Posted on: September 28, 2020 Posted by: Fadhilah Comments: 0

Wanita mana yang tidak gilakan beg tangan berjenama. Bak kata pepatah, alah membeli, menang memakai walaupun terpaksa berkorban ribuan ringgit wang saku sendiri. Ada juga yang beruntung menerima beg sebegitu sebagai hadiah daripada pasangan sebagai tanda penghargaan hadiah ulang tahun kelahiran, perkahwinan mahupun diberikan kerana pasangan terlalu banyak duit.

Pastinya langit terasa cerah untuk tempoh sebulan kerana terlalu gembira. Namun begitu, dalam melayani rasa teruja kenalah juga periksa sama ada beg anda itu asli ataupun tidak lebih-lebih lagi mereka yang gemar membeli-belah secara atas talian mahupun menggunakan perkhidmatan membeli-belah peribadi (personal shopper).

Memastikan anda bukan seorang daripada mangsa pembelian barangan tiruan, satu teknologi dicipta dalam bentuk mikrocip yang mengandungi aplikasi Pengenalan  Frekuensi Radio (Radio Frequency Identification – RFID).

Cip itu juga dilengkapi kod unik yang boleh diimbas untuk mendaftarkan barang yang dibeli melalui telefon pintar. Satu jenama yang sudah mengaplikasikan teknologi ini ialah Moncler bagi himpunan musim panas/bunga 2016.

Sekiranya kod ini tidak dapat dikesan, ada kemungkinan barang yang dibeli adalah palsu.Selain itu, beberapa jenama lain turut menggunakan teknologi ini antaranya Salvatore Ferragamo yang meletakkan cip RFID pada himpunan musim praluruh yang ditampal pada kasut sebelah kiri, manakala Fendi, Walmart dan Marks & Spencer pula meletakkan RFID pada teg untuk membantu pihak pengurusan menyenaraikan item dan pengurusan mereka.

Kesan penggunaan teknologi ini ternyata membantu urusan penjualan, misalnya jenama pakaian wanita yang berasal dari Jerman, Gerry Webber melaporkan sejak meletakkan RFID pada semua produknya pada tahun 2011, pihaknya mengalami kenaikan penjualan kerana pengumpulan data yang tepat.

Selain itu, penggunaan RFID turut membantu mengukur stok barang dan mencegah pembekal menghasilkan stok cetak rompak yang dijual dengan bebas.Beberapa negara di Eropah juga sudah mempraktikkan penggunaan RFID agar barang yang dijual benar-benar asli, di samping melindungi hak pembeli.

Selain penggunaan cip seperti RFID, terdapat beberapa cara mudah untuk mengetahui sama ada sesuatu produk itu asli ataupun palsu.

Berikut disediakan 11 panduan bagi membezakan beg tangan yang asli dengan beg tangan palsu:

1. Pergi ke cawangan rasmi

Jika berasa sangsi dengan kesahihan beg tangan yang dibeli, pengguna boleh membawa produk berkenaan ke butik rasmi jenama terbabit untuk pemeriksaan. Biasanya mereka menyediakan khidmat profesional untuk mengesahkan keaslian barang yang dimiliki.

2. Bentuk beg

Perhatikan struktur beg tangan. Walaupun beg tangan asli mahupun tiruan menggunakan bahan yang hampir sama, beg tangan asli memiliki struktur yang sangat kukuh. Pola jahitan dan tulang rangkanya dijahit dengan pola jahitan berganda (double stitch) dengan benang dua rangkap dan dijahit sebanyak dua kali.

3. Nombor siri

Nombor siri yang biasanya terdiri daripada huruf dan angka ini tersembunyi pada bahagian dalam beg tangan dan memiliki ertinya. Misalnya, beg tangan dengan nombor sisi LV SP0048 bererti ia diperbuat dibuat pada bulan April tahun 2008. Untuk menyemak keaslian nombor siri berkenaan, pengguna boleh melayari https://purseblog.com, www.mypoupette.com atau www.caroldiva.com.

4. Tulisan ‘Made in’

Beg tangan Chanel asli biasanya memiliki tulisan Made in Italy atau Made in France. Jangan tertipu, barang asli tidak ditulis Made in Paris. Untuk model tertentu, seperti flapbag Chanel biasanya ditulis Made in France.

5. Perlindungan asas diperbuat daripada besi

Beg tangan berjenama asli, biasanya memiliki  perlidungan asas yang diperbuat daripada lapisan besi (protective metal base) pada bahagian dasar beg tangan yang fungsinya untuk mencegah beg tangan tidak mudah tergores. Beberapa jenama bahkan memiliki standard tertentu atau biasanya mempunyai logo cetakan timbul (emboss).

6. Pelapik dalam

Antara perkara yang diperhatikan ketika membeli beg tangan berjenama adalah memeriksa pelapik beg tangan bahagian dalam. Misalnya, kain pelapik pada beg tangan Prada atau Gucci biasanya bermotif logo dan nama jenama yang mana setiap musim memiliki motif yang berbeza-beza.Perbezaan ini juga boleh dilihat pada logo dan bentuk huruf jenama terbabit kerana produk palsu mmpunyai logo yang sangat berbeza daripada bentuk asli.

7. Zip

Satu lagi cara mengenal pasti barangan yang adalah asli, perhatikan zip atau bahan yang digunakan untuk menutup beg (resleting). Produk asli memiliki bahan yang agak kasar dengan logo cetakan timbul. Bahkan setiap musim, kebanyakan jenama akan mengubah sedikit perincian pada zip atau kancing yang digunakan.

8. Tag

Setiap barang berjenama biasanya memiliki teg atau label yang berbentuk seperti kad kredit berhologram atau timbul. Beberapa jenama tertentu seperti Gucci, Chanel, atau Louis Vuitton biasanya disertakan bekas kecil yang berisi informasi mengenai jenis beg tangan dan cara penjagaannya.

9. Warna kulit

Tidak susah untuk mengenal pasti beg berjenama yang dibeli itu asli atau tiruan. Satu cara paling mudah mengesannya adalah melihat warna kulitnya. Meski memiliki warna hitam yang sama dengan produk asli, kepekatan warna produk asli sangat sukar untuk ditiru.

10.  Cara pembungkusan

Dustbag (pembungkus beg tangan) biasanya memiliki bahan dengan tekstur yang halus dan berukuran lebih besar daripada beg tangan. Jika pengguna menemukan beg tangan dengan dustbag yang ukurannya ‘ngam-ngam’ dengan beg tangan yang dijual, itu maknanya ia tidak asli. Perhatikan juga di dalam dustbag kamu, kalau ia disertai kain lap pembersih dalam setiap sarungnya, maka anda tidak perlu risau kerana beg itu adalah asli.

11. Harga

Barangan berjenama dijual pada harga murah? Tidak mungkin melainkan kamu membelinya di Factory Outlet! Diskaun sebanyak 30 peratus adalah bentuk promosi yang tidak masuk akal! Jenama Louis Vuitton, Chanel, Gucci, Dior dan seangkatan dengannya tidak pernah memberikan diskaun di butik rasminya, kecuali potongan harga khusus bagi pekerjanya yang mungkin cuma setahun sekali.

Kalau adapun potongan harga itu cuma untuk barangan yang sudah tidak dikeluarkan lagi (out of season).Rasanya mudah saja untuk membezakan barangan berjenama yang asli dengan tiruan. Anda hanya perlu lebih teliti, itu saja!

Leave a Comment