Orang Hantar Sihir Pemisah Rumah Tangga Sebab Cemburu Tengok Kebahagiaan, Wanita Buka Cerita Perkahwinan 9 Tahun Hancur!

Dulu sebelum berkahwin kita mesti takut sekiranya diberikan pasangan yang tidak baik dan membuatkan hidup menjadi tidak bahagia. Diberikan pasangan yang baik itu satu nikmat dan rezeki untuk kita membina keluarga. Tetapi dalam dunia hari ini, cemburu dan iri hati orang lain terhadap kebahagiaan kita dan pasangan pun boleh menjadi asbab termusnahnya rumah tangga yang dibina. Semuanya kerana sihir pemisah rumah tangga.
Wanita di TikTok merana akibat sihir pemisah rumah tangga
Baru-baru ini, kecoh di TikTok seorang wanita memuat naik video di laman akaunnya yang berkongsi cerita penceraiannya dan suami akibat dari sifat cemburu orang lain sehingga sanggup menghantar sihir pemisah rumah tangga kepada mereka.
Wanita itu menyifatkan suaminya seorang yang sangat baik dan memahami isteri. Memang boleh dikatakan mereka berdua tiada masalah langsung dalam rumah tangga. Kebahagiaan yang sepatutnya menjadi kegembiraan juga kepada orang lain rupa-rupanya menebalkan perasaan cemburu oleh seorang manusia.
“Orang lain bercerai sebab tak bahagia tapi aku, terlampau bahagia. Suami terlalu baik, terlalu bahagia sampai orang cemburu dan hantar sihir pemisah.”
Dalam video yang lain pula, wanita tersebut ada menceritakan lebih dalam dengan mendakwa badannya sering sakit akibat menanggung perbuatan jahat sihir pemisah rumah tangga yang dirasainya.
“Sakit badan aku angkara jin syaitan bermaharajalela di badan, tapi lagi sakit lagi dihati bila terpaksa bercerai dan berpisah dengan orang yang kita sangat-sangat sayang. Susah dan senang, perit jerih hidup aku dulu hanya makan nasi berlaukkan bilis, aku mampu bertahan disisinya sehingga senang. Tapi angkara sihir, aku mengalah. Hancur jua rumah tangga yang dibina 9 tahun.”
Hantaran video terakhir, wanita ini sempat memberi nasihat kepada pasangan suami isteri di luar sana untuk tidak menunjuk kebahagiaan kita di khalayak ramai. Kebahagiaan kita belum tentu membuat orang lain juga bahagia dan gembira. Namun derita kita, akan ramai yang bertepuk tangan gembira.
Begitulah lumrah kehidupan yang walaupun payah ditelan tetapi ia hakikat yang mesti diterima dan dilalui selagi hidup. Hidup perlu diteruskan sungguhpun payah mengecapai bahagia seperti yang dulu.
Sabitkah lafaz talak di Makhamah Syariah kerana sihir pemisah rumah tangga?
Kita mungkin tertanya-tanya, adakah penceriaan yang disebabkan oleh sihir pemisah rumah tangga masih dikategorikan sah lafaz talaknya. Menurut Dr Mahyudin Ismail, ‘kena sihir’ boleh dijadikan pembelaan di Mahkamah Syariah.
Hal ini kerana, tiada undang-undang yang berkaitan sihir di Mahkamah Syariah sehingga menyebabkan tiada punca kuasa kepada hakim untuk memutuskan unsur sihir pemisah dalam rumah tangga. Namun begitu, ini tidak bermakna isu sihir tidak pernah dibicarakan di hadapan Mahkamah Syariah.
Kes cerai talak ini perlu diperincikan lagi dengan membawa beban pembuktian yang lebih menyeluruh seperti:
1. Seorang suami mendakwa talak dilafazkan dalam keadaan dirinya dipengaruhi sihir; atau,
2. Seorang isteri mendakwa suaminya melafazkan talaq dalam keadaan diri suami tersebut dipengaruhi sihir; maka pihak yang mendakwa perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa:
- Wujud tanda-tanda dan ’simptom-simptom lazim terkena sihir’ pada diri suami.
- Suami mengalami ketidak warasan/ ketidak sempurnaan akal akibat terkena sihir semasa beliau melafazkan talaq.
- Ketidakwarasan pemikiran akibat terkena sihir itu menjejaskan kebolehan untuk mempertimbangkan apa yang dilakukannya itu benar atau salah.
Tanda pasangan mungkin terkena sihir pemisah
Sihir pemisah rumah tangga adalah sihir yang biasanya digunakan untuk memisahkan hubungan pasangan kekasih, suami isteri, atau ahli keluarga sehingga menyebabkan mereka bercerai berai atau menimbulkan perasaan benci antara satu sama lain.
Berikut adalah beberapa tanda pasangan anda mungkin terkena sihir pemisah:
- Kerap sakit belakang, bahu, tengkuk dan urat belikat.
- Kerap sesak nafas, sakit dada dan ulu hati.
- Kerap rasa gelisah, berdebar tanpa sebab terutama waktu Asar ke atas.
- Kerap sakit kepala walaupun sudah mengambil ubat.
- Kerap kembung perut dan sendawa angin.
- Kerap rasa berdenyut di bawah ari-ari bagi seorang wanita.
- Kitaran haid tak normal.
- Lambat mendapat zuriat.
- Menjadi rimas dan cepat marah bila berdepan dengan suami atau isteri.
- Ketika marah, isteri kerap meminta cerai.
- Kerap bergaduh besar walaupun berdepan dengan perkara kecil.
- Tidak suka tidur bersama.
- Nafsu tiada terhadap suami atau Isteri.
- Tercium bau badan yang busuk, nafas berbau pada tubuh suami atau isteri.
- Suka bersendirian di dalam bilik.
- Kerap teringat, merindui seseorang yang tidak dikenali atau dikenali.
- Bila berjauhan dengan pasangan, perasaan rindu amat menebal.
- Kerap terbau kemenyan, colok setanggi.
- Kerap bermimpi tempat kotor dan busuk.
- Perasaan curiga, cemburu buta yang kuat.
- Kerap mimpi pasangan curang.
- Kerap mimpi ular, kala jengking dan binatang berbisa.
- Tidak suka tempat-tempat yang bising.
- Sukar tidur pada waktu malam.
- Kerap mimpi bayi, menyusu dan bermain dengan bayi tersebut.
Kesimpulannya, perbuatan mengamalkan sihir, atau menyihir orang lain itu adalah dosa besar kerana ia membawa kepada dosa syirik iaitu mempersekutukan Allah dengan makhluk lain seperti jin, dan syaitan.
Nasihat kepada pasangan di luar sana, mantapkan diri dan keluarga kita dengan ilmu agama dan ayat-ayat pendinding dari Al-Quran untuk melindungi diri dari perkara yang tidak baik. Semoga Allah sentiasa memberikan kita perlindungan dan kebahagiaan Nya di dunia dan akhirat.
Artikel Berkaitan:
- Take Note! Ini Cara Upload Gambar Di Media Sosial Elak Jadi Mangsa Sihir
- Ketahui 20 Pantang Larang Bakal Pengantin Sebelum Berkahwin
- Gadis Ini Pernah Membenci Islam, Kini Cintanya Pada Agama Allah Semakin Kuat