Pening hantaran mahal? Ini 11 perkara yang bantu anda kurangkan kos

“Mahalnya barang hantaran.”


Ramai yang merungut kerana perlu menyediakan jumlah wang yang banyak untuk menyediakan hantaran perkahwinan. Dengan harga barang yang mahal, itu belum termasuk kos membuat gubahan termasuk perhiasan dan peralatan sama ada menggunakan kotak, bakul atau bekas bercermin semuanya perlu diambil kira.


Malah, dulang hantaran sama ada berkerawang de­ngan alas dulang yang semakin anggun dan menawan juga turut membabitkan kos yang mahal.

Jika dicongak-congak, ada hantaran bernilai RM500 termasuk barang disediakan. Itu jika satu, bagaimana jika perlu menyediakan 11 dulang dibalas sembilan dulang?


Namun untuk tidak menyediakan hantaran, mustahil sama sekali kerana walaupun hanya adat, ia diamalkan sejak dulu lagi. Menjadi kewajipan pada majlis perkahwinan pihak lelaki membawakan dulang hantaran untuk wanita dan begitu pula sebaliknya.


Jangan bimbang, walaupun anda perlu mengikut adat, ada beberapa panduan yang boleh diikuti bagi mengurangkan kos keseluruhan menyediakan hantaran antaranya:

1. Tentukan kuantiti hantaran yang perlu disediakan


Dalam perbincangan sesama ahli keluarga, penentuan jumlah hantaran yang perlu dibawa sangat penting. Bagi mengelak kos terlalu tinggi, sebaiknya pilih jumlah hantaran paling minimum. Pilih hanya barang perlu saja dan elak membawakan hantaran yang tidak perlu seperti bunga rampai yang akhirnya akan masuk ke bakul sampah.


Sebagai panduan untuk majlis bertunang, pihak lelaki boleh membawa lima dulang dibalas tujuh daripada perempuan. Untuk perkahwinan pula bolehlah berbincang sesama ahli keluarga membawakan jumlah paling minimum iaitu tiga berbalas lima. Walaupun sedikit, ia pasti tidak menjejaskan kemeriahan majlis.

2. Sediakan bajet
Bajet ini termasuk membeli barang hantaran dan juga menggubahnya. Untuk lebih jimat, biasanya mempelai boleh menggubah sendiri hantaran mereka. Namun jika kesuntukan masa mempelai boleh menempah dengan mereka yang arif dalam menggubah hantaran.


3. Tetapkan tema hantaran
Ini sangat penting bagi mengelak anda membeli barangan yang tidak diperlukan. Misalnya, anda mencadangkan untuk meletakkan coklat dan buah-buahan sebagai hantaran jadi buat senarai barang yang perlu disediakan. Kemudian nilai semula sama ada ia berbaloi atau tidak.

4. Sewa dulang hantaran daripada membeli
Dengan menyewa dulang hantaran, anda sudah berjimat. Kebiasaannya butik pengantin ada menyediakan khidmat sewa dulang hantaran. Sekiranya anda sudah menetapkan tema baju dan butik yang anda inginkan, tanya sama ada mereka menyediakan sewa dulang hantaran. Jika ada, minta dimasukkan sekali dalam pakej. Bagi yang ingin membeli sendiri dulang hantaran, fikirkan sama ada selepas ini anda akan menggunakannya semula, jika tidak abaikan saja. Lainlah sekiranya anda mempunyai ramai adik-beradik yang akan menggunakan semula dulang hantaran selepas ini.


5. Elakkan menggunakan kotak hantaran lut sinar
Walaupun niat anda untuk tidak membazir, tetapi sebenarnya penggunaan kotak hantaran lut sinar me­nyebabkan kos menjadi lebih tinggi. Ini kerana kotak perlu dihias reben dan diletakkan bunga. Untuk nampak cantik memerlukan reben yang mahal. Bayangkan jumlah kos yang perlu dikeluarkan untuk satu kotak hantaran.

6. Pelbagaikan cara menggubah hantaran
Gunakan kreativiti untuk menggubah barang seperti pakaian dan telekung kerana ia menjimatkan banyak kos. Ini kerana barang ini tidak memerlukan kotak ha­nya diletakkan di atas dulang hantaran. Hiasan juga tidak terlalu banyak kerana gubahan itu sendiri sudah cukup cantik dan menyerlah.


7. Barang hantaran boleh dihimpunkan dalam satu bekas
Cara ini juga sangat membantu menjimatkan kos. Misalnya kasut dan beg tangan boleh diletakkan dalam bekas yang sama. Begitu juga sejadah dan telekung. Baju dan tudung. Dengan meng­gabungkannya ia dapat menjimatkan dulang hantaran.

8. Minimumkan hiasan
Sederhana itu lebih baik. Berpegang kepada prinsip ini seharusnya anda tidak perlu berlebih-lebihan dalam membuat hiasan. Pada zaman moden ini seharusnya hantaran dihasilkan bersifat sederhana tanpa banyak reben, manik dan renda. Sesuaikan dengan dulang agar hantaran dihasilkan nampak mewah. Penggunaan perincian yang begitu keterlaluan membuatkan hantaran anda nampak berserabut. Selepas majlis perkahwinan, kebanyakannya membuang bekas hantaran ini kerana ia sudah dihias manik dan reben.


9. Bawa barang hantaran digunakan saja
Pemilihan barang hantaran sangat penting. Oleh itu bawa berbincang dengan pasangan apa yang mereka mahukan. Anda membelikan barang yang anda inginkan, begitu juga sebaliknya kemudian tukar semasa sendiri. Ini bagi memastikan anda mendapat barang yang anda inginkan saja dan mengelak daripada membazir.


10. Sedia barang hantaran awal
Sediakan keperluan hantaran terutama barang keperluan dua atau tiga bulan lebih awal. Beli ketika waktu promosi bagi mendapatkan harga murah. Menyediakan barang keperluan terlebih dulu memastikan anda tidak mengeluarkan wang sekali gus.

11. Pilihan makanan yang mudah dibawa
Sekiranya majlis perkahwinan berada di lokasi yang jauh, pilih makanan yang tidak hancur seperti coklat, buah-buahan atau kuih-muih tahan lasak. Ini bagi mengelak makanan yang anda bawakan tidak boleh dimakan atau dibuang begitu saja. Sebaiknya pilih dua jenis makanan saja dan selebih­nya barang keperluan diri.





Fadhilah
Author: Fadhilah

Leave a Reply

Scroll to Top