Jangan Terlalu Awal Rasa “Bahagia” Belajar 7 Cabaran Setahun Pertama Perkahwinan

Bercintalah bertahun lama sekali pun, ianya tidak akan sama setelah mana kita duduk serumah dengan pasangan dan tidur sekatil dengannya. Setiap pasangan tentunya akan gugup setiap kali memulakan alam rumah tangga.

Hal ini kerana, di sinilah bermulanya segala cabaran alam perkahwinan yang ramai orang kecundang. Artikel pada kali ini, kami akan kongsikan kepada anda 7 cabaran utama setahun pertama perkahwinan yang mungkin ramai pasangan pengantin baru tidak tahu.

Cabaran setahun pertama perkahwinan

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula pasangan suami isteri. Pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, dalam menghadapi cabaran setahun pertama perkahwinan adalah sesuatu yang sangat penting kerana ia akan mempengaruhi sama ada kita mampu untuk melalui fasa yang seterusnya bersama pasangan atau tidak.

Menurut penulis buku terkenal Dave Meurer,

“A great marriage is not when the ‘the perfect couple’ comes together. It is when an imperfect couple learns to enjoy their differences.”

Apakah cabaran setahun pertama perkahwinan yang dimaksudkan ini? Wedpedia, kini akan senaraikan tujuh perkara yang perlu  anda pelajari atau sedari pada setahun awal perkahwinan anda nanti.

1. Ujian kewangan dan ekonomi rumah tangga

Masalah kewangan dan ekonomi dalam rumah tangga selalu menjadi isu yang dihadapi oleh pasangan dalam ujian setahun pertama perkahwinan, Apatah lagi mereka yang berkahwin muda atau mempunyai gaji cukup-cukup makan sahaja.

Kos sara hidup yang semakin tinggi dari tahun ke tahun ditambah gaji yang tidak naik menyebabkan ada pasangan yang boleh bergaduh besar hanya disebabkan oleh gaya hidup dan isu kewangan.

Kepada pasangan baru, anggaplah ini ujian permulaan hidup anda. Allah pasti memberikan rezeki kepada setiap pasangan yang berkahwin dengan rezeki yang tidak disangka-sangka.

Dalam masa yang sama, atur dan bincang bersama dengan pasangan untuk menguruskan kewangan hidup setiap bulan dengan baik.

2. Ujian dalam mengenali diri pasangan

setahun pertama perkahwinan

Ada kes seorang wanita menyesal kahwin dengan pasangannya selepas mengetahui yang suaminya itu seorang yang pengotor.

Inilah yang disebut sebagai cabaran setahun pertama perkahwinan. Kita akan diperlihatkan semua sisi buruk pasangan tanpa berselindung sedikit pun.

Banyak hal yang bertentangan dengan diri kita, ada pada pasangan. Banyakkan bersabar dan cuba untuk berbincang dengan baik untuk menyelesaikannya.

3. Ujian untuk mencapai persefahaman dengan pasangan

setahun pertama perkahwinan

Bukan mudah sebenarnya untuk mencari persefahaman dengan pasangan. Kita akan lebih banyak bergaduh dari mencapai kata sepakat yang betul.

Cubalah untuk bertolak ansur dan bertoleransi dalam rumah tangga. Jadikan setiap perbezaan kita dan dia sebagai tali yang mengukuhkan lagi ikatan dalam perhubungan suami isteri.

4. Ujian dalam berkomunikasi

Apapun yang terjadi dalam rumah tangga, komunikasi antara pasangan amatlah penting kerana tanpa komunikasi kita tidak dapat mengetahui apa yang “terbuku” dalam diri pasangan dan bagaimana untuk mencapai kata sepakat.

5. Ujian dalam memiliki zuriat

Soal zuriat kita memang tidak boleh melakukan apa-apa selain ikhtiar dan doa. Ada zuriat atau tidak ada zuriat semuanya adalah bergantung rezeki pemberian Allah kepada pasangan suami isteri.

Jika kita masih tidak diberikan rezeki dalam setahun pertama perkahwinan, cubalah berfikiran positif ketika berhadapan dengan hal ini.

Seronok menjadi seorang ibu ayah tetapi kita sendiri perlu faham bahawa memikul beban dan amanah dalam membesarkan anak itu bukanlah mudah.

6. Ujian dari keluarga

Ayah, ibu, adik-beradik, dan suadara-mara pasangan semuanya adalah sebahagian daripada kehidupan rumah tangga kita.

Memang ramai pasangan yang berasa canggung dengan semua ini. Namun itu perkara biasa yang mahu tidak mahu kita perlu cuba untuk menyesuaikan diri juga.

7. Ujian untuk memberi komitmen

Perkahwinan bukan tentang “saya” tetapi tentang “kita berdua”. Walaupun begitu masih ramai yang tidak faham akan konsep perkahwinan yang sebenar.

Status yang bertukar dari “single” ke “married” hanyalah sekadar di dalam kad sahaja namun sebaliknya dari segi kematangan diri ianya belum terlalu kukuh.

Sikap suka melepak dengan kawan sehingga lupa isteri di rumah, balik larut malam, atau sibuk dengan ber-whatsApp daripada melayani suami ianya secara tidak langsung akan menjadikan kasih sayang rumah tangga menjadi “tawar”.

Dalam hal ini tidak ada sesiapa pun yang boleh membantu kita melainkan kesedaran yan bermula dari diri sendiri.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan cabaran setahun pertama perkahwinan dapat memberikan anda semua ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan khususnya kepada pengantin baru atau mana-mana pasangan yang baru memasuki alam rumah tangga.

Apa yang dikongsikan ini bukanlah untuk menakut-nakutkan anda di luar sana, tetapi sebaliknya ia untuk memberikan pendedahan dan pembelajaran ringkas agar anda tidak terlalu “shock” dan bersiap sedia untuk mengharunginya.


Artikel Berkaitan:

Hannani Juhari
Author: Hannani Juhari

Leave a Reply

Scroll to Top