‘Jangan Sibuk Nak Kahwin Kalau…’ Ini panduan dari Dr Muhaya

Tidak dinafikan kebanyakan pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan lebih sibuk memberi tumpuan pada persiapan majlis seperti dewan, pakaian, katering dan sebagainya.

Bagaimanapun, ramai yang tidak sedar persiapan diri adalah perkara yang lebih penting untuk ditumpukan oleh setiap individu sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Pakar bedah mata yang juga penceramah motivasi, Prof Datuk Dr Muhaya Mohamad, baru-baru ini menitipkan kata-kata motivasi mengenai panduan rumah tangga bertajuk, ‘Jangan sibuk nak kahwin kalau…’ dalam laman sosial Instagram miliknya.

Video berdurasi 2 minit 30 saat itu mendapat lebih 37,000 tontonan sejak ditayangkan tiga hari lalu. Jom semak panduan yang dikongsi oleh Dr Muhaya.

1. Siapa yang ingin berkahwin perlu melakukannya kerana Allah SWT.

2. Sempurnakan akidah terlebih dahulu dan yakin Allah adalah segala-galanya.

3. Sempurnakan ibadah kita dengan mencukupkan solat lima waktu, menjaga aurat bagi wanita, menjaga pergaulan dan berbuat baik kepada ibu bapa.

4. Sebelum berkahwin, niat untuk terus bersama-sama pasangan sehingga ke akhir hayat dan menerima jodoh kita seadanya.

5. Buat perjanjian sebelum berkahwin dengan berjanji antara suami dan isteri untuk menjadikan rumah tangga sebagai sebab untuk masuk syurga, menjadikan rumah tangga sebagai tempat untuk mendapat ketenangan dan menjadikan rumah tangga untuk mendapatkan anak yang soleh.

6. Ingat, kita berkahwin bukan dengan seorang tapi dengan tiga iaitu siapa kita sangka dia, siapa dia sebenarnya dan siapa dia jadi selepas berkahwin dengan kita. Oleh itu, ambil tanggungjawab untuk saling memperbetul diri sendiri dan juga pasangan kita.

7. Orang yang selalu marah adalah orang yang tidak sayang pada diri dia sendiri. Orang yang tidak sayang diri sendiri, dia tidak akan sayang diri orang lain.

Dr Muhaya berkata, apabila membuat keputusan untuk berkahwin, jangan berkahwin jika diri tidak bahagia dan berkahwin kerana mahu bahagia.

“Kita hanya bahagia kalau kita bahagia, jadi kita kena gembira dengan diri sendiri dahulu,” katanya.

Menerusi video terbabit, Dr Muhaya turut menitip pesanan kepada isteri agar jangan sibuk menasihati suami kerana lelaki memiliki sifat ego dan tidak suka dinasihati. Oleh itu, isteri perlu menjadi contoh yang baik dengan mengajak suami berbuat baik bersama-sama.

“Kalau kita menasihati diri kita dan suka mendengar nasihat, insya-Allah orang juga akan mudah mendengar nasihat kita,” katanya.

Fadhilah
Author: Fadhilah

We will be happy to hear your thoughts

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart