‘Wanita pelacur beri anjing dahaga minum, diampunkan dosanya’ Ini maksud sebenar hadis itu

Kita sebenarnya tidak layak untuk menilai, apatah lagi menghukum orang lain sewenang-wenangnya.Walaupun kesalahan dan dosa jelas terzahir pada individu berkenaan, cukuplah sekadar kita menegur kesilapannya.

Pada masa sama, nasihatkan orang itu agar bertaubat dan tidak mengulangi lagi perbuatan sama.

Demikian yang perlu kita lakukan andai melihat orang lagi berbuat maksiat. Begitupun, jika perlakuan inidvidu itu memudaratkan, laporkanlah kepada pihak berkuasa supaya tindakan boleh diambil.

Sekalipun orang itu sudah ditahan atau dimasukkan penjara, bukan menjadi hak kita untuk mengeji, apatah lagi melabelkan mereka atas hukuman yang dikenakan.

Barangkali individu berkenaan hina pada mata kita, tetapi tidak di sisi ALLAH SWT kerana barangkali taubatnya telah diterima dan amalan solehnya.

Berbicara tentang perkara ini, acap kali kita mendengar kisah seorang pelacur yang memberi minuman kepada seekor anjing yang hampir mati kerana dahaga.

Disebabkan perbuatan itu, ALLAH SWT mengampunkan dosa wanita tadi.Malah, ada sebilangan orang yang menganggap ungkapan itu seolah-olah ‘merestui’ seseorang untuk melacur asalkan dirinya mempunyai sifat ihsan.

Memperbetulkan tanggapan silap itu, pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli mengajak umat Islam untuk memahami makna hadis masyhur riwayat Sahih Muslim.“Perbuatan melacur atau berzina itu begitu dibenci apalagi dikeji.

Namun, perbuatan baik (ihsan) yang dilakukan terhadap semua jenis haiwan pula adalah dipuji dan amalan mulia.

“Sesungguhnya, sifat ihsan datang dari hati yang penyayang,” ungkapnya sebagaimana dipetik menerusi ciapan beliau menerusi akaun Twitter miliknya baru-baru ini.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang yang penyayang akan dikasihi oleh ALLAH ar-Rahman (yang MAHA PENYAYANG).

Kasihilah kamu kepada mereka yang berada di atas muka bumi, nescaya ALLAH yang di atas langit akan mengasihi kamu.” (Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis, perbuatan wanita menyantuni haiwan pada zaman Bani Israel tadi, kata Ustaz Muhammad Fahmi, ia secara jelas menunjukkan bahawa ALLAH SWT benci dengan perbuatan yang menjadi larangan-NYA.

“Sementelah, perlakuan yang disuruh oleh-NYA itulah perbuatan yang disukai-NYA.

“Meskipun orang yang melakukan perbuatan yang dilarang dan perbuatan yang disuruh oleh ALLAH itu ialah orang yang sama, tetapi atas ihsan pelacur itu kepada makhluk iaitu yang terlahir daripada sifat penyayang dalam jantung hatinya, maka ALLAH SWT ampunkan wanita ini.

“Inilah yang mengajar kita. ALLAH SWT mengampunkan semua dosa melainkan (seseorang hamba itu) mati dalam kesyirikan,” katanya yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Justeru, beliau mengajak umat agar merebut peluang dalam sisa hidup yang masih ada, kembali kepada ALLAH SWT.

Sesungguhnya, tiada apa yang menggembirakan hati umat Islam selain mendapat pengampunan-NYA.Itu sahajalah bekal ampuh untuk melayakkan kita ke syurga abadi milik ALLAH SWT.

Sumber: Twitter @fahmirusliMFR

Fadhilah
Author: Fadhilah

We will be happy to hear your thoughts

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart