Impikan perkahwinan ala kerabat diraja? Ini checklist yang perlu anda lengkapkan

Sejak dua menjak ini, nampak ramai pula pasangan yang sepakat untuk menggunakan konsep perkahiwnan diraja melayu sebagai inspirasi untuk melangsungkan acara resepsi mereka.

Mungkin sudah terlalu bosan dengan perkahwinan dalam taman mahupun perkahwinan kontemporari yang bersepah dimana-mana, ia kelihatan lebih klasik dan unik andai kita kembali kepada asal-usul.

Bak kata pepatah barat, “Less is more”. Perkahwinan ringkas seperti perkahwinan diraja seperti zaman dulu-dulu itu lebih gah membuatkan kami rasa terpanggil untuk memberikan anda tips pemakaian, bagaimana untuk menjadi pengantin paling molek dihari bahagia anda sebagai puteri raja yang menawan lagi mempesona.

1. Persalinan Songket & Sibai / Sibar

Indahnya persalinan songket bila ia disulami benang emas serta digayakan dalam rekaan tradisional seperti kebarung mahupun kurung pahang. Tak kisahlah kain songket anda itu mewah bersulam mahupun ringkas sekadar dihiasi sulaman motif bunga tabur. Keduanya boleh dijadikan persalinan pengantin paling indah jika ia kena dengan konsep perkahwinan diraja lama yang dirangka cermat.

Pastikan warna songket yang dipilih adalah warna yang sedap mata memandang seperti biru lembut, hijau nilam (emerald), kuning, putih keemasan, kelabu perak atau coklat gangsa.

Bagi pengantin perempuan yang ingin nampak berkelas, gayakan sekali sibai (anak selendang) di bahagian bahu atau bagi yang tidak bertudung, boleh hamparkan kain sibar pada bahagian dada.

2. Sanggul Lintang

Jika anda mahu menyalurkan aura kontemporari bagi tetamu yang melihat nanti, bolehlah memakai tiara namun jika anda mahu mengekalkan konsep tradisional yang diketengahkan pada hari bahagia, bolehlah cuba mencari sanggul lintang yang bersesuaian dengan saiz kepala dan persalinan songket anda itu.

Bagi yang tidak memakai tudung, lebih manis andainya rambut disimpul ringkas menjadi sanggul rendah kemudian disematkan cucuk sanggul pada beberapa bahagaian.

3. Kain Kelubung

Layah (veil) kelihatan terlalu moden dan kurang padan dengan persalinan ala diraja anda? Padankan busana songket dengan kain kelubung senada. Manis seperti perempuan melayu terakhir, bukan?

4. Jambangan Bunga Emas

Jambangan bunga emas kini semakin menjadi trend dalam kalangan raja sehari. Menggantikan bunga tangan yang diperbuat dari bunga segar, jambangan bunga besi rona emas tampak lebih eksklusif dan unik.

5. Loket / Dokoh

Puteri raja dahulu kala memang gemar memakai rantai berlabuh yang sengaja dipakai berlapis-lapis untuk menghiasai pakaian songket yang agak kosong. Jika memakai kurung pahang, cantik dipandankan dengan rantai labuh berloket manakala kebarung pula cantik dipadankan dengan rantai dokoh.

Serlahkan keperibadian diraja dengan menggayakan loket mahupun rantai dokoh yang bersesuaian. Kalau boleh cari rantai loket atau dokoh yang berwarna emas kerana ia nampak lebih berkelas berbanding warna perak.

6. Pontoh

Sudah menjadi kelaziman bagi orang kita ini meminjam adat-adat jiran senusantara. Disunting dari cara pemakaian Majapahit, Pontoh atau bahasa Indonesianya dipanggil Klat Bahu ini merupakan perhiasan berharga untuk golongan raja-raja dahulu kala. 

Bagi raja Melayu, mereka akan memakainya di pergelangan bahu bahagian luar baju manakala, bagi mereka yang berketurunan jawa pula akan memakainya secara melekap pada pergelangan bahu.

7. Pending

Pending adalah perhiasan tali pinggang yang lazimnya dipakai pengantin perempuan pada bahagian luar baju.

Baik berkebaya mahupun berkurung, pending boleh dipadankan dengan pelbagai warna songket yang lazimnya ditawarkan dalam rona emas dan perak. Sama seperti dokoh dan perhiasan barang kemas pengantin yang lain.

8. Gelang Kaki

Jangan segan untuk saratkan diri dengan aksesori jika benar-benar hendak meniru adat perkahwinan diraja Melayu. Hiaskan kaki dengan gelang kaki sebegini yang pastinya nampak berkelas bila memakai busana songket.

Melihatkan kain songket bertekstur keras, apabila berjalan pasti terlihat gelang cantik yang menghiasi kaki anda tu nanti.

Fadhilah
Author: Fadhilah

We will be happy to hear your thoughts

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart