Posted on: August 4, 2020 Posted by: Fadhilah Comments: 0

Bila bercakap tentang diet, ramai pakar nutrisi atau kaunselor akan menasihatkan kita untuk tidak mengambil sebarang makanan selepas 8 malam.


Ini kerana makan pada waktu malam dikatakan akan mempengaruhi berat badan anda yang bertambah secara mendadak.


Ramai yang mempercayainya dengan alasan aktiviti pada waktu malam kurang, jadi segala jenis makanan yang diambil akan disimpan di dalam badan dan akhirnya menjadi lemak yang sukar untuk dihilangkan.


Adakah anda tahu yang dakwaan ini tidak benar? Anda sebenarnya bebas untuk makan malam walaupun anda dalam proses menurunkan berat badan!


Menurut Healthline, kenyataan berkenaan sebenarnya berdasarkan pemerhatian terhadap haiwan dimana kajian yang dijalankan terhadap tikus mendapati tikus yang kerap diberi makan pada waktu malam meningkat berat badan berbanding tikus yang tidak diberi makanan selepas waktu itu meskipun jumlah makanan yang diberikan adalah sama.

Kajian yang sama dibuat pada manusia dan ia tidak mendatangkan kesan yang sama seperti tikus.
Dengan kata lain, kajian yang dijalankan terhadap manusia menunjukkan peningkatan berat badan bukan disebabkan waktu seseorang itu makan, sebaliknya lebih kepada jumlah makanan yang diambil.


Satu kajian yang dijalankan dalam kalangan 1,600 kanak-kanak mendapati tiada hubungan yang jelas antara makan selepas 8 malam dengan berat badan yang berlebihan.


Kajian berkenaan disiarkan dalam jurnal PubMed.Gov bertajuk “The timing of the evening meal: How is this associated with weight status in UK children?” mendapati kanak-kanak yang makan lewat selepas waktu malam tidak mengalami berat badan berlebihan.


Sebaliknya, kumpulan kanak-kanak yang diberi jumlah makanan lebih banyak berbanding kumpulan pertama didapati menunjukkan peningkatan dari segi berat badan meskipun tidak makan selepas jam 8 malam.

Bagaimanapun, pemerhatian yang dijalankan terhadap kumpulan orang dewasa menunjukkan pengambilan makanan selepas jam 8 malam boleh menyumbang kepada peningkatan berat badan jika diamalkan dalam jangka masa yang panjang.


Kajian yang sama mendapati jika responden mengambil makanan dengan jumlah kalori yang ditetapkan dalam sehari tanpa mengira waktu termasuk makan selepas waktu malam, berat badannya tidak akan naik.
Kesimpulannnya, kenaikan berat badan seseorang berpunca daripada jumlah makanan yang diambil individu berkenaan dalam diet pemakanan harian mereka, bukan dipengaruhi waktu makan.


Semakin banyak makanan yang diambil dalam sehari, semakin tinggilah berat badan seseorang itu, tidak kira bila mereka makan.


Namun tabiat makan pada waktu malam tidak boleh dinafikan mampu memberi sedikit kesan kepada peningkatan berat badan seseorang melalui amalan pengambilan makanan kalori yang berlebihan.

Leave a Comment