertugas untuk menukar lampu puncak menara bangunan tersebut. Dia bahkan dapat melakukan kerjanya dengan penuh cemerlang dan tidak teragak-agak untuk memanjat keluar dari mercu tanda itu.

iron lady klcc

Apabila lensa kamera disuakan ke wajahnya, dia sempat melambai dan tersenyum manis walaupun ketika itu tidak ada tanah yang dipijak di kaki selain besi dari bahan pegangan menara berkenaan.

Ibarat seperti seekor labah-labah yang pantas, lincah, dan cekap bergerak dari satu dinding ke satu dinding, Maya adalah individu yang patut kita banggakan. Hal ini kerana dalam keseronokan kita melihat panorama KLCC di waktu malam, jika tidak ada individu yang bertugas dalam memastikan semua lampu KLCC itu berfungsi dengan baik maka mungkin keindahan KLCC akan cacat.

Iron Lady KLCC rupanyanya seorang ibu

iron lady klcc

Wanita yang berasal dari Negeri Sembilan ini sebenarnya adalah seorang isteri dan ibu. Dia sudah pun mendirikan rumah tangga dengan jejaka yang berkecimpung dalam bidang yang sama.

“Tak sangka langsung bakal suami pun dalam bidang ini. Tapi saya bersyukur sangat kerana dia sangat faham memahami kerana berada dalam bidang yang sama. Tak semua orang boleh faham, dan terima wanita kerja macam ni kan,” jelasnya yang sudahpun setahun bergelar isteri kepada jejakan pilihan hati.

Dari minat rock climbing terus melekat cuba paling mencabar

Siapa sangka awalnya hanya minat pada sukan lasak rock climbing seperti kebanyakkan orang lain sahaja. Maya terus meluaskan kemahirannya dalam memanjat dan guna tali sehingga membawanya kepada latihan selama 6 bulan untuk menjadi seorang expert.

“Kali pertama dapat job selepas training, saya ditugaskan untuk satu tugasan maintenance di bangunan 30 tingkat. Saya masih ingat, saya menangis teresak-esak. Macam-macam perkara saya fikir masa tergantung terutamanya ibu bapa,” ungkapnya mengimbau kembali kenangan lalu.

iron lady klcc

Bahkan pernah terlintas difikiran mengapa dia sendiri memilih bidang pekerjaan tidak masuk akal seperti ini. Namun mujurlah dia dipertemukan dengan ketua yang sangat bijak dalam mententeramkan dan mengawal emosi anak buahnya.

“Kali kedua dan seterusnya, saya dah okay. Perasaan gayat itu tetap ada namun lama kelamaan hilang sebab akhirnya kita akan fikir, inilah kerja untuk cari makan,” kataya seorang Iron Lady KLCC.

Takut kantoi dengan ibu bapa, muka pernah masuk Majalah 3

Kerjaya sebagai seorang juruteknik akses tali bukan sahaja perlu membersihkan tingkap bangunan pencakar langit. Malah dia juga terpaksa melibatkan diri dalam tugas inspection di offshore. Untuk buat semua ini, mesti ada sijil dalam pelbagai bidang di lapangan barulah dibenarkan untuk meneruskan kerja.

Bercerita mengenai bidang kerja ekstrim ini, Maya pernah menyorokkan kerjanya dari pengetahuan ibu bapa suatu ketika dulu. Namun akhirnya kantoi juga selepas wajahnya terpapar di Majalah 3 di televisyen. Namun kedua-dua ibu bapanya merestui minat dan kerjaya tersebut.

“Saya bukan apa, segan nak beritahu takut mereka bangkang. Tapi akhirnya saya sedar, setiap langkah kita memerlukan doa dan restu ibu bapa. Ada hikmahnya juga kantoi,” beritahu anak kelima dari enam beradik ini.

Kini dia sudah 4 tahun berada dalam bidang penuh cabaran itu sebagai juruteknik akses tali bebas (freelance).

Jom takluk Burj Khalifa pula

iron lady klcc

Video yang mendapat 1.5 juta tontonan tidak sampai 24 jam ini telah mendapat respon dari ramai pihak khususnya para netizen. Ramai yang mengkagumi keberaniaan dan kesungguhannya sebagai seorang wanita.

Ini juga banyak menukar pemikiran sesetengah masyarakat yang beranggapan wanita tidak mampu untuk melakukan kerjaya seperti itu. Di akhir bicara, Maya sempat berseloroh untuk mengejar impianya pula menakluki Burj Khalifa di Dubai.

Semoga kejayaan Iron Lady KLCC kita ini mampu menjadi pembakar semangat buat semua wanita di luar sana!


Artikel Berkaitan:

Hannani Juhari
Author: Hannani Juhari

1 thought on “Siap Melambai-Lambai Atas Bangunan Tinggi Pencakar Langit, Keberanian Iron Lady KLCC Terus Dikagumi Kaum Lelaki”

  1. Pingback: Suara Wanita Dalam Pilihan Raya, Kenapa Perginya Ruang & Peluang Mereka Dalam Politik?

Leave a Reply

Scroll to Top