Jika alami Mental Breakdown, Ini yang patut anda lakukan!

Cuba kamu tanya sesiapa sahaja tentang gangguan mental, adakah mereka faham istilah itu sebenarnya membawa maksud apa?


Sebilangan besar masyarakat masih lagi menyalahertikan istilah gangguan mental yang terjadi kepada kebanyakan orang. Ramai yang menyamakan penyakit tersebut dengan kurang siuman. Umumnya, penyakit ini melibatkan kemurungan, keresahan, gangguan bipolar dan juga skizofrenia.


Secara puratanya, golongan wanita lebih mudah mengalami gangguan mental berbanding lelaki. Banyak faktor yang boleh menjadi penyebab kepada penyakit gangguan mental ini.

Sekiranya kamu mengalami beberapa simptom ini, kamu perlu lakukan sesuatu bagi membendungnya daripada menjadi lebih teruk.


Maksud Sebenar Gangguan Mental

Istilah gangguan mental ini digunakan untuk menggambarkan seseorang individu itu berada dalam tempoh tekanan mental yang intense. Apabila berada dalam keadaan ini, individu tersebut boleh dikatakan tidak akan ‘berfungsi’ dalam kehidupan sehariannya.

Tidak sama seperti individu kurang siuman, istilah ini merujuk kepada individu yang mengalami:

  • Kemurungan
  • Kegelisahan atau keresahan
  • Tekanan yang melampau
  • Gangguan bipolar
  • Skizofrenia

Gangguan mental ini boleh dikatakan sebagai penyakit yang tidak boleh didiagnosis dengan sendiri tanpa mendapatkan rawatan daripada pakar.


Dalam pada masa yang sama, penyakit ini dilihat sebagai tempoh ketika tekanan fizikal dan emosi tidak dapat bekerjasama dan mampu untuk ‘rosakkan’ kemampuan seseorang individu untuk ‘berfungsi’ dengan baik.


Simptom Gangguan Mental Bagi individu yang mengalami gangguan mental, mereka boleh mempunyai simptom secara fizikal, psikologi dan tingkah laku.

Untuk pengetahuan kamu, setiap orang mengalami simptom yang berbeza seperti:

  • Kemurungan yang membawa kepada hasrat dan pemikiran untuk membunuh diri atau cederakan diri sendiri.
  • Kegelisahan yang menjadikan tekanan darah semakin tinggi, otot menjadi tegang, pening, gementar dan sakit perut.
  • Insomnia yang menjadikan seseorang kekurangan tidur dan tidak boleh tidur sehingga menjadi teruk.
  • Halusinasi yang membuatkan seseorang itu bercakap dengan diri sendiri atau mendengar suara-suara lain tanpa dirasai oleh orang lain.
  • Perubahan mood yang ketara dan tidak dapat dijelaskan.
  • Serangan panik yang menyebabkan kesakitan pada dada, ketakutan melampau dan sukar untuk bernafas.
  • Paranoia iaitu percaya ada orang memerhati dan mengejar dirinya.

Penyebab Gangguan Mental Terjadi

Gangguan mental ini boleh terjadi apabila seseorang individu mengalami tekanan yang melampau dalam kehidupan mereka. Dan ianya boleh terjadi disebabkan oleh faktor luaran seperti:

  • Tekanan kerja yang berterusan.
  • Kejadian trauma, sama ada melibatkan diri sendiri, keluarga atau rakan rakan.
  • Masalah kewangan yang serius sehingga melibatkan penyitaan atau muflis.
  • Perubahan dalam hidup seperti perceraian dan pergaduhan.
  • Tidak tidur dengan cukup dan tidak dapat berehat.
  • Keadaan perubatan yang kronik.

Apa Yang Boleh Dilakukan Semasa Mengalaminya?

Bagi individu yang mahu ‘keluar’ daripada penyakit gangguan mental ini, selain mendapatkan rawatan dan khidmat nasihat daripada pakar, kamu juga boleh melakukan beberapa perkara ini:

Amalkan Meditasi

Apa kata kamu cuba untuk bermeditasi sebanyak sekali sehari. Ini kerana meditasi dapat membantu kamu untuk mengalihkan perhatian apabila badan mula mengalami tekanan atau berasa perubahan mood.

Pada permulaannya, meditasi akan membuat kamu berasa lebih santai, kuat secara dalaman dan luaran serta membimbing dalam menangani cabaran dalam kehidupan. Secara tidak langsung, ia juga dapat tingkatkan kitaran dan corak tidur dengan betul.


Meditasi ini sebenarnya salah satu anti-depressant semula jadi yang membantu kamu mengubah sikap dan pandangan. Selain itu, ia juga membuka peluang kepada perubahan dalam hidup dengan menyegarkan minda dan badan.


‘Dengar’ Apa Yang Badan Mahu

Ketika kamu mengalami gangguan mental, penting untuk kamu cuba ‘dengar’ dan faham apa sebenarnya yang badan kamu mahukan.

Kebanyakan individu yang menghidapi penyakit ini akan berasa keletihan yang melampau. Jadi, penting untuk kamu dapatkan rehat yang secukupnya. Dalam pada masa yang sama, jaga-jaga untuk tidak tidur secara berlebihan.


Selain itu, kamu juga boleh keluar daripada rumah untuk mengambil udara yang segar dengan berjalan-jalan walaupun dalam kawasan rumah sahaja. Jika tidak mahu berjalan atau berehat, kamu juga boleh lakukan beberapa jenis senaman seperti yoga.


Kurangkan Penggunaan Teknologi

Apabila mengalami gangguan mental, boleh dikatakan semua benda dan perkara menjadi terlalu ‘banyak’ dan berikan tekanan.

Contohnya, bunyi notification daripada laptop mahupun telefon boleh membuatkan kita berasa tertekan dan berang. Jadi untuk elakkan daripada situasi itu berlaku, kamu perlu kurangkan penggunaan teknologi.


Selain itu, kamu jangan cuba-cuba untuk melayari media sosial kerana ia boleh menjadi salah satu perkara yang memburukan lagi keadaan. Ini kerana penggunaan media sosial boleh membuatkan kamu berasa sentiasa stress dan tertekan disebabkan oleh postings, komen dan sebagainya.


Luah Kepada Orang Yang Dipercayai

Penting untuk mempunyai rakan atau ahli keluarga yang dipercayai. Ini kerana sekiranya kamu ingin meluahkan sesuatu, mereka tidak akan judge malah menjadi pendengar dan penasihat yang setia.

Sekiranya kamu luah kepada orang yang salah, ia boleh menjadi lebih teruk kerana mereka akan mula mempersoalkan segalanya dan tidak menjadikan situasi itu sebagai sesi luahan, malah sesi menghakimi tindakan kamu.


Jika kamu meluahkan kepada sesiapa sahaja, pastikan mereka mengetahui sekiranya kata-kata mereka menyakiti kamu atau tidak. Ini kerana tidak semua orang tahu cara yang betul untuk membantu mereka yang mengalami gangguan mental ini. Tetapi kebanyakkan pendengar boleh menjadi setia dan membantu kamu walau apa cara sekalipun.


Sekiranya kamu mengalami gangguan mental, jangan berasa malu dan takut untuk mendapatkan rawatan. Jika kamu sudah berada dalam rawatan dan cuba untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik, teruskan sehingga kamu berjaya!

Fadhilah
Author: Fadhilah

Leave a Reply

Scroll to Top