Ramai ingat suara wanita itu aurat, tetapi sebenarnya…

“AWAK tu perempuan, mana boleh cakap kuat-kuat. Suara wanitakan aurat.”Demikian antara frasa yang sering kali kita dengar daripada orang di sekeling. Ramai yang beranggapan suara wanita adalah aurat. 

Apatah lagi, jika suara itu lunak dan nyaring diperdengarkan kepada golongan yang bukan mahramnya.Jika apa yang disuarakan itu melibatkan perbuatan yang lagha, sudah pasti tiada sesiapa yang akan menyangkalnya.

Namun, apabila membabitkan kerja-kerja dakwah dan seumpama dengannya pula, bagaimana penilaiannya?Adakah benar suara wanita sememangnya aurat? Apakah pandangan Islam mengenainya?

Jom ikuti penjelasan pendakwah Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali sebagai Ustaz MK Azman tentang perkara ini:

Menurut pendapat jumhur ulama, suara wanita tidaklah dikira sebagai aurat. Ini kerana para sahabat mendengar suara isteri-isteri Nabi Muhammad SAW untuk mempelajari hukum-hukum agama.

Namun, mereka diharamkan mendengar suara yang berbentuk lagu dan irama sekalipun bacaan al-Quran kerana dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Wahai isteri-isteri nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” (Surah al-Ahzab, ayat 32)

Ketika menafsirkan ayat berkenaan, Ibn Khatir berkata, firman ALLAH SWT tentang ayat ‘oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing)’, kata Al-Sauddi dan selainnya; “Yang dimaksudkan adalah melembutkan kata-kata jika mereka berbicara dengan lelaki.

”Untuk itu, ALLAH SWT berfirman ‘yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu)’, iaitu bermaksud niat buruk.

Sementara itu, ayat ‘dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)’, jelas Ibn Zaid; “Kata-kata yang baik, bagus dan maaruf dalam kebaikan. Makna hal ini adalah bahawa wanita berbicara kepada kaum lelaki dengan kata-kata yang tidak mengandungi kelembutan. Ertinya, janganlah seorang wanita berbicara dengan kaum lelaki seperti berbicara dengan suaminya.

”Berdasarkan perbahasan di atas, ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa suara wanita bukanlah aurat. Di samping itu, ramai tokoh wanita yang menjadi guru dan mengajar kepada anak muridnya bukan sahaja pada hari ini tetapi sejak berzaman lagi.

Dalam hal ini, suka untuk saya kongsikan pandangan Al-Alusi yang menyatakan: “Yang tersebut di dalam kitab-kitab fiqah Syafie, di mana aku sendiri cenderung kepada pendapat ini (suara bukan aurat) kecuali kalau dikhuatiri timbulnya fitnah.”

Menurut ulama Mazhab Hanafi, pendapat yang rajih (sesuatu nas dan dalil daripada al-Quran) adalah suara wanita bukan aurat.

Patuhi syarat tertentu

Meskipun suara kaum Hawa bukan aurat, namun ia tidaklah boleh dipandang remeh. Masih ada syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi seandainya mereka mahu menyanyi umpamanya.

Tidak boleh sewenangnya-wenangnya mereka mengalunkan nyanyian tanpa menepati perkara ini. Antaranya menjaga adab-adab iaitu menutup aurat, tidak menggerakkan badan yang boleh mendatangkan fitnah, tidak bersolek dan wajib berpakaian sempurna seperti yang dituntut ke atas wanita Muslimah.

Kedua, perlu dipastikan juga suasana majlis sebelum menyanyikan lagu iaitu tiada percampuran antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.

Paling signifikan, persembahan yang ingin dilakukan itu mestilah atas tujuan untuk berdakwah dan menanam kesedaran Islam seperti diadakan tazkirah atau zikir kepada ALLAH, bukan untuk berhibur semata-mata.

Seandainya tempat, suasana dan tujuan persembahan itu menepati syarat yang digariskan oleh syarak, gunakan peluang itu sebaiknya. Jadikan platform berkenaan untuk memberi kefahaman kepada mereka tentang agama Islam yang syumul.

Bagaimana pula suara wanita yang menyertai pertandingan tilawah al-Quran? Menjawab kepada persoalan itu, hukumnya adalah haram berdasarkan hujah-hujah yang telah diberikan. Namun begitu, di sisi Imam Syafie, ia diharuskan jika tidak menimbulkan fitnah.

Bagi wanita yang menggunakan suaranya dalam majlis ilmu, usahlah risau kerana hukumnya adalah harus. Tiada halangan untuk mereka bertanyakan soalan sekalipun kepada guru lelaki.

Bukan itu sahaja, guru wanita juga boleh menggunakan suaranya untuk mengajar masyarakat awam. Lazimnya, guru-guru dan pelajar-pelajar wanita tidak menggunakan suara yang merdu atau lemah lembut sehingga menimbulkan kegusaran pada hati orang lelaki ketika itu.

Kepada mereka yang selama ini keliru, sekali lagi ditegaskan bahawa suara wanita bukanlah aurat kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu. Misalnya, jika wanita berkenaan melunakkan suaranya dengan lelaki ajnabi yang bukan suaminya sehingga mendatangkan rasa ghairah dan seronok pada jiwa mereka, ia tidak dibenarkan sama sekali.

Diharapkan penjelasan daripada Ustaz Mohd Khairul Azman itu dapat meleraikan segala kekeliruan masyarakat sebelum ini.

Fadhilah
Author: Fadhilah

We will be happy to hear your thoughts

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart