8 Sebab Kenapa Wanita Single Perlu Elak Kawan Dengan Suami Orang

Kehidupan kita pada hari ini yang sukar mencari kebatasan dalam bersosial sememangnya sangat menguji diri khususnya kepada mereka yang sudah berumah tangga. Wanita bujang kawan dengan suami orang, begitu juga dengan lelaki bujang kawan dengan isteri orang.

Kedua-dua fenomena ini dilihat sudah semakin terbuka dalam masyarakat kita. Sehingga ada yang “terbabas” dan sukar untuk berpatah semula.

Artikel pada kali ini, kami akan kongsikan kepada anda semua mengenai beberapa sebab mengapa wanita bujang tidak digalakkan untuk kawan dengan suami orang.

Isteri cepat cemburu atau suami yang mengatal?

Cemburu dilihat sebagai satu perasaan dan sifat semula jadi manusia. Namun perlu kita sebagai suami faham bahawa jenis-jenis dan perbezaan cemburu wujud.

Misalnya, cemburu seorang isteri apabila dimadukan tidaklah sama dengan cemburu seorang anak apabila mendapat adik baru. Justeru itu, bagaimana kita mahu meletakkanya ditempat yang wajar?

Di dalam buku Raudhatul Muhibbin karya al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah, beliau menghuraikan topik cemburu secara komprehensif.

Begitu juga huraian Prof Abdul Halim Abu Syuqqah dalam bukunya, Tahrirul Mar’ah fi A’sri al-Risalah. Beliau menghuraikan topik cemburu di bawah tajuk hak yang sama antara suami isteri.

Iyadh berkata: “Cemburu (al-Ghairah) itu adalah berubahnya hati dan bergejolak kemarahan disebabkan pembabitan orang lain dalam sesuatu yang khusus untuknya. Cemburu paling kuat ialah cemburu antara suami isteri.” (Fathul Bari, juz 11, hlm. 231)

Selain itu, daripada Jabir bin Atik, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Di antara kecemburuan itu ada yang disukai Allah dan ada yang dibenci Allah. Cemburu yang disukai Allah ialah kecemburuan berisi keraguan (bertempat, tidak melulu) sedangkan yang dibenci Allah ialah kecemburuan yang tidak ragu-ragu lagi (tidak bertempat, melulu).” – (Hadis Riwayat Abu Daud)

Tidak kira lelaki atau wanita, mereka berhak berasa cemburu. Iyadh berkata lagi: “Bahkan ada yang mengatakan cemburu itu pada asalnya adalah maruah dan harga diri.”

Mengapa wanita single patut elak kawan dengan suami orang?

Dalam hal ini wajar sekiranya isteri cemburu apabila ada wanita bujang kawan dengan suami orang (suami sendiri).

Hal ini kerana, banyak istilah kawan yang dimaksudkan itu besar kemungkinan boleh menjadi sesuatu “barah” yang merosakkan rumah tangga kita dan suami.

Justeru itu, di sini kami kongsikan secara jelas sebab wanita single patut elak kawan dengan suami orang.

1. Sekali terjebak susah nak tinggal

Salah satu sebab mengapa wanita bujang tertarik kepada suami orang adalah kerana mereka gemarkan akan perwatakkan seorang lelaki “gentleman’ dan bersifat matang, penyayang serta kukuh dari segala aspek kehidupan.

Lelaki yang sudah berumah tangga, ianya tampak “full-packaged” berbanding lelaki bujang yang masih bertatih untuk mengukuhkan diri dalam kehidupan.

Maka tidak hairanlah, ramai wanita bujang diluar sana yang terjebak dengan cinta suami orang.

2. Bukan semua lelaki mampu

Memang Islam tidak melarang suami untuk berkahwin lebih dari seorang. Namun ada syarat-syaratnya iaitu jika mampu dari segi zahir dan batinnya.

Contohnya dari segi kewangan. Bayangkan suami yang tidak mampu untuk menyediakan segala keperluan isteri dan anak-anak sungguhpun itu kewajipannya, bagaimana mungkin mampu untuk adil dengan isteri-isterinya yang lain.

