Nak jimat? DIY sahaja bunga kertas untuk pelamin pengantin

Bukan mudah untuk mengadakan satu-satu majlis keramaian, lebih-lebih lagi jika majlis berkenaan ada hubung kaitnya dengan sambutan besar-besaran seperti majlis pertunangan mahupun perkahwinan.

Tidak dinafikan, kita semua punya perkahwinan impian. Namun, kadang-kala, terdapat beberapa halangan yang menyekat kita daripada merealisasikam angan-angan tersebut.

Oleh itu, tiada sebarang masalah yang akan terjadi jika tidak ditemani dengan jalan penyelasaian yang munasabah. Contohnya, jika terlalu banyak perkara yang perlu anda dahulukan seperti kos upah katering dan sebagainya sehingga anda harus mengurangkan kos sewa hiasan pelamin, anda mungkin boleh gunakan cara D.I.Y untuk bina pelamin yang indah. Paling penting, ianya tidak akan menelan kos yang banyak.

Asalkan sahaja anda kreatif dan punya kemahuan, pasti pelamin dan hiasan dalaman dewan di hari perkahwinan anda bakal menyerlah.

Kami ingin kongsikan cara bagaimana anda boleh mencipta bunga ros kertas gergasi yang dilihat semakin trending untuk dijadikan hiasan pelamin, hiasan dewan ataupun sebagai penyeri meja yang ringkas, namun masih lagi mampu mewujudkan pesona.

Bahan-Bahan Kraf:

  1. Kertas Krep (Crepe Paper)
  2. Pita pembalut dawai/bunga
  3. Gam
  4. Sebatang pensil kayu
  5. Dawai bunga

Sediakan:

  1. (5) kelopak bunga kertas kecil
  2. (15) keping kelopak bunga kertas gergasi berbentuk hati
  3. (3) keping daun kertas
  4. (1) daun pucuk 

Cara-Cara:

Seperti penulis, penulis pilih untuk menggunakan 3 jenis warna merah jambu sebagai kontras iaitu, warna merah jambu cair, merah jambu aprikot dan merah jambu krim.

  • Mulakan dengan memotong semua kepingan kelopak bunga dan daun yang diperlukan.
  • Gosok kelopak kertas berkenaan dengan seterika jika perlu untuk meratakan kedutan pada kertas.
  • Selepas itu, mula untuk membuat tangkai. Balutkan 4 hingga 6 batang dawai bunga sekaligus menggunakan pita pembalut dawai mengikut ukuran panjang tangkai yang anda mahu. 
  • Sambil membalut dawai, tegangkan pita agar pelekat pada pita tersebut bertindak membaluti dawai dengan sempurna dan tidak mudah tertanggal.
  • Segera bentukkan kelopak bunga kertas anda. Lekukan bahagian tengah kelopak.
    Kemudian, perlahan-lahan gulungkan penghujung kelopak menggunakan pensil kayu.
    Sambil menggulung, anda tekan kertas yang membaluti pensil itu supaya ianya terbentuk dengan cantik dan kemas.
  • Kini, lakukan langkah yang sama kepada 15 keping kelopak yang besar pula.
    Ini mungkin langkah yang paling sukar untuk anda tetapi, cuba yang terbaik untuk mengekalkan bentuk kelopak anda agar sama semuanya.
  • Sekarang, anda perlu pastikan supaya anda membuat tunas bunga menggunakan 5 keping kelopak bunga kertas dahulu.
    Mulakan dengan membalut dawai bersama satu keping kelopak dengan ketat. Sambung membalut kepingan kelopak yang lain dikelilingnya. Pastikan kelopak bertindih antara satu sama lain (rujuk pada gambar tutorial) sehingga habis kesemuanya.
  • Tunas bunga anda harus kelihatan seperti dalam gambar kiri di bawah. Tidak mengapa jika kepingan kelopak bunga anda berkedut. Rapikan dibahagian penghujung sebelum anda membalut penghujungnya dengan pita pembalut. 
    Balut sehingga anda menutup kesemua bahagian yang berwarna dan bertemu kembali dengan batang bunga berkenaan agar tampak kemas -kelihatan seperti bunga yang sebenar.
  • Sekarang, anda punyai lebih 15 kelopak bunga kertas yang berbentuk hati betul? Tambahkan kelopak sehingga bunga ros anda kelihatan rimbun.
    Setiap kali anda tambahkan dua (2) keping kelopak bunga pada tunas, kemaskan ia dengan pita bunga supaya tidak mudah tercabut mahupun tertanggal dari tangkai. 

  • Pastikan kesemua kelopak dilekatkan pada keliling bunga dengan rapi supaya mekarnya nampak sekata.
  • Ingat! Penting untuk anda membalut dengan tegang menggunakan pita pembalut berkenaan. Pusingkan pita sekeliling penghujung bunga sehingga mengenai kembali balutan pita di bahagian tangkai.
  • Lihat dari atas permukaan bunga sama ada susunannya sekata ataupun tidak. Kemaskan kedudukan kelopak bunga berkenaan.
  • Setelah kesemua kelopak bunga dibalut penghujungnya, kini tiba masa untuk membalut pucuk daun yang lazimnya membaluti penghujung bunga (dekat dengan tangkai). 
    Terbalikkan bunga ros anda dan mula balut pucuk daun dengan rapi. 
    Pastikan pucuk daun anda cukup besar dan panjang. Jika tidak, ianya akan tenggelam di bawah kelopak bunga anda yang rimbun itu.
    Aturkan susunan supaya sekata, langsung, balutkan ia menggunakan pita pembalut seperti biasa.
  • Untuk menyediakan daun, dengan menggunakan gam (sebaiknya gam PVA kerana lebih kuat), lekatkan batang dawai di bahagian tengah kelopak daun.
    Lipatkan daun kepada dua bahagian dan tekan sepanjang batang dawai supaya ianya melekat dengan ketat.
    Tanpa perlu membuka lipatan daun, biarkan ia kering.
  • Setelah kering, buka daun anda perlahan-lahan sambil memegang bahagian batang di belakang permukaan daun agar ianya tidak tertanggal dari batang.
    Sekarang, letakkan sedikit gam di bahagian hujung batang daun berkenaan dan balutkan kertas sama warna sehingga ke penghujung batang daun.
  • Untuk mencantumkan bahagian batang daun kepada batang bunga anda, susunkan batang daun pada bahagian batang bunga yang anda kehendaki, dan balutkan bersama menggunakan pita dengan rapi beberapa kali.

  • Apabila balutan telah siap, anda boleh bengkokan kedudukan batang daun agar kelihatan lebih realistik.
    Tambahkan sedikit gam pada pucuk daun dan balutkan kertas sama warna untuk menutup sisa pita.
  • Teruskan membalut keseluruhan batang dengan kertas sama warna (warna hijau pucuk).
    Apabila sampai di penghujung batang, gam kan kertas pembalut berkenaan. Pastikan anda balut dengan kemas supaya tidak tertanggal kelak.

Jika anda nak wujudkan sesuatu kelainan, daripada menempah bunga telur di kedai, anda juga boleh membuat bunga telur anda menggunakan teknik yang ini.

Fadhilah
Author: Fadhilah

We will be happy to hear your thoughts

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart