Posted on: September 15, 2020 Posted by: Fadhilah Comments: 0

Sabun kebanyakannya dalam bentuk berbuku. Kebanyakan sabun hari ini hadir dengan pelbagai jenis wangian. Ada yang berbau seperti minyak wangi dan tidak kurang juga yang berbau seperti makanan.


Rupa bentuk sabun juga sudah dipelbagaikan. Tidak lagi berbentuk empat segi sebaliknya ada banyak pilihan sabun berbentuk seperti makanan seperti kek, biskut, muffin dan sebagainya.


Tahukah anda bahawa sabun adalah campuran pencuci yang digunakan bagi kegunaan peribadi atau sedikit cucian. Ia biasanya dijual dalam bentuk ketulan yang dipanggil buku.

Kebanyakan campuran sabun mengandungi sebatian garam natrium atau kalium yang boleh dihasilkan daripada asid lemak dengan bertindak balas dengan larutan beralkali (seperti natrium hidroksida atau kalium hidroksida) pada 80°–100 °C dalam proses yang dikenali sebagai penyabunan. Lemak-lemak itu dihidrolisiskan oleh bahan bes, menghasilkan gliserol dan sabun kasar (garam asid lemak beralkali).


Sabun dihasilkan daripada minyak atau lemak. Sodium Tallowate, bahan biasa dalam kebanyakan sabun, sebenarnya adalah lemak haiwan. Sabun yang dihasilkan dari minyak sayuran, seperti minyak zaitun, biasanya diistilahkan sebagai sabun castile.

Berikut perkongsian Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan tentang sabun dan losen.

Mohon berhati-hati bila beli sabun atau losen yang berbau seperti makanan, contohnya: coklat, mentega, buah-buahan, dan sebagainya. Dalam minggu ini sahaja saya sudah lihat dua kes termakan bahan-bahan ni.


KES 1: seorang warga emas yang termakan sabun yang mempunyai bentuk seperti jeli kering dan berbau seperti buah-buahan. Selepas termakan (telan) baru dia perasan itu bukan makanan.Selepas beberapa minit, dia mengadu lidahnya terasa panas, disusuli dengan ke tidak selesa pada perut. Kemudian minta ahli keluarga untuk ke klinik untuk dapatkan rawatan.Jika pek sabun ada gambar buah, bentuk dan bau pun seperti makanan, mudah memang tersalah. Lagi-lagi kalau labelnya dalam Bahasa Inggeris, tulisan kecil, dan disimpan di tempat tidak sesuai.

KES 2: seorang ibu masuk ke bilik dan lihat anaknya yang berusia 3 tahun sedang memegang losen pelembap tubuh, dan isinya ada dalam mulut anaknya serta lantai. Tidak pasti berapa banyak diminum.


Beberapa minit kemudian kanak-kanak itu mengalami muntah-muntah, dan disusuli dengan cirit-birit selepas satu jam. Kanak-kanak itu di bawa ke klinik kerana kelihatan sangat lemah.


Kanak-kanak tak pandai baca, maka mereka bergantung kepada bau dan warna untuk mengenal pasti sesuatu. Losyen itu berwarna koko pucat dan berbau seperti susu berperisa coklat.


Kebanyakan sabun dan losen mempunyai ketoksikan yang rendah, tetapi boleh mengakibatkan simptom ketidak-selesaan pada lidah serta perut, muntah-muntah, dan cirit-birit.

Peluntur pula lazimnya mempunyai ketoksikan yang tinggi, dan boleh menyebabkan muntah dan najis berdarah, sakit, sawan, tekanan darah rendah, pengsan, dan kematian.


Jika tertelan bahan-bahan ini, tidak usah paksa muntahkan kerana ia boleh mengakibatkan komplikasi lain. Bawa terus jumpa doktor. Lebih elok bawa sekali pek atau botol bahan tersebut.


Jika beli sabun/losen berperisa dan berciri seperti seperti makanan, pastikan disimpan di tempat sesuai dan tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak, atau tempat bertutup yang boleh dikunci.

Sumber kredit: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan dan Wikipedia

Leave a Comment