Posted on: April 8, 2020 Posted by: Fadhilah Comments: 0

Perkahwinan merupakan salah satu fasa normal kehidupan yang akan ditempuhi oleh kebanyakan orang. Namun begitu, persiapan ke arah perkahwinan itu sendiri biasanya sangat mencabar dan memerlukan perbelanjaan yang besar. Malah ketika hendak berkahwin, mengikut adat tempatan perlu ada wang hantaran yang kebiasaannya digunakan untuk menanggung kos majlis perkahwinan tersebut.


Pemberian wang hantaran ini hanyalah sebuah adat dan biasanya ditanggung oleh pihak lelaki. Ia bukanlah sesuatu yang wajib seperti mahar atau mas kahwin yang mana disebutkan dalam akad nikah. Ramai orang tersilap memahami perbezaan antara hantaran dan mahar ini.


Malah pernah suatu ketika dahulu kecoh satu Malaysia akibat insiden pergaduhan di masjid mengenai nilai wang hantaran yang disediakan oleh pihak lelaki tidak mencukupi. Jadi pada artikel kali ini adalah sangat penting untuk kita memahami konsep mahar, wang hantaran dan persoalan mengenai wang hantaran yang terlalu tinggi akan menyebabkan ramai lelaki hidup membujang. Sebelum saya ulas dengan lebih lanjut, jom kita lihat maksud dan definisi mahar dan wang hantaran terlebih dahulu.


Definisi mahar

Mahar atau mas kahwin ialah harta yang diberikan oleh pihak lelaki kepada perempuan sebagai hadiah untuk pernikahan. Ia adalah salah satu syarat sah nikah dan wajib kepada lelaki. Mahar hendaklah diberi dengan ikhlas oleh pihak suami kepada isterinya seperti yang dinyatakan dalam al-Quran pada surah An-Nisa ayat yang ke 4:


“Dan berikanlah mahar (mas kawin) kepada perempuan yang kamu nikahi sebagai pemberian yang penuh kerelaan.”
(Surah An-Nisa : Ayat 4)


Mahar menjadi hak milik seorang isteri dan tidak boleh siapapun mengambilnya, sama ada ayahnya, suaminya atau pihak lainnya, kecuali apabila si isteri redha memberikan mahar tersebut kepada siapa yang memintanya. Nilai mahar ditentukan oleh pejabat agama negeri masing-masing dan berbeza nilainya. Ada yang menetapkan nilai dan ada yang tidak menentukan nilai mahar. Ia bergantung kepada negeri mana yang kita adakan majlis akad nikah tersebut.


Wang hantaran bukan mahar

Berbeza dengan mahar, wang hantaran pula bermaksud hadiah yang berupa duit yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak keluarga lelaki dan perempuan. Ia biasanya dibincang semasa proses merisik atau bertunang. Hukum memberi wang hantaran bukanlah wajib sebagaimana wajibnya memberi mahar. Namun sebagai tanggungjawab kepada orang tua tanpa mahu menyusahkan mereka, maka atas sebab inilah terlahirnya wang hantaran.


Namun persoalan yang lebih utama adalah nilai wang hantaran yang terlalu tinggi dikenakan kepada pengantin terutamanya bakal suami menyebabkan mereka takut untuk berkahwin. Menetapkan nilai wang hantaran yang terlalu tinggi hingga menyusahkan urusan perkahwinan adalah sesuatu yang dilarang dalam agama. Sepatutnya urusan perkahwinan perlu dipermudahkan, namun terjadi sebaliknya.


Malah lebih malang apabila ada ibu bapa yang meletakkan wang hantaran yang tinggi adalah semata-mata kerana ingin bersaing dengan orang lain dan membiayai majlis perkahwinan yang mewah di hotel sehingga bakal menantu terpaksa membuat hutang peribadi dengan pihak bank demi belanja majlis perkahwinan yang sehari itu.


Saya petik kata-kata daripada seorang penulis buku motivasi dan agama, Ustaz Mohd Yaakub Mohd Yunus penulis buku ‘Formula Keluarga Bahagia’ mengenai wang hantaran:


“Sewajarnya kita fahami wang hantaran kahwin hanya termasuk perkara adat istiadat perkahwinan orang Melayu. Tiada nas daripada al-Quran mahupun Hadis menetapkan kewajipan memberi wang hantaran dalam majlis perkahwinan. Apa yang diwajibkan dalam Islam adalah mas kahwin atau mahar dan ternyata wang hantaran dan mas kahwin adalah dua perkara berbeza.”


Duit faktor utama lelaki kahwin lewat

Mungkin ramai yang memandang remeh isu ini namun inilah realitinya. Faktor utama bagi seorang lelaki berkahwin lewat adalah daripada kewangan atau faktor ekonomi yang masih belum kukuh. Tidak seperti golongan wanita, lelaki adalah ketua keluarga dan bertindak sebagai orang yang bertanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga. Oleh sebab itu, pada pemikiran seorang lelaki duit merupakan benda yang sangat penting apabila mahu berkahwin.


Selain itu hasil kajian daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati lebih daripada 56 peratus responden lelaki yang berpandangan masalah kewangan menjadi punca utama mereka lewat berkahwin. Kaji selidik ini dibuat melalui Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5). Hasil kajian ini boleh dilihat seperti dalam rujukan.

Kesimpulan

Budaya memberi wang hantaran pada asalnya adalah tidak salah dan dibolehkan. Tujuannya adalah kita boleh faham iaitu bagi membiayai segala kos perkahwinan. Namun, meletakkan nilai wang hantaran yang terlalu tinggi hingga menyusahkan pasangan pengantin terutamanya pihak lelaki adalah sesuatu yang tidak wajar. Ini boleh menyebabkan lelaki tersebut berasa tertekan dan seterusnya berkemungkinan memilih jalan yang salah untuk berkahwin seperti kahwin lari dan sebagainya.


Islam sangat mengalakkan untuk bersederhana. Jika majlis perkahwinan sederhana, maka tidak perlulah meletakkan hantaran yang tinggi kepada pihak lelaki. Malah kita telah memudahkan urusan pernikahan. Wallahualam.

Leave a Comment