Rezeki bukan sahaja dari suami yang kuat kerja, tapi isteri juga perlu main peranan

Kalau dengar ceramah agama mesti penceramah akan tekankan peranan suami dalam berusaha untuk mencari dan memberi nafkah kepada keluarga. Malah, untuk mendapatkan rezeki yang banyak, mereka perlu menjaga kebajikan isteri dan keluarga terlebih dahulu. Sayangnya, masih ramai yang gagal melaksanakannya.

Perlu diingatkan dalam membina rumah tangga, kesepaduan antara dua belah pihak yakni suami dan isteri adalah amat penting. Perkara pertama perlu diwujudkan adalah melaksanakan tanggungjawab, kewajipan dan hak masing-masing. Barulah harmoni tapi jika sebelah pihak saja berusaha, tetap akan gagal.

Jadi, bagaimana untuk mengelakkan kegagalan dalam membina rumah tangga? Kalau sebelum ini kami sudah berkongsi tentang tanggungjawab suami, kali ini kami ingin ketengahkan peribadi seorang isteri yang perlu ada supaya rezeki keluarga tak putus. Jangan ingat peribadi isteri tak main peranan ye!

Isteri pandai bersyukur – Apa pun nikmat atau keseronokkan yang dirasai walaupun sekecil zarah, seorang isteri harus bersyukur bukan merungut.

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Isteri bertawakal kepada Allah – Tidak merasa gusar atau takut bahawa rezeki tidak cukup tapi percaya bahawa Allah akan berikan rezeki kepada suaminya kemudian suaminya akan berkongsi rezeki tersebut dengannya.

Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya.” (Ath-Thalaq, 65:3)

Isteri yang suka bersedekah – Bila seorang isteri bersedekah dari pemberian suaminya, Allah akan lipat gandakan rezekinya lagi dan secara tak langsung, rezeki yang diberikan oleh Allah tempias pada ahli keluarga juga.

Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Isteri yang mendoakan suaminya – Jika seorang isteri mendoakan suaminya supaya dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan. InsyaAllah segala urusan dan rezeki tidak disulitkan.

Berdo’alah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu.” (al-Mu’min, ayat 60)

Isteri yang taat – Taat seorang isteri bukan saja pada suaminya tapi pada mertuanya, orang tuanya dan pada tuntutan Allah juga. Ketaatan juga berkait rapat dengan rezeki kerana rezeki datangnya pada keharmonian sesebuah keluarga.

Bila seorang isteri telah mendirikan solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kesucian dirinya, dan taat kepada suaminya, nescaya kelak akan dikatakan kepadanya; Masuklah ke Syurga dari pintu manapun yang engkau suka.” (riwayat Ahmad)

Selepas ni, para isteri boleh ubah mana yang belum lagi sempurna. Berusaha menjadi baik. Semoga keluarga kita semua bahagia hingga anak cucu.

Fadhilah
Author: Fadhilah

Leave a Reply

Scroll to Top