Posted on: March 27, 2020 Posted by: Fadhilah Comments: 0

Semua urusan berkaitan permohonan kebenaran berkahwin dan majlis akad nikah di Pulau Pinang ditangguhkan bermula 1 April sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.
Bagaimanapun, bagi pengantin yang telah mendapat kebenaran untuk majlis akad nikah sehingga 31 Mac ini, mereka dibenarkan meneruskan majlis mengikut tatacara yang telah ditetapkan.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) Zulkifli Long berkata setakat ini, 152 pasangan di negeri itu telah mendapat kebenaran menjalankan majlis akad nikah bermula 18 Mac lalu hingga 31 Mac ini.


Mereka yang telah membuat permohonan untuk berkahwin sebelum pelaksanaan PKP lagi jadi (mereka) boleh teruskan dengan tatacara yang JHEAIPP tetapkan, namun bermula 1 April ini kami tidak lagi meluluskan sebarang kebenaran untuk majlis akad nikah sehingga PKP tamat,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.


Langkah itu adalah antara usaha pihaknya memastikan penolong pendaftar perkahwinan atau jurunikah tidak terdedah kepada penularan wabak COVID-19.


JHEAIPP sebelum ini menetapkan akad nikah boleh dijalankan tanpa kenduri untuk meraikan majlis perkahwinan sesuai dengan arahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Majlis Keselamatan Negara susulan penularan COVID-19.


Majlis akad nikah hendaklah dilangsungkan di premis persendirian dan dilarang sama sekali di tempat awam seperti masjid, surau atau sebagainya.


Akad nikah itu hanya boleh dihadiri oleh jurunikah, pengantin lelaki dan perempuan, seorang wali, dua orang saksi serta dua orang wakil bagi pihak pengantin lelaki dan perempuan.
Perjalanan majlis akad nikah haruslah tidak melebihi 20 minit termasuk khutbah nikah.


Akad nikah juga perlu dijalankan tanpa berjabat tangan antara pengantin lelaki dengan wali atau jurunikah.

Leave a Comment