Jangan keliru! Ini perbezaan antara Perfume, Eau de Toilette & Eau de Cologne

Mungkin anda salah seorang peminat tegar wangian pelbagai jenama terkenal di pasaran. Seseorang yang benar-benar meminati keaslian wangian dari suatu jenama pasti tidak kisah untuk membelanjakan wang sehingga beratus atau beribu ringgit bagi memastikan produk pewangi badan yang dimiliki bukan daripada keluaran cetak rompak. Itulah seharusnya kita sebagai pengguna yang bijak harus lakukan iaitu membeli barangan yang asli kerana kualitinya adalah jauh lebih baik dan berbaloi untuk dimilki walaupun dari sudut harga ia lebih mahal berbanding wangian cetak rompak.


Membeli belah wangian badan adalah pengalaman membeli belah yang boleh membuatkan anda semakin asyik lebih lagi jika pasaraya tersebut menyediakan ruangan khas yang mempamerkan pelbagai jenis wangian dari jenama terkemuka seluruh dunia. Selalunya pengguna yang berminat untuk membeli wangian badan akan lebih tertarik kepada kepelbagaian saiz, rekabentuk botol, harga dan jenis wangian itu sendiri. Sama ada anda menyedarinya atau tidak, anda pasti sudah biasa dengan tiga istilah yang berbeza ini iaitu Perfume , Eau de Toilette, dan Eau de Cologne. Ia boleh dilihat pada paparan info minyak wangi sama ada pada botol atau kotak pembungkusannya. Ketiga-tiga jenis wangian ini paling banyak menguasai pasaran di Malaysia yang dikeluarkan oleh jenama-jenama wangian yang berbeza.


Mengapa terdapat perbezaan terma dalam wangian badan?

Selain daripada tiga istilah ini, masih terdapat beberapa lagi istilah yang mungkin anda sendiri tidak pernah mengambil berat untuk mengetahuinya. Ketahanan jangka masa wangian bergantung kepada beberapa faktor antaranya kepekatan dan campuran aromatik atau jenis haruman minyak yang digunakan dalam pembuatan sesuatu wangian.

Disebabkan wujudnya perbezaan dari segi kuantiti campuran bahan yang digunakan serta ketahanan aroma yang didapati pada sesuatu bahan, maka istilah khusus digunakan iaitu mewakili kuantiti anggaran kepekatan atau peratusan bahan dalam produk yang dihasilkan.

Perbezaan antara Perfume, Eau de Toilette & Eau de Cologne

Tahukah anda bahawa tiga istilah yang anda lihat terpapar pada maklumat produk minyak wangi mempunyai perbezaan masing-masing? Mungkin masih ramai yang tidak jelas mengenai perbezaan di antara istilah ini serta ingin mengetahui apakah perkara yang membezakan di antara ketiga-tiga jenis haruman ini. Untuk mengelakkan kekeliruan dan kesilapan dalam memilih haruman terbaik untuk badan anda, ada baiknya jika anda mengetahui sedikit sebanyak info mengenainya supaya anda boleh membuat pilihan paling tepat dan memuaskan hati anda.

Perfume / Minyak Wangi

Wangian jenis ‘perfume’ paling mendapat tempat dan permintaan di pasaran berbanding dua pilihan lain yang dinyatakan di atas. Pengguna akan mendapatinya harga bagi perfume lebih mahal berbanding jenis yang lainnya.


Perfume mengandungi kepekatan minyak antara 15 sehingga 40 peratus. Maka tidak hairan jika anda mendapati aroma yang dihasilkan lebih menyengat, pekat dan jangka masa ketahanan penggunaannya lebih lama berbanding lain-lain jenis wangian. Kebiasaannya, aroma yang dihasilkan mampu bertahan di antara enam sehingga lapan jam. Ini disebabkan kesan daripada kepekatan kandungan minyak di dalamnya.

Pengguna akan mendapati bahawa harga bagi perfume adalah lebih mahal. Harga ini dipengaruhi oleh peratus kuantiti bahan minyak yang digunakan lebih tinggi berbanding jenis wangian lain.


Terdapat aroma perfume yang mampu bertahan dari pagi sehingga malam iaitu lebih daripada lapan jam. Kebanyakan aroma perfume dihasilkan daripada daripada ekstrak tumbuhan seperti bunga. Ia melalui proses pemeringkatan berbeza secara kimia untuk menghasilkan minyak dari tumbuhan tersebut.


Penggunaan perfume disarankan bagi pengguna yang mempunyai masalah kulit sensitif. Ini kerana kandungan alkoholnya jauh lebih rendah berbanding wangian lain. Oleh itu risiko iritasi dan kesan kekeringan pada kulit adalah lebih rendah.


Perfume kebiasaanya dijual dalam bentuk botol tuang dan bukan secara botol semburan yang biasa anda lihat di pasaran.

