9 Perkara Wajib Sebelum Bertunang dan Selepas Bertunang Yang Perlu Pasangan Bincangkan

Bertunang adalah sebagai satu tanda persetujuan oleh kedua-dua pihak dalam proses membina rumah tangga menjadi suami isteri. Artikel pada kali ini, kami akan kongsikan kepada anda perkara wajib sebelum bertunang dan selepas bertunang yang perlu dibincangkan.

Perlu ke kita bertunang?

perkara wajib sebelum bertunang

Ramai mungkin tertanya-tanya, adakah penting untuk pasangan itu bertunang dahulu sebelum mendirikan perkahwinan?

Dalam Islam, pertunangan bertujuan untuk kita kenal akhlak dan sifat pasangan sebelum diadakan akad nikah. Hal ini sangat penting dalam menguatkan hubungan cinta serta mempersiapkan diri masing-masing sebelum berkahwin.

Hukum bagi bertunang juga adalah sunat, meskipun ada juga sebahagian ulama yang menghukumnya sebagai harus. Ini bermakna, amalan tersebut amat digalakkan di dalam Islam bagi mencapai sesuatu tujuan.

Selain tujuan bertunang untuk kedua-dua pasangan saling mengenali, ia juga bermanfaat bagi keluarga kedua-dua belah pihak membina hubungan sebelum bergelar besan.

Pebagai perkara wajib sebelum bertunang kena buat

Sebagai persediaan awal, amat penting untuk kita buat beberapa perkara wajib sebelum bertunang. Lakukan perbincangan dahulu dengan pasangan sebelum memutuskan untuk bertunang.

1. Pandangan orang terdekat dengan hubungan

Tanyakan kepada diri dan pasangan, adakah hubungan kalian ini mendapat restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak dan rakan-rakan. Sungguhpun pandangan orang terdekat yang mengenali kita tidaklah terlalu penting, namun doa dan pendapat mereka sentiasa kita perlukan.

Hal ini bagi membentuk rasa bahagia nanti bersama pasangan dan mengharapkan hubungan yang kekal sehingga bila-bila.

2. Hubungan dengan keluarga sendiri dan pasangan

perkara wajib sebelum bertunang

Meminta restu orang tua atau ibu bapa dalam urusan pertunangan dan perkahwinan memang sangat penting. Keluarga kita sendiri perlu menerima dan baik dengan pasangan, begitu juga sebaliknya.

Sekiranya diawal perkenalan dan hubungan sudah ditentang oleh keluarga, semestinya urusan seterusnya nanti akan lebih sukar.

3. Tempoh ikatan pertunangan akan dibuat

Sebenarnya tidak ada penetapan tempoh ikatan pertunangan yang tertentu. Namun begitu, tempoh pertunangan sebaiknya dibuat kurang dari setahun.

4. Fikir kewangan sebelum dan selepas berkahwin

Mereka yang bertunang biasanya masih diperingkat awal membina kerjaya. Oleh yang demikian, rata-rata masih bertatih dalam memiliki kestabilan dalam kewangan diri.

Namun begitu, ini tidak bermakna kita perlu membatalkan niat untuk bertunang dan mendirikan rumah tangga. Salinglah bekerjasama untuk mengumpul wang kahwin dan memasang tujuan yang terbaik bagi dalam membina rumah tangga.

5. Jujur dengan masa silam dan masa depan masing-masing

perkara wajib sebelum bertunang

Jujur adalah intipati penting bagi setiap perhubungan apatah lagi yang melibatkan masa depan seperti ini. Sepatutnya di fasa ini, tiada rahsia yang disembunyikan dalam diri masing-masing kepada pasangan.

Tujuan utamanya adalah memastikan antara satu sama lain dapat menerima diri masing-masing dengan ikhlas dan tidak mengungkit-ungkit berkenaan dengan masa lalu.

Perkara penting mesti dibincangkan dalam majlis pertunangan

Dalam majlis pertunangan sering kita lihat kedua-dua pihak duduk berhadapan sambil membincangkan sesuatu. Apakah perkara yang penting mesti dibincangkan dalam majlis pertunangan nanti? Jom kita semak satu persatu.

1. Tarikh majlis pernikahan

Tarikh majlis pernikahan sangat penting untuk diputuskan terlebih dahulu bagi memastikan kedua-dua belah pihak mempunyai waktu yang cukup dalam membuat persediaan.

2. Jumlah hantaran yang dipersetujui pasangan

Sesetengah keluarga yang kuat dengan adat negerinya mempunyai jumlah wang hantaran yang tertentu. Ada kalanya pihak lelaki menghendaki wang hantaran dibayar separuh semasa pertunangan. Manakala separuh lagi dibayar sewaktu pernikahan.

Ada juga orang yang turut menyatakan cara pembayaran dilakukan. Justeru itu, bincangkan pilihan yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak.

3. Ganti rugi yang perlu dibayar sekiranya pasangan memutuskan pertunangan

Kerana terlalu banyak kes putuskan tunang tanpa sebab munasabah, kedua-dua belah pihak perlu untuk membincangkan dan menetapkan juga ganti rugi sekiranya salah seorang memutuskan pertunangan.

Kita tidak perlu bincangkannya secara panjang lebar, cukuplah pihak lelaki mengemukakan cadangannya. Dan pihak perempuan pula menyatakan persetujuannya.

Jika pihak perempuan ingin menambah cadangan, sebutkannya supaya semua saksi yang hadir dapat mendengar perkara itu dengan jelas.

4. Menentukan mahar atau atau mas kahwin

Kadar mas kahwin adalah mengikut tempat dan kedudukan wanita itu sendiri. Mengikut pada Jabatan Agama Islam Negeri, penetapan ditentukan berbeza mengikut negeri seperti RM 101, RM 300, RM 1001. Dan ada juga yang maharnya hanya sebuah Al-Quran sahaja.

Semoga perkongsian mengenai perkara wajib sebelum bertunang ini dapat memberikan anda semua informasi yang berguna sebagai persediaan untuk melangsungkan majlis pertunangan dengan pasangan.


Artikel Berkaitan:

Hannani Juhari
Author: Hannani Juhari

Leave a Reply

Scroll to Top