Tugas sebenar bridesmaid yang semua orang perlu tahu, bukan bergaya semata-mata

Mana-mana perkahwinan yang kita hadiri, pasti terlihat kelibat anak gadis berkumpulan yang menjadi peneman si pengantin. Memang seronok bila kita memiliki rakan-rakan yang se’kepala’ sehingga sanggup berpanas dan bepeluh di majlis resepsi kita. Namun, ada pula masalah lain timbul bila bridesmaid yang kita lantik untuk memudahkan kelancaran majlis akhirnya menjadi ‘virus’.

Ingat, menjadi bridesmaid bukanlah semudah untuk hanya memakai pakaian yang sedondon dengan rakan lain dan hanya sekadar mengiring pengantin serta turut serta dalam sesi fotografi bagi memeriahkan keadaan di dalam potret kenangan yang dirakam. Ada banyak tugas hakiki untuk bridesmaid yang ramai belum tahu.

Tetapi siapa sangka, hati orang itu lain-lain dan tak semua bridesmaid atau gadis dulang yang kita lantik dalam kalangan rakan baik sendiri itu mampu menggalas tugas secara profesional.

Ramai pengantin merungut kerana keberadaan bridesmaid sering tidak memuaskan meskipun tugasan sebenar mereka adalah untuk menjaga tata dan kesempurnaan si pengantin.

Kami senaraikan tugas sebenar bridesmaid berserta tanggungjawab yang patut dilakukan mereka pada hari bahagia si pengantin.

1) Datang Sehari Sebelum

Untuk memastikan yang anda benar-benar faham perancangan dan perjalanan majlis, sila datang sehari sebelum. Sila ambil tahu atur cara majlis dan ringankanlah tangan untuk membantu kesibukan keluarga pengantin di rumah mahupun di lokasi majlis. Jangan sombong sangat ye. Sambil itu, kenal-kenal dengan ahli keluarga pengantin, esok kalau tetamu serbu kamu tanya mana mak ayah pengantin, tahulah kamu menunding siapa ibu bapa pengantin.

2) Tepati Waktu & Bantu Pengantin

Pada hari kejadian, tolong datang awal pagi sebelum pengantin bersiap lagi. Tugas kamu adalah untuk memastikan kelancaran majlis di samping menjaga kebajikan pengantin. Eloklah datang awal dan jangan lupa bawa persalinan kamu seperti yang sudah ditetapkan pengantin.

3) Sediakan Kelengkapan Awal

Jangan harapkan pengantin untuk ingat semuanya kerana dalam kepala mereka adalah debaran semata! Untuk itu, sebagai sahabat dan juga selaku bridesmaid, sila sediakan beberapa kelengkapan agar tidak kelam-kabut jika sesuatu menimpa.

Antara kelengkapan yang tidak terduga adalah termasuk pin, jarum peniti, tisu lembut, tisu basah, hand sanitizer, bedak kompak dan lain-lain. Bawa satu pouch kecil untuk mudah dipegang sepanjang masa kalau-kalau ia diperlukan.

3) Ingat Password Telefon Pengantin

Maklumlah, raja sehari sukar memegang telefon sepanjang majlis, jadi tugas bridesmaid yang paling rapat dengan pengantin adalah cuba merakam foto-foto kandid dan memuat naiknya ke akaun IG pengantin. Dia pasti menghargai usaha kamu itu jadi sila ingat password telefon pengantin.

Lihat juga kalau-kalau ada panggilan kecemasan masuk. Tolong jawabkan ya…

4) Tolong Keluarga Pengantin

Lebih-lebih lagi kalau pengantin memiliki bilangan ahli keluarga yang kecil, tugas bridesmaid juga untuk bantu meringankan kekecohan keluarganya. Bantu untuk bersihkan meja yang penuh dengan pinggan kotor, tolong sambut tetamu, bantu terima dan simpan hadiah dari tetamu, bantu menjadi pemandu arah tetamu dan sebagainya. Pokoknya, tugas bridesmaid bukan hanya untuk mendamping pengantin setiap masa okay?

5) Teman Pengantin Setiap Masa

Pastikan ada seorang dua yang sentiasa berada di sisi pengantin. Ini bagi memastikan supaya jika pengantin memerlukan pertolongan, kamu ada disisi. Baju yang sarat, kepala yang berat dengan aksesori, jangan buat pengantin emosi dan mengamuk ya? Rosak majlis nanti…

6) Mulut Jangan Celupar

Mana-mana majlis perkahwinan pun pasti ada kekurangan dan kecacatan yang akan terjadi. Oleh itu, kalau ada apa-apa yang dilihat tidak memuaskan hati, sila cari solusi. Jangan pula mengadu dengan pengantin. Ini kerana pengantin tiada masa nak fikir masalah ketika diatas pelamin. Berilah ruang untuk pengantin tenang dan bebas dari segala permasalahan. Kalau ada masalah, tak perlu bising hingga sampai ke pengetahuan pengantin.

Sekarang dah tahu bagaimana hendak membawa diri sebagai bridesmaid atau gadis dulang? 

Jangan sibuk asyik nak melawa depan kamera je, sampai terlupa yang awak tu ada pengantin nak kena jaga.

Fadhilah
Author: Fadhilah

We will be happy to hear your thoughts

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart