Mandi Bunga Mampu Naikkan Seri Pengantin? Baca Kelebihan, Hukum & Cara Membuat Rawatan Mandian Sendiri Di Rumah

Sehari sebelum majlis perkahwinan, pengantin perempuan biasanya melakukan perawatan kecantikkan contohnya seperti amalan mandi bunga. Biasa kita lakukan rawatan ini di spa atau pusat kecantikan.

Tahukah anda, kita sebenarnya boleh buat semua ini sendiri dan di rumah sahaja. Artikel pada kali ini, kami akan kongsikan kepada anda bagaimana untuk membuat ramuan mandi bunga sendiri di rumah.

Amalan mandi bunga sudah sebati dalam masyarakat Melayu

mandi bunga

Mandi bunga sudah menjadi amalan yang sebati dalam masyarakat Melayu sejak dulu sehingga ke hari ini. Amalan ini dianggap sebagai salah satu terapi dan perubatan tradisional yang menggunakan sumber alam semua jadi seperti tumbuh-tumbuhan, dan akar kayu asli.

Di negara barat pula, amalan aromaterapi seperti ini mempunyai persamaan yang sama dengan mandi bunga di kalangan masyarakat Melayu.

Bunga diyakini sebagai penyerap tenaga yang terbaik dan rawatan mandian ini juga sangat berkhasiat bagi membuka aura, menyegarkan tubuh badan, dan menaikkan seri wajah.

Hukum mandi bunga dalam Islam

Menurut pandangan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai amalan mandi bunga dalam masyarakat Melayu ini. Katanya, sekiranya amalan tersebut adalah sebagai ikhtiar untuk kesihatan tubuh badan, kesegaran atau memulihkan semangat diri, dan menaikkan aura semata-mata, maka tidak mengapa.

Namun sekiranya mandian tersebut disertakan sekali dengan unsur syirik atau khurafat, misalnya bagi membuang sial atau mempercepatkan jodoh seseorang, maka hukumnya adalah haram dan berdosa besar.

Amalan mempercepatkan jodoh tidak ada lain selain meminta pertolongan hanya kepada Allah melalui doa kepada Nya. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Ghafir, ayat 60:

“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Ramuan rawatan mandian sendiri di rumah

mandi bunga

Berikut ini adalah kami kongsikan cara-cara bagaimana untuk membuat sendiri rawatan amalan mandi ini di rumah.

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Tujuh atau sembilan jenis bunga yang tidak berduri
  • Bunga pelbagai warna (bunga Jasmine dan bunga cempaka wajib ada)
  • Elakkan bunga berwarna hitam
  • Semua bunga mestilah segar dan berbau wangi
  • Satu botol air mawar
  • Dua biji limau purut

Kaedah penyediaan:

  1. Jumlah jenis bunga mestilah angka ganjil iaitu 7 atau 9.
  2. Asingkan bunga daripada daun dan dahan kecil.
  3. Rendam bunga-bungaan di dalam baldi / besen yang dipenuhi dengan air.
  4. Tuang sebotol air mawar dan kacau rata.
  5. Belah limau purut dan hiris nipis-nipis. Rendam bersama campuran bunga-bungaan dan air di dalam baldi / besen tadi.
  6. Rendam semalaman.

Cara mandi:

  1. Sebaiknya mandi seperti biasa terlebih dahulu sebelum mandi bunga. Tidak perlu mandi selepas ritual mandi bunga.
  2. Seelok-eloknya mandi pada waktu pagi bagi tujuan kesegaran tubuh dan juga serapan tenaga.
  3. Mulakan dengan siraman di bahagian tubuh di sebelah kanan sebanyak tiga kali diikuti siraman di bahagian tubuh sebelah kiri.
  4. Lanjutkan dengan siraman di bahagian kepala.
  5. Tidak perlu bilas. Biar seketika dan lap tubuh dengan tuala.

Bunga yang sering digunakan dalam rawatan mandian

Berikut ini adalah antara bunga yang wajib dan banyak digunakan dalam setiap rawatan mandian bunga.

  1. Cempaka putih: Dapat mewangikan dan melembutkan badan.
  2. Melur kuning dan putih: Dapat menyucikan bahagian dalaman.
  3. Bunga kenanga: Dapat menaikkan seri wajah dan menjadi tarikan.
  4. Mawar merah: Dapat memberi keyakinan dan keberanian kepada diri.

Kebaikan mandi bunga

Banyak sebenarnya manfaat rawatan mandian ini kepada kaum hawa khususnya bagi bakal pengantin baru. Berikut ini adalah manfaat yang boleh anda dapatkan:

  • Menaikkan seri wajah
  • Mengatasi masalah wajah dan tubuh yang lesu
  • Memberi semangat
  • Menambah keyakinan diri
  • Membantu menyerlahkan kecantikan dalaman
  • Memberi aura positif
  • Menjauhkan diri dari tekanan
  • Membersihkan tubuh dari kotoran

Diharapkan perkongsian kami berkenaan dengan rawatan mandi bunga untuk pengantin ini dapat memberikan anda informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan dan persiapan sebelum bergelar raja sehari.


Artikel Berkaitan:

Hannani Juhari
Author: Hannani Juhari

Leave a Reply

Scroll to Top