Posted on: September 14, 2020 Posted by: Fadhilah Comments: 0

Setelah beberapa kali ditangguhkan tayangan akibat penularan wabak pandemik Covid-19, akhirnya filem Disney’s Mulan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 4 September lalu.

Filem live action ini adalah adaptasi daripada sebuah kisah lagenda mengenai pahlawan wanita bernama Hua Mulan yang dijayakan oleh Crystal Liu Yifei. Mulan telah menyamar sebagai seorang lelaki supaya dia dapat mengambil alih tempat bapanya yang sudah tidak berupaya untuk berada dalam tentera dan kembali berperang dengan tentera Rouhan yang cuba merampas serta memusnahkan kekuasaan Maharaja China pada waktu tersebut.

Dia juga terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama di dalam menyembunyikan identiti sebenarnya daripada diketahui rakan-rakan lelaki di dalam kem latihan serta membina kekuatan diri agar setanding dengan kaum lelaki.

Masih mengekalkan hampir kebanyakan babak di dalam filem animasi Mulan yang diterbitkan pada tahun 1998, namun pengarah filem itu, Niki Caro tampil dengan gaya penceritaan yang lebih segar dan realistik, sesuai dengan peredaran zaman.

Sedikit berbeza daripada filem animasi kerana perjalanan filem ini mengisahkan Mulan yang sejak kecil meminati seni mempertahankan diri dan mempunyai ‘chi’ yang kuat.

Bagaimanapun pada zaman itu, wanita yang memiliki kelebihan itu dianggap membawa aib kepada keluarga kerana menyamai kaum lelaki. Tidak hanya mengubah sedikit jalan cerita, kemunculan watak baharu seperti Xian Lang, iaitu ahli sihir yang mampu mengubah diri menjadi helang membuatkan perjalanan filem ini sedikit berbeza dan menarik.

Lari dari kebiasaan yang kita lihat pada watak antagonis, Xian Lang yang dijayakan oleh pelakon Gong Li masih mempunyai sifat belas kasihan sehingga sanggup berubah dan berkorban demi Mulan. Bukan itu sahaja, penglibatan pelakon hebat seperti Jet Li, Donnie Yen menjadi antara faktor penarik buat peminat filem seni mempertahankan diri menonton Mulan di pawagam.

Cuma sayangnya, ketiadaan watak naga seperti dalam filem animasi membuatkan naskhah kali ini agak ‘keras’ kerana kurangnya unsur komedi kerana jika anda pernah menonton animasi, anda pasti tahu bagaimana watak naga itu menghiburkan penontonnya.

Namun tidaklah sehingga mengganggu jalan cerita filem ini. Antara lain yang menarik adalah banyak nilai-nilai murni meliputi elemen kekeluargaan, persahabatan dan kenegaraan yang berjaya diadun dengan cukup baik.

Justeru bagi anda yang belum menonton dan mahu mengetahui kesudahan perjuangan Mulan, jangan lupa saksikan filem Mulan di pawagam berdekatan anda.

Mulan

Pengarah: Niki Caro

Pelakon: Crystal Liu Yifei, Donnie Yen, Jason Scott Lee, Yoson An, Gong Li, Jet Li

Genre: Pengembaraan / Drama / Kekeluargaan

Durasi: 115 Minit

Klasifikasi: P13

Tayangan: 04 Sept 2020

Bintang : * * * *

Leave a Comment