Masih cantik bergetah walaupun di usia 51 tahun, Ini rahsia amalan Maria Farida

Bagi peminat drama Melayu, pasti mengenali wajah pelakon jelita, Datin Seri Maria Farida. Beliau bukan sahaja dikagumi dengan mutu lakonannya yang bersahaja, namun juga kerana kecantikan dan penampilannya yang mempersonakan.


Bahkan, tidak keterlaluan penulis menyifatkan wanita berdarah kacukan Melayu-Filipina itu turut dicemburui kerana memiliki pesona tersendiri.


Bayangkan, pada usia 51 tahun pelakon tersebut masih kekal jelita persis anak dara.

Jadi bukan sesuatu yang mengejutkan apabila ibu kepada tiga cahaya mata berusia itu menjadi dambaan kebanyakan produk.

Satu daripadanya apabila isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Rahman Shakur berkenaan dilantik menjadi duta produk kecantikan dan kesihatan jenama, Lucol-S.

Apakah petua awet muda Maria Farida sehingga langsung tidak nampak dimamah usia?

Saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk jawab kerana saya memang tidak mempunyai amalan khusus. Percayalah, semua yang ada ini semula jadi. Malah, untuk penjagaan kulit pun saya tidak punya set produk lengkap.

Rutin jaga kulit saya cukup dengan mencuci muka dengan pencuci mekap yang berpelembap. Saya punya kulit sensitif, tiada produk yang sesuai dengan kulit saya. Saya rasa apa yang saya miliki ini mungkin daripada faktor genetik ibu dan nenek kerana nenek saya pun masih nampak muda walau sudah lanjut usianya.

Tidakkah ibu dan nenek anda sendiri punya apa-apa petua yang diturunkan?

Tidak ada. Mereka juga seperti saya tidak amalkan apa-apa petua kecantikan seperti jamu dan lain-lainnya. Saya rasa apa yang penting adalah sentiasa rasa gembira dan jalani kehidupan yang sihat. Dan kecantikan itu akan datang dengan sendirinya.

Bagaimana dengan penjagaan badan, bagaikan anak dara lagi susuk tubuhnya?

Saya sejenis yang kuat makan. Saya akan makan apa sahaja dan tiada pantang-larangnya. Cuma saya hadkan pengambilan nasi seperti sekali sehari. Yang lain-lain tu saya makan saja, terutamanya dessert.

Saya bertuah kerana sejak muda saya mempunyai kadar metabolisme yang tinggi, mungkin itu penyumbang kepada berat badan saya yang tidak berubah. Paling berat pernah saya alami adalah 55kg, itu pun dah rasa gemuk sangat. Dan, sekarang berat saya sekitar 51kg. Saya juga tidak ke gimnasium. Mungkin, rutin harian saya yang sibuk dan selalu ke sana sini membuatkan saya mudah membakar lemak dan kalori yang ada.

Pernah atau tidak melakukan rawatan kecantikan estetik seperti suntikan botoks, kolagen dan sebagainya?

Saya tidak rasa frozen look itu cantik. Muka yang bengkak dan tidak nampak asli itu cantikkah? Saya tidak faham dengan orang yang buat-buat muka ini kerana ia nampak fake. Ada juga sesetengah netizen yang kata saya buat muka, kadang-kadang saya belek muka sendiri, bahagian manalah yang mereka nampak tidak asli itu?

Saya ini seorang yang penakut dengan jarum, memang mustahil untuk saya serahkan diri melakukan itu semua. Kalau mahukan wajah yang sempurna banyak lagi cara lain yang lebih selamat seperti melakukan facial exercise yang boleh diikuti menerusi YouTube. Atau, lebih mudah, gunalah alat solek untuk menutupi kekurangan yang ada. Dengan solekan yang tepat, wajah buruk pun boleh jadi cantik.

Apakah tips solekan anda?

Pilihlah kaedah dan teknik solekan yang tepat. Tidak salah untuk meniru solekan di YouTube dan seangkatan dengannya, asalkan sahaja ia kelihatan cantik di wajah anda. Namun, jangan terlebih bersolek sehingga kelihatan seperti badut.

Tidak semua solekan yang dilihat cantik itu, terlihat yang sama pada wajah kita. Bersoleklah mengikut kesesuaian wajah dan praktik selalu untuk mendapatkan kesempurnaan.

Makna cantik bagi anda?

Seperti yang selalu dikatakan, ia perlu dimulakan dari dalam. Kalau hati penuh hasad dengki, dendam, suka membanding-bandingkan diri sendiri dengan orang lain, maka hilang seri wajah itu. Bagi saya cantik itu banyak didorong oleh keyakinan diri. Sentiasa bahagiakan diri.

Fadhilah
Author: Fadhilah

Leave a Reply

Scroll to Top