3 Contoh lafaz akad nikah untuk semua bakal suami

Setiap pasangan mengimpikan majlis pernikahan yang indah bersama cinta hatinya. Menunggu detik tarikh keramat untuk diijab Kabul adalah perkara yang sangat mendebarkan hati setiap bakal mempelai.

Setiap bakal mempelai pasti mahukan majlis berjalan lancar. Oleh itu persiapan perlu dibuat dengan susunan yang rapi dan sistematik. Namun begitu, persiapan dan persediaan perlulah dirancang awal.
Bagi pihak lelaki, lafaz akad nikah yang sering membuatkan mereka kecut perut dan berdebar-debar kerana lafaz akad nikah penentu kesahan dalam menghalalkan hubungan untuk digelar sebagai suami isteri.

Jadi, pihak lelaki perlu praktis lafaz akad nikah supaya tidak ada rasa gugup semasa akad nikah dilafazkan semasa majlis itu nanti. Namun begitu, pihak lelaki tidak perlulah terlalu takut, Cuma perlu bersedia lebih awal dengan soalan tentang perkahwinan, mana tahu tok kadi akan bertanya tentang soalan-soalan agama! Cool kan diri dan jawab dengan tenang ya!

Apa Itu Lafaz Akad Nikah?

Sebelum lalui fasa alam rumah tangga, mereka perlulah mengetahui perkara paling utama untuk mendirikan masjid ini iaitu akad nikah. Setiap mempelai seharusnya bersedia dari awal dan mengetahui prosedur akad nikah.


Pihak lelaki juga perlu pelajari dan mendalami ilmu bagaimana lafaz akad nikah dilakukan? Oleh itu, jangan anggap hal pernikahan ini adalah satu yang kecil dan remeh temeh kerana ia langkah paling penting untuk mendirikan mahligai rumah tangga anda! Sebelum itu mari kita lihat apa maksud lafaz akad nikah?


Lafaz akad nikah merupakan lafaz Ijab dan Kabul. Akad nikah tidak akan terjadi jika tiada lafaz ini kerana ia tergolong dalam rukun nikah. Setiap rukun nikah perlu dipenuhi untuk menjadikan perkahwinan itu sah. Lafaz ijab Kabul ini merupakan rukun nikah yang kelima.

Lafaz akad ini sah dilakukan jika menepati syarat iaitu ada dua orang yang melakukan akad, terdiri dari calon suami dan wali pada pengantin perempuan itu. Tambahan lagi, semasa akad nikah itu perlu ada juga calon pengantin perempuan dan dua orang saksi lelaki.

Lafaz ijab merupakan perkataan yang dituturkan oleh wali perempuan kepada pengantin lelaki iaitu “aku menikahkan kamu dengan anakku..” manakala lafaz Kabul pula adalah perkataan yang diungkapkan oleh pihak pengantin lelaki seperti “aku terima nikahnya”, “aku rela menikahinya” atau “aku menikahinya” dan sebagainya.


Akan tetapi, jika lafaz kabul daripada pihak pengantin lelaki diucap terlebih dahulu dari lafaz ijab wali pihak perempuan itu, hukumnya adalah tetap sah! kerana lafaz akad nikah itu mempunyai maksud yang sama.


Prosedur Lafaz Akad Nikah

1. Khutbah Nikah

Sebelum memulakan lafaz akad nikah, selalunya imam akan membuat khutbah nikah. Imam atau, dipanggil tok kadi, kebiasannya membuat khutbah nikah berkaitan dengan bab perkahwinan, hukum hakam, tanggungjawab suami isteri, nafkah, cerai, rujuk dan taklik dan sebagainya yang berkaitan.


Semasa Khutbah nikah ini berlangsung, imam akan membacakan di hadapan pasangan mempelai ini bersama beberapa orang saksi dan ahli keluarga terdekat. Khutbah nikah dibacakan selalunya di dalam masjid atau rumah pengantin perempuan iaitu bergantung pada tempat berlangsungnya pernikahan yang dibuat. Khutbah nikah ini juga sudah menjadi perkara utama yang sering dibuat sebelum pasangan pengantin diijab kabulkan.


