Batal Tunang Tanpa Sebab Munasabah? Ini 10 Cara Buat Tuntutan Ganti Rugi Pertunangan

Ditinggalkan begitu sahaja tanpa sebab dan alasan yang munasabah di majlis pertunangan memberi kesusahan kepada orang lain. Bukan sahaja wang ringgit “hangus” begitu sahaja malah maruah diri dan keluarga juga tercemar. Artikel pada kali ini, kami akan kongsikan kepada anda bagaimana untuk buat tuntutan ganti rugi pertunangan.

Bertunang sebagai persediaan awal ke fasa perkahwinan

tuntutan ganti rugi pertunangan

Pertunangan menjadi fasa persediaan sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan. Dalam tempoh pertunangan ini biasanya kedua-dua pasangan sedang bertungkus-lumus untuk menyiapkan segala proses perkahwinan yang bakal berlangsung dalam masa beberapa bulan atau setahun.

Namun tidak dinafikan dalam tempoh tersebut, banyak ranjau dan liku kehidupan dalam perhubungan yang memungkinkan ikatan pertunangan yang hampir terjalin itu musnah di tengah jalan.

Lantaran itu, ada pihak yang memungkiri janji yang telah dipersetujui untuk melangsungkan pertunangan bersama pasangan.

Pertunangan dilindungi di sisi undang-undang

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pertunangan sebenarnya dilindungi di sisi undang-undang. Ini bermaksud sekiranya ada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati setelah melakukan pelbagai persiapan menjelang hari pernikahan, mereka boleh membawa perkara tersebut ke Makhamah Syariah.

Ianya jelas termaktub di bawah undang-undang Keluarga Islam setiap negeri ada diperuntukkan tentang bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar dan memutuskan Tuntutan Ganti Rugi Pertunangan.

Malah isu ini turut disebut dalam Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Q&A tentang tuntutan ganti rugi pertunangan

tuntutan ganti rugi pertunangan

Berikut ini adalah persoalan-persoalan yang sering berlegar dalam masyarakat mengenai tuntutan ganti rugi pertunangan.

1. Apakah itu pertunangan?

Pertunangan ialah suatu perjanjian untuk mengadakan perkahwinan dan tidak mewujukan perkahwinan itu dengan sendiri.

2. Apakah syarat pertunangan dalam Islam?

Pertunangan dengan seorang perempuan boleh diadakan dengan dua syarat:

  • bahawa pada masa pertunangan itu tidak ada halangan kepada perkahwinan antara pihak-pihak itu.
  • bahawa perempuan itu belum ditunangkan kepada seorang lain.

3. Bagaimana pandangan Islam berkenaan dengan barang pemberian dalam majlis pertunangan?

Barang pemberian dalam majlis pertunangan adalah merupakan adat atau kelaziman yang dilakukan di Malaysia. Adat ini boleh diikuti selagi tidak bercanggah dengan prinsip Islam.

Walau bagaimanapun, jika adat itu bertentangan dengan prinsip Islam seperti jika pihak perempuan mungkir janji akan pertunangan itu, dia hendaklah membayar dua kali ganda harga duit atau barang-barang yang diberi oleh pihak lelaki. Adat ini tidak boleh diikuti kerana ia menimbulkan penipuan atau gharar.

4. Bolehkah pihak-pihak menuntut balik barang-barang pemberian sekiranya pertunangan itu diputuskan?

Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut Hukum Syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya.

Maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh / untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah.

5. Mahkamah manakah yang berbiadang kuasa mendengar kes tuntutan ganti rugi pertunangan bagi orang Islam?

Tuntutan ganti rugi pertunangan orang Islam boleh dibuat di mana-mana Mahkamah Rendah Syariah mengikut tempat pemastautin pemohon atau di mana-mana Mahkamah Tinggi Syariah mengikut tempat pemastautin pemohon sekiranya jumlah tuntutan adalah melebihi lima puluh ribu ringgit.

6. Apakah bentuk ganti rugi yang boleh dituntut akibat daripada kemungkiran pertunangan tersebut?

Pihak yang dimungkiri boleh menuntut kembali barang-barang pemberiannya (jika ada) atau nilainya atau apa-apa perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh pihaknya bagi majlis tersebut bagi maksud mengadakan suatu majlis perkahwinan selepas pertunangan itu.

Perkara yang boleh dituntut termasuklah seperti:

  • Belanja kenduri kecil-kecilan semasa majlis pertunangan seperti kos penyediaan makanan kepada tetamu khemah, photographer, dan lain-lain.
  • Baju pengantin untuk majlis akad nikah dan resepsi perkahwinan. Sama ada telah dibayar secara penuh atau separuh.
  • Bayaran upah caterig.
  • Kad-kad jemputan kenduri.
  • Pengubahsuaian rumah / bilik pengantin pihak yang diputuskan pertunangan tersebut. Contohnya kos renovate bilik, bilik air, perabot, dan lain-lain.
  • Bayaran DJ & Photographer juga jika telah dibuat, boleh diminta ganti rugi walaupun ia mungkin bukan keperluan asas perkahwinan.
  • Lain-lain persiapan yang menggunakan kos hanya untuk perkahwinan.

7. Siapakah yang boleh membuat tuntutan ganti rugi pertunangan?

Mana-mana pihak yang mengalami kerugian secara langsung akibat daripada kemungkiran pertunangan atau mana-mana orang yang berkepentingan secara langsung.

8. Apakah syarat untuk membuat tuntutan ganti rugi pertunangan

Perlu buktikan wujudnya kontrak / akad pertunangan yang sah di sisi undang-undang dan hukum syarak.

9. Bagaimanakah mahkamah mentaksirkan jumlah ganti rugi pertunangan?

Mahkamah akan mentaksir kerugian mengikut takat yang boleh dibuktikan oleh pihak-pihak mengenai jumlah kerugian yang ditanggung oleh pihak masing-masing.

10. Bolehkah Jabatan Bantuan Guaman memberi bantuan kepada pihak-pihak dalam kes tuntutan ganti rugi pertunangan?

Boleh. Pemohonan yang ingin mendapatkan khidmat Jabatan Bantuan Guaman perlu mengemukakan dokumen atau butir yang berikut:

a) butir-butir Pemohon / pihak menuntut

  • Kad pengenalan, alamat, dan maklumat pekerjaan

b) butir-butir pihak yang kena tuntut

  • Nama / alamat dan pekerjaan yang kene tuntut
  • Nama dan alamat majikan yang kena tuntut (jika ada)

c) laporan-laporan yang berkaitan (jika ada)

Kesimpulannya, wanita khususnya perlu sedar akan hak-hak mereka dalam sebuah ikatan pertunangan atau pun perkahwinan ini. Jika kita sendiri tidak bertindak, kemungkinan besar orang yang memungkiri janji itu merasakan hal ini adalah perkara yang kecil sahaja.

Maruah dan penat lelah kita serta keluarga bukanlah perkara kecil yang diambil ringan. Akan bertambah teruk apabila trend putus tunang dengan sengaja dijadikan ikutan oleh generasi muda hari ini.

Semoga perkongsian mengenai tuntutan ganti rugi pertunangan ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat.


Artikel Berkaitan:

Hannani Juhari
Author: Hannani Juhari

We will be happy to hear your thoughts

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart