Mungkin Bukan Jodoh! Ikut 9 Cara Untuk “Move On” Dari Hubungan Toksik Elak Kemurungan Sendiri

Dalam sesuatu perhubungan pasti kita tidak lari dari masalah yang sehingga menyebabkan kita dan pasangan putus. Mana-mana pasangan tentunya tidak mahu berhadapan dengan situasi ini. Namun jika takdir sudah menentukan sedemikian, maka kita mesti belajar cara untuk “move on” dari sesebuah hubungan itu dengan sendiri.

Apa yang dimaksudkan dengan “move on” dalam perhubungan?

“Move on je lah. Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor.”

Selalu kita dengar orang sekeliling cakap seperti itu kepada orang yang sedang patah hati. Walhal sesuatu yang melibatkan soal hati, ianya memang sukar untuk kita pulihkan. Namun tidak ada yang mustahil sungguhpun ia berat dan memerlukan masa untuk mengajar kita erti penerimaan yang sebenar.

Hakikatnya, putus hubungan itu memang menyedihkan, untuk move on dari semua ini pun lebih menyakitkan. Rasa sakit yang kita rasa dari hubungan yang terputus di tengah jalan belum lagi pulih tetapi kita sudah perlu untuk kembali menjalani kehidupan asal semula.

Bagaimana cara untuk “move on” dari perhubungan

Emosi manusia ini begitu kompleks termasuklah apabila melibatkan perhubungan. Tidak kira seberapa kuat kita semat dalam otak untuk berhenti mencintai seseorang, terbaliknya ia akan merubah perasaan itu untuk terus menyayanginya. Jangn risau, ini kami kongsikan cara untuk “move on” yang berkesan!

1. Akhiri hubungan secara total

Dalam perhubungan elakkan dari bermain tarik tali. Bermain dengan perasaan memang sangat menyakitkan. Adalah lebih baik untuk kita benar-benar memutuskan sesuatu perhubungan apabila tidak mahu meneruskanya lagi.

Bersikap berterus terang kepada pasangan, kerana biarpun perit ia lebih baik daripada kita menyimpan sesuatu pengharapan palsu untuknya. Jangan dibiarkan perhubungan tersebut ibarat gantung tidak bertali.

Seperti mana baiknya cara kita ketika mahu mendapatkan hatinya dahulu. Serahkan semual hati tersebut kepada empunya nya dengan penuh rasa hormat dan menghargai.

2. Terima kenyataan

Apabila sah perhubungan itu telah putus, maka kedua-dua belah pihak mesti sedar akan hal tersebut dan menerima kenyataan. Kunci utama kata pakar cara untuk “move on” adalah dengan menerima kenyataan bahawa hubungan telah berakhir.

Dengan kita menerima apa yang berlaku, ia secara tidak langsung menyumbangkan kepada tenaga dan aura positif untuk kita membina kehidupan dan memori yang baru tanpa si dia.

3. Ikhlaskan diri untuk melepaskan

Ikhlas memang sukar untuk kita buat dalam tempoh waktu yang sekejap. Kita mungkin boleh menerima kenyataan atau takdir dalam hidup tetapi untuk ikhlas ia bergantung kepada hati yang menghadamnya.

Tidak mengapa jika anda belum mampu untuk ikhlas sekarang. Tetapi belajar sedikit demi sedikit untuk membina keikhlasan dengan hati yang redha melalui takdir yang telah ditetapkan untuk kita.

4. Sibukkan diri dengan sesuatu aktiviti

Kita mudah teringat akan sesuatu kenangan lama kerana kita bersendiri. Kita juga mudah untuk mengimbau memori pahit dan manis kita dengan seseorang kerana kita sunyi. Perasaan apabila dilayan ia boleh membunuh kita dalam diam.