3. Selalu dilabel perampas

Adanya orang ketiga dalam rumah tangga, biasa akan dilabel sebagai perampas atau perosak andai kata mahligai yang dibina itu musnah berantakan.

Sudahlah dicop sebagai perampas, ditambah lagi semua hal dalam kain kita akan dijaja 24 jam oleh masyarakat sekeliling. Itu belum campur lagi dengan orang-orang yang mendoakan perkara buruk kepada kita.

4. Mudah terlibat dengan penipuan

Apabila wanita bujang sudah dilamun cinta dengan suami orang, biasanya alasan mudah yang diberikan adalah “jodoh” atau “takdir ketentuan Allah”.

Namun jauh dari semua itu, mereka tidak sedar akan pokok pangkal dari hubungan yang dibina adalah asbab dari kegagalan diri masing-masing menjaga pergaulan dan batas-batas agama yang ditetapkan.

Sesuatu yang dibina dengan awal yang tidak baik, akan berlarutan dengan sesuatu yang tidak baik juga. Jangan terkejut, jika si dia yang kita percaya boleh menipu di belakang kita.

5. Banyak berahsia dari terbuka

Wanita bujang yang kawan dengan suami orang tidak boleh hendak terlalu “show off” tentang perhubungan itu di mana-mana sekalipun.

Setiap masa kita terpaksa berahsia dan merahsiakan segala yang berlaku antara kita berdua.

Tidak cukup dengan itu, kita pula kena selalu berhati-hati dalam setiap gerak-geri supaya hubungan itu tidak akan dihidu oleh isterinya.

6. Asyik makan hati dalam perhubungan

Tidak dinafikan rasa bahagia itu akan kita rasa seketika jika bercinta atau kawan dengan suami orang. Namun hakikatnya, lebih banyak kita terpaksa makan hati dari bahagia.

Banyak ujian, pengorbanan, dan masa yang kita terpaksa laburkan begitu sahaja bagi mendapatkan hati seorang lelaki yang bergelar suami orang.

7. Selalu dihimpit dengan kegusaran

Tenang hanya pada luaran yang kita nampak sahaja. Jauh dalam sudut hati mereka perasaan serba salah, gusar, dan berbelah bahagi akan sentiasa menjadi dilema dalam diri mereka.

Firman Allah SWT: “Sesiapa yang mengganggu dan menyakiti lelaki beriman serta wanita beriman tanpa apa-apa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka memikul kesalahan (buhtan) dan berbuat dosa yang amat nyata.” – (Surah Al-Ahzab, ayat 58)

Di akhirat kelak, setiap orang yang pernah dizalimi dan dianiaya itu akan menuntut hak masing-masing dan sebagai balasannya, mereka mendapat sebahagian pahala yang berkadaran dengan hak terbabit.

8. Bahagia atas kesedihan wanita lain

Mana ada wanita atau isteri yang rela berkongsi kasih dengan wanita lain. Apabila kita bercinta dengan suami orang, sudah semestinya remuklah hati seorang wanita lain.

Musnah sebuah keluarga yang bahagia kerana kemunculan kita sebagai orang ketiga. Isteri, dan anak-anak lelaki tersebut akan lebih menderita.

Untuk pengetahuan anda, menjalinkan hubungan percintaan dengan suami orang adalah haram.

Selain itu, apabila hadirnya seorang wanita yang mendorong rumah tangga orang lain kepada kehancuran. Perbuatan tersebut adalah sangat dimurkai oleh Rasulullah SAW yang turut dinyatakan di dalam sebuah hadis iaitu:

Bukan dalam golongan kami (umat Nabi Muhammad) orang yang merosakkan ikatan seseorang isteri dengan suaminya.” – (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 2175)

Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai isu wanita kawan dengan suami orang ini sedikit sebanyak dapat memberikan anda ilmu pengetahuan dan informasi yang bermanfaat untuk dijadikan iktibar.


Artikel Berkaitan:

Hannani Juhari
Author: Hannani Juhari

Leave a Reply

Scroll to Top