Eau de Toilette

Wangian ini lebih ringan. Kebiasaannya ia dijual dalam bentuk botol semburan yang menjadikan pemakaiannya lebih mudah tanpa perlu membuka penutup botol. Oleh kerana bentuknya yang lebih cair, anda boleh menghasilkan semburan ke tubuh anda dalam kuantiti yang banyak.


Kepekatan minyak atau pati minyak wangi dalam eau de toilette dianggarkan antara 4 sehingga 15 peratus. Larutan alkohol yang digunakan lebih tinggi. Oleh kerana sifat alkohol yang mudah meruwap, ia lebih mudah tersejat ke udara menjadikan tempoh masa ketahanan aroma yang dihasilkan tidak bertahan lama iaitu antara 3 sehingga 4 jam sahaja. Bau yang dihasilkannya juga kurang sengit. Walaupun anda menyemburnya dalam kuantiti yang banyak pada badan, ia mudah meruwap, menjadikan haruman yang dihasilkan tidak dapat bertahan untuk tempoh masa yang panjang.


Penggunaan eau de toilette amat disarankan bagi penggunaan untuk jangka masa pendek. Bagi mereka yang tidak ingin rakan sekerja di pejabat merasa terganggu dengan haruman yang terlalu menyengit sehingga menusuk hidung, pewangi jenis eau de toilette merupakan pilihan yang ideal untuk anda.


Berbanding pewangi jenis perfume, harga bagi eau de toilette jauh lebih murah. Ia juga antara wangian paling popular di pasaran. Mungkin kerana faktor harga yang lebih rendah menjadikan ia sebagai pilihan utama di kalangan pembeli.


Istilah eau de toilette berasal dari istilah Perancis “faire sa toilette” yang bermaksud bersiap sedia. Anda boleh memakainya pada bila-bila masa dengan lebih mudah dengan botol semburannya.

Eau de Cologne

Wangian ini mempunyai kandungan alkohol yang jauh lebih tinggi berbanding kedua-dua jenis wangian di atas. Warna cecairnya lebih cerah dan berbau segar seakan buah-buahan sitrus. Komposisi minyak wangi tulennya amat rendah berbanding alkohol dan air iaitu antara 2 sehingga 4 peratus sahaja. Ia lebih cair dan hampir menyamai air biasa. Ini menjadikan wangian jenis ini tidak bertahan lama iaitu antara 1 sehingga 2 jam sahaja.

Pewangi jenis ini cenderung menjadi pilihan golongan remaja yang masih bersekolah yang ingin mencuba wangian yang berbau lebih ringan untuk kesegaran ke sekolah.


Dari segi pembungkusan, eau de cologne biasanya disediakan dalam botol bersaiz lebih besar berdasarkan kepada keperluan semburan yang lebih kerap bagi memastikan kesinambungan haruman yang dipakai.

Kebanyakan pilihan eau de cologne disasarkan kepada golongan remaja wanita dan tidak pada golongan lelaki. Kebiasaannya harga yang ditawarkan juga jauh lebih murah menjadikan ia sebagai sasaran terbaik bagi kalangan remaja dan bagi golongan yang berpendapatan sangat rendah yang masih ingin memiliki haruman badan.


Botol pembungkusan eau de cologne biasanya daripada botol yang dihasilkan menggunakan bahan plastik, lebih ringan dan tidak mudah pecah dalam bentuk semburan.

Lain-lain pilihan minyak wangi di pasaran

Selain daripada ketiga-tiga jenis wangian ini, sebenarnya masih terdapat satu lagi istilah minyak wangi iaitu Eau Fraiche. Ia merupakan wangian yang mengandungi komposisi minyak wangi tulen terendah dan paling tidak dapat bertahan lama iaitu hanya sekitar 1 jam pemakaian sahaja. Pewangi jenis ini amat jarang didapati di Malaysia. Malah anda mungkin belum pernah menemui wangian jenis ini di mana-mana pasaraya dan kedai minyak wangi di Malaysia.

Memilih wangian terbaik untuk diri anda

Info yang dikongsikan ini diharapkan dapat memberi gambaran yang jelas mengenai perbezaan antara jenis-jenis minyak wangi yang anda boleh pilih di pasaran Malaysia. Pilihan yang terbaik untuk anda pastinya daripada jenis yang pertama iaitu Perfume atau juga dipanggil sebagai Eau de Perfume atau Parfum.


Namun segalanya bergantung kepada kesesuaian pemakaian dan pastinya wang poket akan mempengaruhi anda dalam faktor pemilihan sesuatu minyak wangi. Perkongsian maklumat ini juga diharapkan dapat memberikan sedikit gambaran kepada anda dari segi harga, kesesuaian penggunaan dan pilihan wangian terbaik yang anda boleh pilih berdasarkan keperluan dan keadaan semasa memakai wangian.

Fadhilah
Author: Fadhilah

We will be happy to hear your thoughts

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart