Dugaan Ketika Bertunang, Takdir Atau Drama?

Menginjak usia yang lebih matang atau orang kata ready untuk berumah tangga sepatutnya bijak dalam mengatasi masalah yang mendatang. 

Namun lain pula bila kini melihatkan ramai juga berkongsi tentang perpisahan melalui media sosial. Seperti sudah tidak ada malu lagi membuka aib bekas pasangan dan hubungan dengan alasan untuk ‘berkongsi’ supaya memberi pengajaran kepada yang lain.

Bukan sahaja pada pasangan yang sudah berkahwin, malah mereka yang baru sahaja bertunang pun sibuk mencanang cerita viral tentang putus tunang. Sebelum anda faham benar tentang dugaan bertunang baik diam-diam sahaja. Kenapa perlu tahu tentang putus tunang? Adakah wujud dugaan bertunang?

Kami rungkaikan secara ringkas tentang dugaan ketika ‘sarung cincin pertama’.

Dugaan = Syaitan 

Percayalah kebanyakan alasan putus tunang adalah dari perkara yang kecil seperti orang ketiga, cepat terasa dan tidak mahu bertolak-ansur. Iman dan nafsu tonggak utama untuk anda memastikan pertunangan selamat sampai ke hari besar. Bila berdua pasti akan ada perkara ketiga iaitu syaitan, ia akan lakukan apa sahaja untuk meruntuhkan jambatan bagi membina masjid baru. Beringatlah dugaan yang datang ialah kesan dari iman yang nipis dan lemah.

Foto- Google

Jika anda langsung suka mengikut perasaan dan jiwa tidak berbalik pada realiti, ini bahaya! Ingatlah pertunangan ini bukan tentang anda sahaja. Waktu ini bukan sahaja untuk mengenali pasangan tetapi mendekatkan diri pada tuhan. 

Reflek diri

Masa getir ini juga ramai yang mula mengenali pasangan masing-masing lebih mendalam. Jika anda rasa perangai dia menjengkelkan ketika ini, ketahui selepas kahwin lebih menjengkelkan. Jadi apa perlu buat? Cermin diri dan tanya pada diri anda, adakah anda seorang yang terbaik mahupun sempurna untuk si dia.

Jangan terlalu cepat untuk membuat tohmahan. Kenapa ingin bersama dengan si dia buat selamanya jika anda tidak tahan untuk tempoh pertunangan? Anda punya masa yang panjang untuk berfikir dan perkara yang paling terbaik ialah berbincang dengan pasangan. Biar sama-sama mengenali kelemahan diri supaya dapat diperbaiki sebagai persediaan rumah tangga.

Redha dan Move On

Sekalipun hubungan pertunangan tidak dapat diselamatkan langsung cukup dengan tidak menjaja aib sesiapa. 

Perkara ini bukan anda sahaja yang menanggung jadi bukan hati anda sahaja yang sakit kecewa. Jika anda percaya pada qada dan qadar pasti segala kesulitan hati dapat diserahkan dengan tenang. Lepaskanlah perkara yang pahit itu tak perlu lagi dipendam menjadi dendam.

Bertunang adalah fasa yang paling rapuh sekali sebab itulah anda akan kerap kali mendengar ucapan ‘hati-hati bila berdarah manis’ kerana ia benar. Ringkasan tentang dugaan bertunang adalah datang dari sikap, tindakan, kelakuan anda sendiri. Tiada siapa yang paksa anda untuk mengeruhkan hubungan melainkan anda dengar nafsu godaan syaitan.

Kalau anda tidak sanggup meredah dugaan dan menebalkan iman ketika bertunang jadi bersediakah anda untuk ke alam perkahwinan? 

Fadhilah
Author: Fadhilah

Leave a Reply

Scroll to Top