Posted on: December 16, 2020 Posted by: Fadhilah Comments: 0

Menindik telinga sememangnya sudah menjadi kebiasaan oleh kebanyakan masyarakat kita terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak perempuan.Tujuannya adalah untuk memakai subang atau anting-anting. Ia sebagai satu bentuk perhiasan diri.

Walaupun seseorang itu bertudung, namun jika sudah namanya wanita, minat terhadap barang perhiasan atau barang kemas sememangnya sukar untuk dielakkan.

Ia bukanlah alasan untuk seseorang itu berhias diri. Apatah lagi, ia untuk dipamerkan kepada suami atau ahli keluarganya.

Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, ada pula segelintir orang yang gemar menindik hidung dan memakai perhiasan di bahagian anggota berkenaan.

Bolehkah kita menindik hidung? Apakah hukumnya dalam Islam?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani menjelaskan, seandainya seseorang itu menindik hidung kerana terikut-ikut dengan budaya lain, ia suatu yang dilarang dalam syarak.

“Ini kerana ia sudah menyerupai suatu kaum sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis baginda,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video TikTok yang dikongsikan di Instagram miliknya baru-baru ini.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” (Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Abi Syaibah, al-Tabarani, al-Baihaqi dan al-Bazzar)

Begitupun, jelas Ustaz Ahmad Dusuki, seandainya perbuatan menindik tadi dilakukan dengan tujuan untuk kacantikan yang ingin diperlihatkan kepada suami atau keluarganya, ia dibenarkan dalam syarak.

“Namun, bagi saya, lebih baik jangan tindik pada hidung. Tindiklah pada telinga iaitu tempat yang sepatutnya kita memakai subang.

“Itulah yang disebut sebagai kecantikan buat kita, bukan untuk orang lain. Inilah yang terbaik dalam hidup kita,” sarannya.

Sebaiknya, kita ikutilah saranan agamawan ini agar tidak menindik hidung demi kebaikan bersama.

Leave a Comment