Perkahwinan itu indah, tapi ada juga satu-satu masa ia menguji

Perkahwinan itu indah, tapi ada juga satu-satu masa ia tidak.

Ada perkara-perkara biasa dalam perkahwinan ini yang kalian berdua sudah lakukan banyak kali bersama-sama, tapi pada satu hari itu, ia jadi berbeza dan kalian bergaduh besar.

Ada perkahwinan yang mana ia berpisah bukanlah berpunca dari hal yang besar. Mungkin cuma hal yang kecil. Contohnya, ada pasangan, bila suami dia kerap menambah air pada botol sabun kerana terlalu berjimat pun sudah mampu membuatkan mereka hampir bercerai.

Itu belum kira beberapa points yang dibentangkan oleh JAIS pada tahun 2016, gaji suami lebih rendah dari isteri, berbeza fahaman politik, pasangan tidur berdengkur, pasangan bangun lambat, curiga, dan semua ini cumalah hal-hal yang remeh sahaja.

Kadang-kadang bila kita fikir, benda ni semua hanyalah perkara yang kecil, tak masuk akal untuk menyebabkan perceraian. Tapi bila tiba pada hari-harinya, perkara kecil ini boleh meletuskan kepada pergaduhan yang besar.

Kenapa?

Kerana perkahwinan bukan sekadar bercinta semata. Ia juga tentang belajar. Belajar menerima yang setiap perhubungan itu tak sempurna. Akan ada hari-harinya yang kelemahan pasangan itu memang tak boleh diubah melainkan dengan hanya menerima. Cakaplah banyak kali macam mana pun, bebellah seberapa mampu, tetap ia sukar untuk berubah.

Jadi, macam mana caranya?

Belajarlah untuk membezakan antara perkara yang boleh diselesaikan, dan perkara yang tak akan dapat diselesaikan. Untuk perkara yang tak dapat diselesaikan, apa kita boleh buat? Kita hanya boleh perbaiki. Kita boleh beritahu pasangan.

“Sayang, saya tak suka sayang letak barang sepah-sepah.” “Abang, lepas buka baju, letakkan dalam bakul.”

Percakapan-percakapan yang berterusan ini membolehkan pasangan kita memahami apa yang kita suka dan tak suka dalam perhubungan dan ia akan membentuk keserasian yang mana kalian boleh hidup secara bersama selama-lamanya.

Perkahwinan bukanlah satu destinasi, tapi ia adalah satu usaha secara berterusan. Dalam perjalanan ini, akan ada bonggol di depan yang berulang kali perlu kali walaupun kita pernah laluinya satu tika dulu.

Perkahwinan sama juga seperti kehidupan. Ada masa, ia mengalami cabaran, masa-masa yang sukar dan kesakitan. Walaupun bersendirian pun tidak mudah, apatah lagi hidup bersama orang lain.

Paling penting, kekallah tersenyum, teruskan bercinta dan kerap kali memaafkan.

InshaAllah kalian akan baik-baik sahaja.

Kredit: Syafiq Ridhwan

Fadhilah
Author: Fadhilah

Leave a Reply

Scroll to Top