Realiti dan fantasi berkahwin dengan anak tunggal

Biasa kami kongsikan pro dan kontra berkahwin dengan anak bongsu ataupun sulung. Kali ini kami akan kongsikan pula tentang pro kons berkahwin dengan anak tunggal.

Anak tunggal kebiasaanya dilabel sebagai paling manja kerana dia adalah satu-satunya anak dalam keluarga. Ibarat, nak apa sahaja pasti dapat. Ramai yang menganggap berkahwin dengan anak tunggal sebagai satu masalah besar kerana kehidupannya dikawal oleh ibu bapanya. Maklumlah anak emas nan seorang dalam keluarga.

Persepi masyarakat menganggap anak tunggal paling sukar diurus atau berpotensi menjadi individu kuat mengadu. Pantang silap sikit, pasti akan jadi serba tak kena dan terjadilah campur tangan ahli keluarga.

Namun, tidak semua anak tunggal begitu. Semuanya bergantung cara didikan ibu bapanya. Kenali dahulu diri dan keluarganya lebih rapat. Jangan sesekali kita meletakkan batu aras negatif kepada anak tunggal.

Ada juga anak tunggal yang lebih berdikari, tidak bergantung kepada ibu bapanya dan lebih matang dalam merencana kehidupan. Ini bergantung bagaimana cara dia dididik dan dibesarkan. Status anak tunggal seharusnya tidak patut dipandang negatif tetapi lihatlah keperibadiannya.

Mungkin benar, ada segelintir anak tunggal yang sukar berpisah dengan ibu bapanya namun sebagai pasangan bertoleransilah sedikit dan berikan masa agar pasangan anda membiasakan dirinya dengan keadaan baru. Jika si dia adalah isteri anda, berikannya peluang tinggal sementara bersama keluarganya dan dalam masa sama pujuklah secara baik untuk tinggal berasingan kerana itu adalah yang terbaik dalam belajar hidup berumah tangga.

Bagi si suami anak tunggal, adalah menjadi peranan isteri untuk lebih sabar dan memahami sifat si suami. Pujuk dan bercakap baik agar si suami ini lebih mengerti fungsi sama rata antara ibu bapanya dan isterinya. Hormati ibu bapanya sama seperti anda menyayangi ibu bapa sendiri agar suami dapat merasakan anda juga menerima keluarganya dengan baik.

Fadhilah
Author: Fadhilah

Leave a Reply

Scroll to Top