Majlis kahwin tetap berlangsung walaupun tetamu berkurangan sebab penularan Covid-19

Majlis perkahwinan akan tetap dilangsungkan mengikut tarikh ditetapkan walaupun dengan penularan Covid-19, kata beberapa pasangan.
Walaupun bimbang dengan impak wabak itu, majlis itu tetap diteruskan.
Namun langkah pencegahan tetap dilaksanakan seperti menyediakan cecair pembasmi kuman dan elak bersalam.


Mereka juga akan menasihati individu yang mempunyai simptom virus Covid-19 untuk tidak hadir ke majlis berkenaan.

Seorang pekerja swasta, Muhammad Zaim Jasmi, 26, yang baru melansungkan majlis perkahwinannya minggu lepas di Butterworth, Pulau Pinang berkata jumlah tetamunya merosot lebih kurang 20% daripada jangkaan keluarganya.


Majlis kenduri kahwin tetap jalan, walaupun ketika isu Covid-19 makin menjadi-jadi kita tidak fikir untuk batal atau tangguhkan.
Cuma, tidak sangka jemputan kita kurang dalam 20%. Saya jemput dan sediakan makanan untuk 600 orang tetapi yang hadir dalam 400 saja.


Tambahnya, beliau juga menyediakan cecair pembasmi kuman kepada tetamu sebagai langkah pencegahan.

“Sebelum masuk ke dewan, kita minta tetamu gunakan cecair pembasmi kuman dan kami pun minta tetamu untuk tidak bersalam.
Dengan tetamu, kami hanya gunakan isyarat tangan di dada untuk gantikan bersalam dan mereka pun faham dengan situasi sekarang,” katanya.


Seorang pengantin dari Perlis, Masazuwa Mat Isa, 36, berkata majlisnya berjalan seperti biasa dan jumlah tetamu seperti yang mereka harapkan.

Majlis kenduri kami tetap berjalan seperti biasa sebab belum ada kenyataan daripada kerajaan pusat dan negeri yang menghalang majlis kenduri berikutan wabak Covid-19.

Tambahnya, kos perkahwinan berjumlah RM18,000 termasuk menyediakan beberapa botal cecair pembasmi kuman.


Setakat ini, 553 kes direkodkan positif wabak koronavirus, sejak kes itu mula merebak Februari lalu.

Dengan itu, kerajaan menguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan yang menyekat pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan dan sosial.


Namun bagi Muhd Shamel Suhaimi, penularan jangkitan itu tidak melemahkan semangatnya untuk terus mengadakan majlis perkahwinannya.


Katanya, ini memandangkan beliau merupakan anak sulung dalam keluarga yang akan berkahwin.


Shamel berkata beliau juga sudah menghantar kad jemputan kepada 2,000 tetamu dan menyediakan alat untuk mengesan tetamu bergejala.

“Setakat ini, saya nasihati kawan-kawan dan tetamu untuk tidak hadir jika demam atau kurang sihat.

“Pihak keluarga kami pun, sediakan cecair pembasmi kuman dan alat pengesan suhu berharga RM200 untuk saring tetamu kita yang mempunyai suhu tinggi.

“Kita tidak pasti satu alat itu mampu tak kesan tetamu yang akan datang lebih daripada 1,000, tetapi jika mereka demam, pihak keluarga saya akan nasihat untuk tidak masuk ke dewan majlis,” tambahnya.


Shamel berkata walaupun sedar pihak kerajaan menasihati untuk menangguhkan perhimpunan ramai, namun ia sukar dilakukan.

“Mustahil untuk tangguh majlis perkahwinan sebab lagi seminggu saja majlis saya.


“Kalau tangguh pun ia akan telan kos yang lebih mahal sebab kita sudah tempah katering, dewan, jurufoto dan lain-lain,” katanya yang bakal melansungkan perkahwinan hujung minggu ini.

Fadhilah
Author: Fadhilah

Leave a Reply

Scroll to Top