Bahaya! Ini kesan jangka panjang bila pakai korset menurut pakar O&G

Mendapatkan bentuk tubuh langsing, cantik dan menggiurkan memang idaman ramai wanita. Namun, ia bukanlah semudah mengenakan bengkung.


Namun, demi tampil cantik menawan, ramai wanita sanggup membutakan mata dan memekakkan telinga. Mereka sanggup bergadai nyawa dan wang tanpa memikirkan kesan sampingan, risiko tertipu atau mempertimbangkan kesahihan dakwaan pengusaha mengenai kemujaraban produk yang ditawarkan.

Ramai yang menyangka dengan memakai korset, kononya akan memperbaiki postur tubuh. Hakikatnya pemakaian korset ketat untuk jangka masa panjang akan mengakibatkan otot belakang tubuh menjadi lemah dan memburukkan masalah sakit pinggang. (Melainkan dengan nasihat doktor untuk pesakit tulang belakang).

Pemakaian korset juga mengakibatkan tulang rusuk dihimpit dan kapasiti paru paru berkurangan sebanyak 30-60%. Untuk jangka masa panjang akan berlaku radang di dalam paru-paru yang boleh menyebabkan masalah pernafasan kronik.


Sistem penghadaman akan terhimpit menyebkan asid dari perut naik ke esofagus menyebabkan gejala GERD. Bayangkan, jika terlalu ketat, saluran darah ke organ penting akan terganggu. Apa akan terjadi pada buah pinggang dan hati?

Anda mungkin memakai korset untuk kegunaan majlis majlis tertentu dan untuk jangka masa pendek sahaja. Untuk memakainya dalam masa yang panjang, ia adalah satu penderaan dan penganiayaan kepada tubuh yang sangat menyedihkan.

Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Patricia Lim Su-Lyn, bengkung sebenarnya berfungsi sebagai alat untuk menyokong masalah tulang belakang dan membantu pemulihan tubuh selepas bersalin atau menjalani pembedahan besar.


“Bengkung lazimnya banyak digunakan untuk tujuan perubatan. Sementara korset pula banyak diperkenalkan pengusaha pakaian dalam untuk menyempurnakan penampilan tubuh pemakai ketika mereka menggayakan busana seperti kebaya dan gaun.

“Ada bengkung yang berfungsi menyokong otot perut, ada dikhaskan untuk tulang belakang dan ada juga dikhususkan untuk seluruh tubuh (korset).


“Dari segi perubatan, kita lazimnya fokus kepada bengkung untuk perut. Ia boleh didapati mengikut saiz tubuh dan material digunakan selalunya jenis Velcro (dikancing menggunakan sepasang pita nilon). Bengkung ini berfungsi memberi sokongan pada tubuh.


“Selain itu, ada juga bengkung yang dipakai untuk menyokong kandungan ketika hamil tetapi yang ini kita panggil ‘belly band’ dan ia dibuat daripada fabrik kapas atau spandeks,” katanya.

TIGA SITUASI PERLU BENGKUNG


Jelas Dr Patricia, terdapat tiga situasi penting yang benar-benar memerlukan seseorang itu memakai bengkung. Biarpun menjurus ke arah perubatan, sedikit sebanyak, pemakaiannya masih boleh dikaitkan dengan tujuan mencantikkan dan meningkatkan keyakinan diri.


1. Skoliosis

Pesakit tulang belakang bengkok perlu menggunakan bengkung untuk mendapatkan sokongan tubuh dan mengurangkan kesan kesakitan yang dihadapi.Antara simptom penyakit ini adalah kerap sakit belakang. Bagi wanita yang menghadapi masalah ini, mereka dinasihatkan memakai bengkung sebelum, ketika dan selepas hamil.


2. Diastasis recti

Masalah pasca persalinan ini memang jarang dibicarakan. Ia terjadi apabila otot perut ibu hamil terpisah akibat kehamilan yang semakin besar.


Otot perut berfungsi menyokong janin di bahagian tengah. Namun, bagi sesetengah wanita, risiko ini terjadi ketika trimester ketiga. Otot akan terbuka dan membentuk satu ruang di tengah permukaan perut. Dalam keadaan ini, wanita mudah berasa lemah pada bahagian depan perut dan sakit di bawah belakang.


Apabila mengusap perut, dia juga dapat rasakan kesan regang di bahagian tengah. Oleh itu, selepas bersalin, wanita yang alami masalah ini digalakkan memakai bengkung khas supaya ada sokongan pada otot depan.

3. Selepas pembedahan abdomen

Bagi wanita yang bersalin secara pembedahan atau individu obes yang dibedah di bahagian perut, mereka digalakkan memakai perekat perut (abdominal binder). Sesetengah orang memanggilnya girdel.


Ia berfungsi memberi sokongan pada otot depan (otot rektus) bagi mengelak risiko hernia atau angin pasang. Ini kerana, ketika pembedahan, kulit perut akan dibelah, diikuti lemak dan satu tisu tegang dipanggil rektus. Di bawahnya, terdapat satu lagi tisu yang membahagikan kulit dengan organ dalaman. Apabila rektus sudah longgar atau lemah, seseorang itu boleh mendapat risiko hernia.


Secara kesimpulannya bengkung sesuai dipakai mengikut situasi yang tertentu. Jangan kerana terpengaruh dengan iklan dan semata-mata ingin cantik, sanggup mempertaruhkan kesihatan.

Fadhilah
Author: Fadhilah

We will be happy to hear your thoughts

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart