Posted on: June 2, 2020 Posted by: Fadhilah Comments: 0

Kita sedia maklum, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meminta semua aktiviti yang melibatkan perhimpunan besar seperti acara dan kenduri kahwin dilarang demi memutuskan rantaian COVID-19.

Sebagai alternatif, majlis pernikahan dalam Islam boleh dilakukan untuk pasangan yang perlu bernikah ketika PKP ini secara dalam talian mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan negeri masing-masing.

Pastinya, suasana kenduri kahwin yang dihadiri orang ramai sama ada kenalan sendiri atau ibu bapa dirindui sepanjang PKP berlangsung. Namun, ia tidak menjadi penghalang kepada seorang pemain video ini apabila tampil dengan idea kreatif memaparkan suasana kenduri kahwin dalam sebuah permainan video popular GTA V.

Oleh sebab pengubahsuaian khusus dibenarkan oleh permainan, ia membolehkan pemain ini mengadakan konsep bertemakan majlis perkahwinan masyarakat Melayu yang turut disiarkan secara langsung di Facebook dan kemudian dimuat naik di laman Youtube GTA 5 Malaysia.

Kenduri kahwin yang dilangsungkan melalui GTA 5 ini menarik perhatian netizen memandangkan rakyat Malaysia sudah lama tidak dibenarkan untuk melangsungkan kenduri kahwin untuk membendung COVID-19.

Bukan sekadar kenduri kahwin biasa, majlis tersebut lengkap dengan rombongan pengantin dan sesi berbalas pantun. Turut mencutikan hati, terdapat tarian zapin yang dipersembahkan.


Tempat kejadian dilengkapi dengan khemah besar, meja dan kerusi, bufet, ruang makan khas untuk keluarga pasangan, pelamin, dan pemain mengenakan pakaian seragam Rela untuk menambahkan sedikit realisme.

Ya, seperti majlis kahwin dalam dunia sebenar.

Memetik laporan Malay Mail, salah seorang pemain yang terlibat dengan majlis perkahwinan maya ini, Noor Azwan Mohd Noor berkata perkahwinan itu diadakan melalui pelayan MYRP iaitu pelayan tempatan yang dikhaskan untuk menerapkan identiti Malaysia dalam GTA V melalui pengubahsuaian khas.

Kata Azwan, mereka dalam proses menyesuaikan modifikasi ‘Hari Raya’ dan kini sedang membuat pemandangan kampung tradisional Malaysia.

Permainan video GTA V masih lagi ditawarkan secara percuma oleh Epic Games, bolehlah cuba berjinak dalam dunia permainan video ini.

Leave a Comment