Boleh Ke Mangsa Banjir Jamak Solat Ketika Banjir? Ustazah Asma’ Harun Beri Penjelasan

Setiap kali tiba hujung tahun, pasti kawasan Pantai Timur Malaysia tidak terkecuali dengan banjir yang melanda. Negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Perak semakin hari semakin banyak mangsa banjir yang terlibat. Justeru itu, ramai yang bertanyakan adakah boleh jamak solat ketika banjir bagi mangsa banjir yang terlibat?

Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi mengenai ulasan lanjut dari Ustazan Asma’ Harun tentang permasalahan ini.

Jamak solat ketika banjir tidak dibolehkan?

Baru-baru ini, seorang tokoh pendakwah bebas di Malaysia yang cukup terkenal iaitu, Ustazah Asma’ Harun memberi satu perkongsian di Facebook bagi menjawab isu mengenai jamak solat ketika banjir bagi mangsa banjir yang terlibat.

Katanya, menurut Mazhab Syafie, keringanan yang membolehkan seseorang menjamakkan (menghimpunkan) solatnya itu ada dua iaitu ketika bermusafir dan ketika hujan.

Sungguhpun begitu, terdapat juga sebahagian ulama fiqh termasuklah ulama Mazhab Syafie, berpendapat bahawa ada sebab lain lagi yang membolehkan seseorang jamak solat kerana banjir jika memang ada masyaqqah (darurat).

Antaranya adalah ketika tidak ada hujan dan tidak bermusafir, ini berdasarkan kepada hadis:

Maksudnya: Daripada Ibni Abbas RA katanya “Rasulullah SAW menjamakkan solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isya’ di Madinah bukan kerana takut dan tidak pula kerana hujan. Lalu ada orang bertanya kepada Abdullah bin Abbas, apakah yang baginda SAW inginkan dengan hal tersebut? Abdullah bin Abbas menjawab, baginda SAW ingin supaya dia tidak membebankan seorang pun dari umatnya.” (Hadis Riwayat Muslim, hadis sahih)

Dari sisi lain, menurut pandangan muktamad mazhab Syafie, tidak boleh melakukan jamak kerana banjir, kerana banjir tidak termasuk dalam keuzuran yang mengharuskan jamak solat.

Namun sebahagian ulama fiqh berpendapat boleh jamak solat kerana banjir. Justeru dengan pandangan yang kedua ini, ia membolehkan seseorang melakukan jamak dua solat kerana banjir.

Sebab mengapa jamak solat ketika banjir tidak digalakkan?

Mangsa banjir digalakkan untuk tidak melakukan jamak solat ketika banjir oleh kerana:

1. Melaksanakan solat dalam waktu asalnya adalah lebih afdhal

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya solat itu adalah suatu kefardhuan atas orang-orang yang beriman yang ditentukan waktunya.” – (Surah an-Nisa, ayat 103)

2. Untuk keluar dari khilaf ulama

Dalam kaedah fiqh menyebutkan:

“Sesiapa yang diberati dengan sesuatu maka dia boleh bertaqlid kepada ulamak yang mengharuskan.”

Faktor umum yang dibolehkan untuk solat jamak

Secara umumnya, solat jamak itu boleh didirikan dengan beberapa sebab kukuh seperti:

  • Perjalanan (musafir) yang melebihi 91 kilometer.
  • Hujan lebat bagi orang yang biasa melazimi solat berjemaah di masjid.
  • Sakit kuat.

Dibolehkan solat jamak ketika banjir dengan alasan

Sekiranya mangsa banjir termasuk dalam alasan yang dibolehkan solat jamak, ianya mesti mempunyai sebab seperti di bawah ini:

  • Berada dalam situasi mendesak seperti ketika rumah sedang dinaiki air sehingga tiada tempat untuk solat.
  • Semasa sedang menyelamatkan diri dan harta semasa banjir.
  • Situasi darurat semasa menunggu untuk dibawa ke PPS.

Namun begitu, mangsa banjir yang ditempatkan secara beramai-ramai di kawasan penempatan kering dan lapang serta tidak ada darurat padanya, mereka hendaklah melakukan solat secara sempurna tanpa menjamakkannya.

Untuk mengetahui lebih mendalam perbahasan mengenai hal ini, anda boleh semak di laman web Mufti Wilayah Persekutuan di pautan ini: Al-Kafi Al-Fatawi #181: Jamak Solat Ketika Banjir.

Diharapkan perkongsian mengenai menjamakkan solat ketika banjir dapat menjawab segala persoalan yang menjadi tanda tanya kita sehingga hari ini. Sesungguhnya solat itu amat berat dan besar amalannya.

Solat menjadi tiang agama bagi setiap umat Islam. Semoga kita sentiasa dipermudahkan urusan oleh Allah dan banjir yang melanda negara kita ini akan segera surut secepatnya.


Artikel Berkaitan:

Hannani Juhari
Author: Hannani Juhari

Leave a Reply

Scroll to Top