Lantaran itu, sibukkan diri dengan melakukan sesuatu aktiviti, pekerjaan, atau apa jua yang dapat mengelakkan kita dari terus mengelamun atau termenung memikirkan hal lalu. Contohnya seperti pergi beriadah, melancong, fokus bekerja, keluar dengan kawan-kawan atau sebagainya.

5. Keluar di kepompong hidup lama

Kita ada kaki untuk melangkah keluar dari belenggu masalah yang ada membebankan diri. Jika kita terus memikirkan soal sebarang kemungkinan atau kegagalan dalam kita mengharungi ujian ini, nescaya sampai bila-bila pun kita tidak akan mampu untuk “move on”.

Bertindak sekarang bukan nanti. Kerana semakin lama kita melengah dari semua ini, semakin lama juga kita mengambil masa untuk melupakan si dia.

6. Elak dari jadi stalker pada sosial media si dia

Ada orang yang biarpun mereka putus hubungan dalam percintaan tetapi boleh menjadi kawan rapat seperti biasa. Ada orang tidak begitu. Jadi kita sendiri kenal diri kita dalam kategori yang macam mana.

Rugi dan sangatlah “bodoh” jika kita masih sibuk menjadi stalker si dia di media sosial. Setiap hari tengok post dia yang mungkin seakan-akan begitu mudah “move on” dari perhubungan lalu dengan kita, bukankah itu membuat diri kita semakin kecewa?

Lelaki ada caranya untuk “move on” begitu juga perempuan. Kita tidak boleh meletakkan apa tanggapan dan perspektif kita sama kepada orang lain. Cara untuk “move on” yang terbaik elak dari melihat, menyentuh, atau memikirkan apa sahaja yang bersangkut paut dengan si dia.

7. Luahkan apa yang terbuku di hati pada orang yang dipercayai

Sesetengah orang perlukan pendengar untuk dia luahkan apa yang terbuku di hati. Jika anda seorang yang perlukan pendengar, carilah mereka yang rapat dan dipercayai.

Kita berhak untuk menangis dan bersedih dengan apa yang berlaku. Namun, pastikan kesedihan yang kita rasai itu tidak berlama-lama.

8. Jangan tekan butang “kalau”

cara untuk move on

 

Perkara yang menjadi pantang larang apabila kita hendak “move on” adalah cuba untuk “berkalau-kalau” dengan diri sendiri.

“Kalaulah aku tak bergaduh dengan dia masa tu mesti tak jadi macam ni.”

“Kalau dia tak tegur aku mesti aku tak merajuk macam ni.”

Apa gunanya kita “berkalau” dengan apa yang telah berlaku. Kerana pada hakikatnya ia tidak akan memberikan sebarang perubahan kepada realiti yang ada. Belajar untuk sentiasa berfikiran positif dan menterjemahkan masalah juga dengan fikiran yang terbuka.

9. Yakin dengan kehadiran penganti yang lebih baik

Setiap mereka yang hadir dalam kehidupan kita itu mempunyai sebab yang tersendiri. Tuhan mendatangkan si dia bersebab. Dan Tuhan ambil si dia juga bersebab. Apabila kita yakin dengan setiap yang diambil akan digantikan dengan yang lebih baik, percayalah kita tidak akan takut dengan kebahagiaan yang kita ada sekarang.

Allah berkuasa memberikan kita kebahagiaan, Allah berkuasa mendatangkan kita kesedihan, dan Allah juga berkuasa memberikan kita sesuatu untuk mendapatkan kebahagiaan itu kembali malah dengan cara yang lebih baik.

Putus hubungan bukanlah penamat bagi segala-galanya. Ya, ia penamat bagi anda dan si dia tetapi ramai lagi yang menanti anda di belakang terus beri semangat untuk meneruskan kehidupan dengan lebih bahagia.

Jangan takut dengan perkataan “move on”. Sahut cabaran ini untuk kita dapat sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang.


Artikel Berkaitan:

Hannani Juhari
Author: Hannani Juhari

Leave a Reply

Scroll to Top