Jimat belanja! DIY sahaja sirih junjung

Jimat belanja! DIY sahaja sirih junjung

Sirih junjung dan tepak sirih antara hantaran yang akan disediakan oleh kedua-dua pihak lelaki dan perempuan dalam adat bertunang dan majlis perkahwinan Melayu. Ia adat tradisi masyarakat Melayu yang masih diamalkan dalam sesebuah majlis pertunangan ataupun perkahwinan pada hari ini. Fungsi asalnya dikatakan sebagai ‘pembasah mulut’ ataupun pembuka bicara sebelum majlis berlangsung.

Ia juga kebiasaannya dijadikan ‘kepala’ dulang untuk deretan dulang hantaran yang ingin dihadiahkan kepada pihak keluarga pasangan.

Begitupun, masyarakat hari ini dilihat lebih cenderung kepada penggunaan sirih junjung berbanding tepak sirih. Hal ini kerana ia boleh digubah mengikut tema majlis dan menjadikannya nampak lebih moden, menarik serta unik. Rupanya yang cantik juga dikatakan sebagai penye­ri bagi keseluruhan dulang hantaran yang ada bersama di dalam majlis tersebut.

Kebiasaannya gubahan sirih junjung tidak lengkap tanpa bahan lain seperti gambir, kapur, pinang, tembakau dan cengkih. Kesemua bahan yang digunakan dalam gubahan sirih junjung mempunyai makna yang tersirat berdasarkan apa yang telah diceritakan oleh orang tua dahulu.

Daun sirih membawa maksud sifat berani, tidak mudah berputus asa, merendah diri dan sentiasa memuliakan orang lain. Rasa gambir yang kelat kepahit-pahitan melambangkan kecekalan serta keteguhan hati seseorang manakala rasa cengkih yang pedas pula dikatakan perlambangan seseorang yang berpegang kuat pada prinsip hidup.

Sebenarnya, kita boleh sahaja DIY sirih junjung mengikut kreativiti sendiri. Ianya lebih jimat tanpa perlu mengupah orang lain yang mana harganya lebih tinggi.

Ini cara-cara DIY sendiri sirih junjung anda…

Bahan-Bahan

  • Bunga hiasan
  • Daun sirih
  • Batang lidi
  • Bekas kaca
  • Span basah
  • Penggulung hijau

Langkah-Langkah

  1. Cucuk bunga hiasan dan daun-daun bunga.
  2. Ambil lidi dan ikatkan daun sirih.
  3. Ambil daun sirih dan hias sekeliling bekas kaca.
  4. Cucukkan pula bunga-bunga.
  5. Kemudian, cucukkan daun-daun sirih.
  6. Akhir sekali, ambil bunga hiasan dan letakkan di dalam kelopak daun sirih.
  7. Siap!

Back to Top