Maksud sirih junjung dalam hantaran perkahwinan, wajarkah sirih junjung tiruan?

Musim walimatulurus menjelma lagi. Kad undangan rancak dihantar ke sana ke mari. Tidak kurang juga menjemput secara lisan dan memanfaatkan aplikasi Whatsapp dan Facebook untuk mengundang para tetamu ke majlis mereka. Pasti sudah banyak juga belanja yang dikeluarkan bagi menyiap­kan hantaran yang sinonim dengan masyarakat Melayu.

Sirih junjung dan tepak sirih antara hantaran yang akan disediakan oleh kedua-dua pihak lelaki dan perempuan dalam adat bertunang dan majlis perkahwinan Melayu. Ia adat tradisi masyarakat Melayu yang masih diamalkan dalam sesebuah majlis pertunangan ataupun perkahwinan pada hari ini. Fungsi asalnya dikatakan sebagai ‘pembasah mulut’ ataupun pembuka bicara sebelum majlis berlangsung.

Ia juga kebiasaannya dijadikan ‘kepala’ dulang untuk deretan dulang hantaran yang ingin dihadiahkan kepada pihak keluarga pasangan.

Begitupun, masyarakat hari ini dilihat lebih cenderung kepada penggunaan sirih junjung berbanding tepak sirih. Hal ini kerana ia boleh digubah mengikut tema majlis dan menjadikannya nampak lebih moden, menarik serta unik. Rupanya yang cantik juga dikatakan sebagai penye­ri bagi keseluruhan dulang hantaran yang ada bersama di dalam majlis tersebut.

Kebiasaannya gubahan sirih junjung tidak lengkap tanpa bahan lain seperti gambir, kapur, pinang, tembakau dan cengkih. Kesemua bahan yang digunakan dalam gubahan sirih junjung mempunyai makna yang tersirat berdasarkan apa yang telah diceritakan oleh orang tua dahulu.

Daun sirih membawa maksud sifat berani, tidak mudah berputus asa, merendah diri dan sentiasa memuliakan orang lain. Rasa gambir yang kelat kepahit-pahitan melambangkan kecekalan serta keteguhan hati seseorang manakala rasa cengkih yang pedas pula dikatakan perlambangan seseorang yang berpegang kuat pada prinsip hidup.

Selain itu, tembakau menunjukkan seseorang yang berhati tabah dan sedia berkorban dalam segala hal. Kapur pula mencerminkan hati seseorang yang putih bersih serta tulus manakala pinang sebagai lambang keturunan orang yang baik budi pekerti, tinggi darjatnya serta jujur.

Jika kesemua bahan ini disatukan dan dimakan, pasti ia akan timbul rasa masam, masin, manis, dan pahit. Kesemua rasa ini diibaratkan sebagai lambang asam garam kehidupan berumahtangga diantara pasangan suami dan isteri kelak.

Namun, kebanyakan gubahan sirih junjung yang ada di pasaran hari ini digubah menggunakan daun sirih tiruan yang diperbuat daripada plastik. Bolehkah dauh sirih tiruan digunakan sebagai pengganti daun sirih asli?

Hal ini terus berleluasa pada masyarakat Melayu dan ia seolah-olah menjadi satu budaya serta ikutan ramai. Antara alasan utama mengapa daun sirih tiruan dipilih dalam gubahan sirih junjung disebabkan ia mudah digubah serta dibentuk, selain faktor ketahanannya.

Tidak seharusnya daun sirih tiruan digunakan dalam gubahan sirih junjung kerana maksud tersirat daun sirih itu sendiri diertikan sebagai sifat berani, tidak mudah berputus asa, merendah diri dan sentiasa memuliakan orang lain. Jika daun sirih tiruan terus digunakan ia seolah-olah tidak membawa maksud dan dianggap plastik semata-mata.

Adat Melayu adalah warisan yang perlu dikekalkan meskipun arus pemodenan dan teknologi semakin berkembang pesat. Siapa lagi yang harus mengekalkan adat warisan Me­layu hingga ke akhir zaman, jika bukan generasi hari ini.

Fadhilah
Author: Fadhilah

Leave a Reply

Scroll to Top