Lulus had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun, Selangor negeri pertama cipta sejarah

Selangor telah mencipta sejarah apabila menjadi negeri pertama meningkatkan umur yang dibenarkan bagi orang Islam untuk berkahwin dari 16 hingga 18 tahun.

Perkara ini berdasarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang telah meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (Pindaan 2018) yang antara lain menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam tersebut selepas disokong sebulat suara anggota DUN.


Sebelum ini, Seksyen 8 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 telah menetapkan bahawa umur minimum perkahwinan bagi lelaki Islam adalah tidak kurang daripada 18 tahun manakala bagi perempuan Islam adalah tidak kurang daripada 16 tahun.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, “Sultan Selangor telah menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk mengkaji semula had umur perkahwinan bagi orang Islam di Selangor.”


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini pernah menyatakan rasa bimbang akan kes penikahan bawah umur lalu membenarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyelaraskan had umur perkahwinan.

RUU itu menyatakan bahawa perkahwinan di bawah umur 18 tahun masih boleh berlaku namum memperuntukkan agar permohonan itu perlu mendapatkan kebenaran daripada Hakim Mahkamah Syariah di negeri ini terlebih dahulu.

RUU itu juga memperuntukan keperluan bagi ibu atau bapa atau penjaga, bertindak sebagai pemohon bagi pihak kanak-kanak bawah umur minimum, hendaklah menyertakan suatu afidavit.

Hal ini adalah bagi memastikan setiap kanak-kanak lelaki atau perempuan yang bercadang untuk berkahwin dinilai daripada aspek mental, jasmani, sistem reproduksi, akhlak dan sosiologi.

Fadhilah
Author: Fadhilah

Leave a Reply

Scroll to Top