Tak salah kalau ‘perigi cari timba’, asalkan niat yang ikhlas InsyaAllah dipermudahkan

‘Perigi mencari timba’ adalah salah satu peribahasa Melayu. Ia merujuk kepada perbuatan seorang perempuan yang memulakan langkah terlebih dahulu untuk berkenalan dengan seorang lelaki dalam konteks mencari jodoh. Perbuatan ini sebenarnya menyalahi adat dan norma masyarakat kerana biasanya orang lelaki yang akan memulakan langkah perkenalan.

Namun begitu, pada hari ini ia bukan lagi sesuatu yang mustahil. Ini adalah salah satu contoh usaha yang dimulakan oleh kaum hawa untuk mencari jodoh. Ia bukan kesalahan. Jodoh kita dengan siapa, bagaimana orangnya, bagaimana kita bertemu, bagaimana proses sehingga bernikah dan sebagainya telah sedia ada dalam catatan Allah S.W.T. Apa yang penting adalah sebanyak mana usaha kita untuk mendapatkan jodoh.

Usaha, Bukan Hanya Menunggu!

Allah S.W.T. telah berfirman dalam surah Al-Ankabut yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan). Dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”
(Surah Al-Ankabut : Ayat 69)

Wanita merisik atau melamar lelaki, itu satu usaha. Wanita memulakan langkah terlebih dahulu dengan matlamat sebuah pernikahan itu juga termasuk dalam kategori usaha. Tidak ada salah silapnya di pandangan Allah S.W.T, melainkan sedikit janggal di pandangan manusia. Sebab apa? Kerana norma dan adat kebiasaan adalah lelaki yang sepatutnya melamar wanita bukan wanita melamar lelaki.

Mengubah adat dan norma ini adalah cabaran bagi kaum hawa ini. Mereka mungkin akan berhadapan dengan risiko dipandang serong oleh kawan-kawan yang lain. Itu belum termasuk risiko ditolak oleh pihak lelaki. Pujian harus diberikan kepada golongan ‘wanita berani’ ini kerana tidak ramai yang berani bertindak seperti mereka untuk menyatakan hasrat hati.

Kisah Siti Khadijah R.A. melamar Rasulullah S.A.W.

Siti Khadijah R.A. merupakan wanita pertama yang memeluk Islam dan isteri pertama Rasulullah S.A.W. Di sepanjang hayat hidup Siti Khadijah R.A, Rasulullah S.A.W. tidak pernah menduakannya. Hanya selepas beliau meninggal barulah Rasulullah S.A.W. berkahwin dengan Aisyah R.A. dan beberapa wanita yang lain.


Di sebalik kisah cinta pasangan ini, ramai yang tidak tahu bagaimana Rasulullah S.A.W. berkahwin dengan Siti Khadijah R.A. Mungkin ramai yang dah tahu bahawa Siti Khadijah R.A. ialah orang melamar Rasulullah S.A.W. terlebih dahulu namun tidak secara terperinci. Sebenarnya Siti Khadijah R.A. melamar Rasulullah S.A.W. dengan menggunakan orang tengah atau wakil yang diberi nama Nafisah.


Nafisah Binti Munyah ialah salah seorang sahabat perempuan terdekat kepada Siti Khadijah R.A. Beliaulah yang menjadi penghubung dan orang tengah yang menyampaikan hasrat hati Siti Khadijah R.A kepada Rasulullah S.A.W. Peminangan pula dibuat melalui bapa saudara Rasulullah S.A.W. iaitu Abu Talib. Apabila mendapat lamaran daripada Siti Khadijah R.A, Rasulullah S.A.W. yang pada masa itu belum menjadi Rasul menerima lamaran tersebut.


Tips Untuk Wanita Melamar Lelaki

Pertama: Jaga Maruah

Hal ini adalah berkaitan dengan soal ketinggian diri dan maruah sebagai wanita. Islam datang dengan mengangkat martabat wanita. Apabila Saidatina Khadijah R.A melamar Rasulullah S.A.W, itu bukanlah bermakna beliau merendahkan martabat dirinya sebagai wanita. Malah, kunci kepada kenapa beliau kekal tinggi dan bermaruah adalah kerana tindakannya yang betul.


Justeru itu, dalam usaha menjaga maruah diri janganlah proses memulakan perhubungan itu dilakukan dengan ‘tak tahu malu’, tergedik-gedik atau sengaja ‘menjadi murah’ di mata lelaki. Percayalah, tindakan ini akan memakan diri dan langsung tidak berfaedah untuk anda. Apa yang perlu dibuat adalah kekalkan martabat dan sifat malu anda di tahap yang sepatutnya.


Kedua: Merisik Dan Dapatkan Maklumat

Merisik dan mengumpul maklumat terlebih dahulu adalah penting sebelum bertindak. Merisik boleh dilakukan melalui orang tengah atau apa jua medium lain yang bersesuaian seperti sosial media dan sebagainya. Sifatnya, pendiriannya, pantang larangnya, ‘wajah sebenarnya’, prinsip keluarganya dan lain-lain. Semua ini penting untuk anda tahu supaya tindakan anda nanti bertepatan dengan jenis orang yang dituju.


Ketiga: Lantik Orang Tengah

Ini adalah cara terbaik bagi menyampaikan hasrat hati anda. Dengan cara ini, banyak maslahah (kebaikan) dapat dijaga bahkan cara ini dipraktikkan oleh Saidatina Khadijah R.A. Hakikatnya, cara nombor dua yang saya sebut di atas mustahil dapat terlaksana dengan tepat, efektif dan berkesan tanpa bantuan orang tengah.


Jadi mintalah bantuan dengan orang yang anda thiqah (percaya). Terangkan dengan jelas dan berterus-terang tentang tujuan anda kepada orang tengah tersebut. Sebaiknya, carilah yang benar-benar dipercayai, jujur dan ikhlas mahu menolong anda untuk bertemu jodoh.


Keempat: Beri ‘Hint’ Dengan Bijak

Memberi ‘hint’ atau petunjuk merupakan kaedah yang boleh digunakan juga jika tiada orang tengah atau anda dengan si dia sudah lama kenal. Mungkin masing-masing hanya memendam perasaan dan malu bercakap soal jodoh dan kahwin.


Cara memberikan hint ini sebenarnya adalah subjektif bergantung kepada jenis orang, situasi dan keadaan. Antara kaedah yang boleh digunakan adalah dengan menggunakan bahasa kiasan. Anda boleh menghantar mesej atau bercakap terus kepada si dia dengan gunakan bahasa kiasan. Contohnya anda menghantar mesej kepada si dia; “Saya rasa sekarang saya sudah cukup bersedia. Saya rasa sudah tidak sabar untuk memiliki keluarga sendiri. Ada anak-anak…”


Jika si lelaki tersebut sukakan kepada anda dan masih solo, dia akan menjawab hint itu. Mungkin kalau jawapan yang positif dia akan membalas dengan mesej ini; “Saya pun masih single… Boleh saya masuk meminang? Hehe…”. Walaupun ia mungkin dalam nada yang bergurau, daripada jawapan itu anda boleh menilai sama ada lelaki yang anda minat itu sukakan anda atau tidak.


Selamat mencuba ya!

Fadhilah
Author: Fadhilah

We will be happy to hear your thoughts

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart