Mengapa perceraian perlu berlaku dalam rumah tangga? Ini sebabnya…

Setiap pasangan yang berkahwin tidak mahukan perceraian berlaku kepada mereka, tapi siapa yang mampu melawan takdir dan mungkin sudah tersurat bahawa sampai di situ sahaja hubungan mereka berdua sebagai suami isteri.

Daripada teruskan juga hubungan yang sudah berada di hujung tanduk, lebih baik masing-masing mengundur diri dan bawa haluan masing-masing.Ini antara sebab mengapa perceraian kadang-kala, jalan terbaik untuk pasangan berkahwin.

Beri Peluang Kedua Kepada Diri Untuk Bertemu Dengan Mr/Mrs Right

Pengalaman di alam perkahwinan banyak mengajar diri untuk jadi lebih matang dalam kehidupan, meski perkahwinan kamu dan si dia tidak bertahan lama ia bukan bermakna orang lain tidak sesuai untuk bersama kamu.

Dengan perceraian ini, kamu dapat memberi peluang kedua pada diri untuk bertemu dengan insan yang lebih layak berada disisi kamu dan menjaga kamu sepenuh hati.

Fokus Tingkatkan Kebolehan Diri

Kadang-kala kamu tak sedar apabila kamu telah berkahwin, kamu semakin jauh dari diri kamu yang asal dan lupa kebolehan diri kamu sendiri kerana lebih mengutamakan keperluan pasangan.

Tetapi apabila sudah bercerai, kamu dapat memberi fokus kepada diri kamu dan tingkatkan semula segala kebolehan diri serta mencari matlamat hidup kamu semula.

Kamu Jadi Lebih Bahagia Dan Gembira

Jika sebelum ini perkahwinan kamu dan si dia banyak membawa kedukaan kepada kamu, kini selepas bercerai hidup kamu kembali bebas dan bertukar lebih ceria.

Selepas melalui fasa yang memeritkan, kamu bangkit dan pulih dengan menjadi individu yang lebih bahagia, gembira dan ceria dari sebelum ini.

Anak-Anak Juga Gembira Dan Ceria

Mungkin pandangan “Tinggal bersama demi anak-anak” adalah bagus, tetapi ia sebenarnya ia memberi kesan yang sebaliknya kepada anak-anak.Kerana setiap hari anak-anak akan mendengar pertengkaran kamu berdua dan ini akan memberi kesan psikologi yang tidak baik.

Tetapi dengan perceraian, dan kamu memberi penjelasan dengan jelas kepada anak-anak, percayalah emosi mereka akan jadi lebih baik dan perlahan-lahan cuba menerima realiti.

Kamu Jadi Lebih Sihat Dan Menarik Seperti Masa Bujang

Tak kira lelaki mahupun wanita yang dah bercerai, mereka akan cuba mengembalikan bentuk fizikal seperti masa bujang.

Masing-masing akan mula menjaga kesihatan diri, dan lebih rajin menjaga penampilan diri agar sentiasa kelihatan segar dan mantap.

Perceraian bukanlah jalan maut dalam kehidupan pasangan yang berkahwin, tetapi sebaliknya merupakan pintu untuk kamu mencari insan sebenar untuk bertahta dan menyerikan kehidupan kamu.

Jadi jangan patah semangat untuk mengenali orang lain dan beri peluang untuk kamu menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya.

Fadhilah
Author: Fadhilah

Leave a Reply

Scroll to Top