2. Membaca Lafaz Akad Nikah

Selepas khutbah nikah, barulah pihak pengantin lelaki perlu membuat lafaz akad nikah pada wali pengantin perempuan. Semasa lafaz dijalankan, lafaz tersebut perlulah mengandungi lafaz “kahwin dan nikah” sebagai contoh, “aku kahwinkan engkau dan aku nikahkan engkau”. kerana perkataan ini menunjukkan makna perkahwinan.


Lafaz perlulah jelas dan bukan lafaz kiasan. Ini kerana, lafaz yang jelas membuatkan pernikahan itu menjadi sah! Manakala Lafaz kiasan akan menyebabkan pernikahan tidak sah sebab tidak menepati syarat-syarat pernikahan! Walau bagaimanapun, semasa upacara akad nikah ini dijalankan, 2 orang saksi lelaki perlu ada bagi menyaksikan pernikahan itu kerana ia termasuk dalam syarat akad nikah ini. Apabila saksi telah mengatakan “sah!” maka sempurnalah pernikahan ini dan pasangan mempelai telah menjadi pasangan suami isteri yang sah!


3. Membaca Lafaz Taklik

Seterusnya, apabila lafaz akad nikah telah selesai, selepas itu tok kadi akan meminta pengantin lelaki untuk membaca lafaz taklik. Taklik ini merupakan syarat untuk membubarkan perkahwinan jika antara pihak suami atau isteri telah membuat sesuatu perbuatan yang bertentangan dengan syarat taklik itu.


4. Upacara Pembatalan Air Sembahyang

Setelah habis lafaz taklik ini, pengantin lelaki akan memberi mas kahwin pada pengantin perempuan, sejurus itu mereka akan membuat upacara pembatalan air sembahyang dimana pihak pengantin perempuan akan bersalaman pada pengantin lelaki yang telah menjadi suaminya yang sah. Dan selepas sesi bersalaman antara pasangan ini selesai, mereka akan bersalaman dengan ahli keluarga terdekat pula.


5. Solat Sunat Nikah

Akhir sekali, seeloknya buatlah solat sunat nikah tanda bersyukur pada Allah kerana telah memudahkan urusan pernikahan ini. Moga mendapat keredhaan dan keberkatan dari Allah SWT.


3 Contoh Lafaz Akad Nikah

Sebelum akad nikah dijalankan, kebiasaannya tok kadi akan memberi teks lafaz akad nikah yang betul beberapa hari sebelum majlis. Hal ini boleh membuatkan bakal pengantin lelaki bersedia dan tahu ayat apa yang perlu dilafazkan nanti semasa upacara akad nikah itu berlangsung kelak.


Persediaan sebegini penting, sekurangnya pihak lelaki tidak blurr semasa hari kejadian. Ini juga memudahkan semua pihak wali dan tok kadi juga untuk menyempurnakan akad nikah itu nanti. Bersedialah wahai bakal pengantin lelaki! Jangan jadikan hal ini sebagai hal kecil, hal nampak simple ini kadangkala boleh buatkan pernikahan jadi lambat.

Jadi, baca dan fahami teks lafaz akad nikah ini sebaiknya, serta lebih baik hafal dari awal. Ini beberapa contoh lafaz akad nikah yang sering digunakan semasa majlis akad nikah.

Contoh 1

“Aku nikahkan kau dengan anak perempuanku (Nama Penuh Pengantin Perempuan) dengan emas kahwinnya bernilai RM… tunai!

“Aku terima nikahnya (Nama Penuh Pengantin Perempuan) dengan emas kahwinnya berjumlah RM… tunai!

Contoh 2

“Aku kahwinkan dikau dengan anak perempuanku (Nama Penuh Pengantin Perempuan) dengan emas kahwinnya RM… tunai!


“Aku terima nikahnya (Nama Penuh Pengantin Perempuan) dengan emas kahwinnya RM… tunai!

Contoh 3

“Aku nikahkan kau dengan (Nama Penuh Pengantin Perempuan) yang berwakil walikan aku, dengan emas kahwinnya……..


“Aku terima nikahnya (Nama Penuh Pengantin Perempuan) dengan emas kahwinnya………..

Semoga bermanfaat!

Fadhilah
Author: Fadhilah

We will be happy to hear your thoughts

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart