Cara Solat Sunat Nikah Beserta Niat Dengan Panduan Lengkap Yang Betul

Amalan sunat yang boleh dilakukan oleh pengantin selepas selesai sahaja majlis pernikahan adalah dengan melaksanakan solat sunat nikah. Bagaimanakah tatacara atau panduan lengkap yang boleh kita rujuk? Artikel pada kali ini akan berkongsi kepada anda cara pelaksanaannya yang lengkap berserta doa-doa pilihan yang boleh diamalkan untuk keharmoniaan rumah tangga bakal pengantin.
Apa itu solat sunat nikah?
Solat sunat nikah atau ada juga disebut dengan nama lainnya seperti Solat Az-Zawaj adalah solat sunat yang didirikan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT bagi pasangan suami isteri yang baru melangkah ke alam rumah tangga.
Hukum melaksanakan solat sunat nikah bagi pengantin
Hukum pelaksanaan bagi solat ini adalah sunat. Namun begitu terdapat beberapa sandaran oleh sahabat Rasulullah SAW yang menyokong kepada pelaksanannya ini.
Daripada Abu Said, budak (maula) Abu Usaid berkata, saya menikah ketika saya masih budak. Maka saya menjemput beberapa sahabat Nabi SAW, antaranya Ibnu Mas’ud, Abu Dzar, dan Huzaifah R.Anhum, mereka mengajarkan kepadaku dengan berkata:
إذَا أُدْخِلَ عَلَيْكَ أَهْلُكَ فَصَلِّ عَلَيْكَ رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ سَلْ اللهَ تَعَالَى مِنْ خَيْرِ مَا دَخَلَ عَلَيْكَ، وَتَعَوَّذْ بِهِ مِنْ شَرِّهِ، ثُمَّ شَأنَكَ وَشَأنَ أَهْلِكَ
Maksudnya: “Ketika kamu menemui isterimu, maka solatlah dua rakaat. Kemudian memohonlah kepada Allah SWT kebaikan daripada isterimu, dan mohonlah perlindungan daripada keburukan isterimu, dan kemudian urusanmu, dan juga isterimu.” – (Hadis riwayat Ibnu Abu Syaibah dalam Mushannaf, 3/401. Abdur Razzaq dalam Mushannaf, 6/191)
Dalam riwayat lain, Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya yang mana seorang lelaki telah datang berjumpa dengan Abdullah bin Mas’ud RA lalu berkata:
إِنِّي تَزَوَّجْتُ جَارِيَةً شَابَّةً، وَإِنِّي أَخَافُ أَنْ تَفْرَكَنِي قَالَ: فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ: إِنَّ الْإِلْفَ مِنَ اللَّهِ، وَالْفَرْكَ مِنَ الشَّيْطَانِ، يُرِيدُ أَنْ يُكَرِّهَ إِلَيْكُمْ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ، فَإِذَا أَتَتْكَ فَمُرْهَا أَنْ تُصَلِّيَ وَرَاءَكَ رَكْعَتَيْنِ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah berkahwin dengan seorang hamba perempuan yang masih dara dan aku takut dia akan membenciku. Berkata Abdullah bin Mas’ud: “Sesungguhnya rasa kasih sayang serta kelembutan itu daripada Allah, dan kebencian itu daripada syaitan. Dia (syaitan) mahu menyemai rasa kebencian kepada kalian apa yang telah Allah halalkan. Sekiranya kamu mendatangi isterimu, arahkan dia untuk solat di belakangmu dua rakaat.” – (Riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya, 17156)
Waktu pelaksanaannya
Dari segi tempoh pelaksanaan solat sunat nikah ini pula, secara umumnya ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja yang dirasakan sesuai oleh suami isteri tersebut.
Mantan Mufti Kerajaan Arab Saudi, Syeikh Bin Bazz RH apabila ditanya mengenai tempoh waktu untuk mengerjakan solat sunat,
beliau menjawab adalah ketika sebelum si suami ingin bersama dengan isterinya. Tetapi tiada pengkhususan waktu yang jelas disebut dalam hadis.
Sedangkan, fatwa daripada Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat bahawa solat tersebut dilakukan ketika suami bertemu dengan isteri buat pertama kali di dalam bilik.
Cadangan ini sangat baik kerana ia dapat mengekalkan aurat dan menjaga kehormatan isteri sepanjang masa agar ia hanya dilihat oleh suami dan mereka yang mahram dengannya.
Cara mendirikan solat sunat nikah lengkap
Solat sunat nikah dilakukan sebanyak 2 rakaat dengan satu salam sahaja. Kemudian disusuli dengan melakukan sujud syukur pada akhirnya nanti.
Bacaan niat solat
Lafaz niat solat:
أصلي سنة النكاح ركعتين الله تعالى
Usolli sunnata ba’dan nikahi rak’ataini lillahi Ta’ala
Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat nikah dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”
Rakaat pertama
Pada rakaat pertama, membaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Kafiruun.
Rakaat kedua
Pada rakaat kedua, membaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas. Selesai rakaat kedua, beri salam.
Sujud syukur
Selesai memberi salam, kita digalakkan untuk melakukan sujud syukur.
Lafaz sujud syukur:
سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ
Subhanallah walhamdulillah walaa ilaha illallah wallahu akbar
Maksudnya: “Maha Suci Allah, Segala Puji Bagi Allah, Tiada Tuhan Melainkan Allah, Allah Maha Besar.”
Sekiranya kita sukar untuk mengingatinya, tidak mengapa boleh sahaja membaca bacaan yang selalu dibaca sewaktu sujud atau cukup dengan mengucapkan lafaz “Alhamdulillah”.
Doa yang boleh dibaca selepas solat
Doa yang boleh dibaca selepas solat sunat nikah adalah dari Abdullah Ibn Mas`ud adalah seperti:
اللَّهُمَّ، بَارِكْ لِي فِي أَهْلِي، وَبَارِكْ لَهُمْ فِيَّ، اللَّهُمَّ ارْزُقْنِي مِنْهُمْ، وَارْزُقْهُمْ مِنِّي، اللَّهُمَّ، اجْمَعْ بَيْنَنَا مَا جَمَعْتَ إِلَى خَيْرٍ، وَفَرِّقْ بَيْنَنَا إِذَا فَرَّقْتَ إِلَى خَيْرٍ
Maksudnya: “Ya Allah! Berkatilah diriku dengan apa yang ada pada keluargaku, dan berkatilah keluargaku dengan apa yang ada pada diriku. Ya Allah! Rezekikanlah aku daripada apa yang ada pada keluargaku, den rezekikanlah mereka daripada apa yang ada padaku. Ya Allah! Satukanlah antara kami dengan pertemuan ke arah kebaikan, dan, jika engkau takdirkan perpisahan, pisahkanlah kami (juga) ke arah kebaikan.” – (Hadis Riwayat ‘Abd al-Razzaq, 10460)
Doa untuk isteri
Amalan sunnah selepas bernikah selain mendirikan solat sunat adalah suami meletakkan tangan di ubun-ubun isteri lalu sambil membacakan doa seperti yang berikut:
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِهَا وَخَيْرِ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ ، وَأَعُوْذَ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ
Allahumma inni as’aluka khairiha wa khairi ma jabaltaha ‘alaihi, wa a’udzubika min syarriha wa syarri ma jabaltaha ‘alaihi.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kebaikan dirinya dan kebaikan yang Engkau tetapkan atas dirinya, dan aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan dirinya dan keburukan yang Engkau tetapkan atas dirinya.” – (Hadis Riwayat Abu Daud)
Diharapkan artikel yang dikongsikan berkenaan dengan solat sunat nikah ini dapat memberikan ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan berguna untuk pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.
Artikel Berkaitan:
- Panduan Solat Sunat Istikharah & Doa Untuk Jodoh
- Pengantin Jangan Tinggal Solat Walaupun Sibuk Bersanding. Ikut Tips Ini!
- Doa Mohon Keberkatan Yang Patut Pasangan Pengantin Amalkan