Perlukah parti bujang atau ‘Bridal shower’? Ini jawapannya dalam perspektif islam

Bridal shower atau bachelor party sekarang ini makin menjadi trend di Malaysia. Bukan hanya di kalangan selebriti, tapi majlis ini juga dianjurkan di kalangan masyarakat biasa, khususnya wanita yang bakal melangsungkan perkahwinan.

Di luar negara, acara ini biasanya disertai dengan parti yang menjemput teman rapat masing-masing bagi meraikan hari perkahwinan yang bakal tiba di samping meluangkan masa bersama sebelum bergelar suami atau isteri.  Teman-teman juga akan membawakan hadiah khusus bagi bakal pengantin.

Persoalannya, ada yang mengecam dan menganggap bahawa ia tak patut diadakan oleh kita yang beragama Islam.

Jadi, adakah bridal shower yang diamalkan oleh pengantin yang berbangsa melayu beragama islam sebelum malam perkahwinan itu dibenarkan syarak?

Mari kita ikuti jawapan yang dijelaskan oleh Mufti Wilayah PersekutuanDato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi Al-Kafi #909 Hukum Bridal Shower atau Bachelorette Party di bawah ini.

HUKUM BRIDAL SHOWER ATAU BACHELORETTE PARTY MENURUT ISLAM

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam, selawat serta salam buat Nabi SAW, ahli keluarga baginda, isteri-isteri, para sahabat baginda, seterusnya mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

Untuk memahami persoalan yang diajukan, kita perlu memahami beberapa perkara.

Asal-Usul Bridal Shower Atau Bachelorette Party

Menurut sebuah artikel di laman web World Bride Magazine, ‘bridal’ ini berasal dari Holand pada kurun ke-16. Ia disambut untuk mengembirakan bakal pengantin yang akan menamatkan zaman bujang. Ia juga untuk membantu pengantin perempuan bagi menyediakan dowry iaitu hadiah daripada pihak pengantin perempuan kepada pengantin lelaki.

Perkataan ‘shower’ pula muncul di Amerika Syarikat ketika era Victoria. Gadis-gadis daripada golongan pembesar meraikan bakal pengantin dengan sesi bersuka-ria, menukar hadiah dan makan bersama. Selepas beberapa kurun, hal ini menjadi suatu kebiasaan bagi pengantin untuk diraikan sebelum perkahwinan mereka.

Larangan Menyerupai Orang Kafir

Dalam permasalahan ini, kami telah menjawab dalam artikel yang bertajuk, Bayan Linnas Siri Ke- 152: Had Berinteraksi Dengan Agama Lain Di Dalam Rumah Ibadat Mereka Di Malaysia. Dalam artikel ini, kami menghuraikan dengan panjang tentang larangan menyerupai orang kafir.

Islam merupakan agama yang amat mementingkan identiti. Sedangkan manusia amat menitikberatkan identiti bangsa yang dianuti dan negara yang diduduki, apatah lagi Allah SWT, Tuhan yang menurunkan agama ini. Oleh itu, sebagai hamba-Nya yang taat, kita perlu berhati-hati dalam memastikan identiti Islam sentiasa terpelihara daripada penyerupaan dengan agama lain.

Lantaran itu, kita dilarang oleh Rasulullah SAW menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan identiti atau lambang atau syiar agama mereka.

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031)

Imam al-San’ani (w.1182H) Rahimahullah berkata bahawa hadis di atas menunjukkan barangsiapa yang menyerupai orang-orang fasiq ataupun kafir ataupun orang yang melakukan bid’ah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka.

Kesimpulan

Setelah meneliti asal-usul bridal shower, kami melihat ia bukanlah suatu syiar mana-mana agama, ia hanyalah amalan yang dilakukan oleh kumpulan tertentu.

Oleh itu, kami mencadangkan dan memutuskan seperti berikut:

  • Sekiranya hendaklah melakukan acara ini, hendaklah menjauhi segala larangan dan perkara yang diharamkan syarak
  • Hendaklah memastikan tiada hidangan arak atau minuman yang memabukkan ketika acara ini berlangsung
  • Hendaklah menjaga batasan pergaulan di antara lelaki dan perempuan ketika majlis ini berlangsung
  • Hendaklah acara ini hanya bertujuan untuk mengeratkan silaturahim di antara pengantin dan sahabat-sahabatnya, dan bukan bertujuan untuk mengikuti budaya barat
  • Dicadangkan agar menukar nama acara ini, kepada malam silaturahim, atau nama yang dirasakan bersesuaian agar dapat keluar daripada fitnah
  • Hendaklah mengelakkan sebarang pembaziran ketika berlangsung acara ini dan mengelakkan daripada bermegah-megah

Maksudnya kita tidaklah dilarang daripada menganjurkan majlis bridal shower ini sekadar untuk mengeratkan silaturahim dan bertemu semula dengan kawan-kawan yang dah lama tak jumpa.

Tapi perlu diingat, majlis tersebut perlulah diadakan dengan mematuhi garis panduan sebagai seorang Muslim seperti menjaga batas pergaulan serta mengelakkan fitnah dan pembaziran.

Dalam berseronok, jangan lupa mendoakan kebaikan dan kebahagiaan untuk bakal pengantin juga ya!

Fadhilah
Author: Fadhilah

We will be happy to hear your thoughts

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart