Info penting! 5 fakta kenapa bakal pengantin WAJIB Jalani Ujian Talasemia

Dalam menuju ke alam perkahwinan, banyak perkara perlu dipersiap bagi membina rumah tangga. Selain persediaan dari segi mental, fizikal dan persiapan majlis raja sehari, bakal pengantin juga perlu menjalani ujian saringan di klinik berdekatan. Selain ujian HIV, ujian talasemia juga penting dalam perancangan untuk membina keluarga dan generasi yang sihat.

Dalam satu kenyataan melalui The Borneo Post, didapati bahawa kira-kira 76% rakyat dewasa Malaysia mempunyai penyakit ini tetapi hanya 26% yang hadir untuk ujian saringan. Ini menunjukkan kurangnya rasa kesedaran dalam masyarakat terhadap bahaya penyakit ini.

Bagi bakal pengantin, di bawah merupakan 5 sebab pentingnya untuk anda menjalani ujian talasemia bersama pasangan sebelum berkahwin.

Jangan Abaikan Ujian Talasemia Sebelum Berkahwin. Ini 5 Sebab Kenapa Ianya Penting.

1. Mengurangkan Zuriat Risiko Menghidap Talasemia Major

Ujian saringan awal merupakan tindakan yang disarankan bagi memastikan generasi dapat dilahirkan dengan sihat. Jika seseorang sudah mengetahui status talasemia dalam badan, maka anda dan pasangan akan sedia maklum tentang risiko penyakit ini diwariskan kepada zuriatnya.

Jika anda dan pasangan kedua-duanya merupakan pembawa Beta Thalasemia iaitu penyakit talasemia jenis minor, maka anak berkemungkinan untuk menghidap Beta thalasemia Major sebanyak 25% dan Beta thalasemia Minor sebanyak 50%.

Ibu mengandung yang merupakan pembawa penyakit talasemia perlu jalani ujian prenatal untuk mengenalpasti sama ada kandungan mengalami penyakit talasemia major. Bergantung kepada keadaan, ada kes di mana ibu hamil dengan kandungan yang disahkan menghidap talasemia major mungkin akan diberi pilihan sama ada ingin meneruskan kehamilan atau sebaliknya. Ia bergantung kepada komplikasi dan risiko yang ibu dan janin perlu hadapi dari tempoh mengandung sehingga saat melahirkan.

Anak yang hidup dengan talasemia jenis beta thalasemia major perlu mendapatkan rawatan sepanjang hayat akibat penghasilan darah merah yang kurang dan tidak dapat berfungsi secara optimum.

2. Memastikan Penyakit Talasemia Terkawal

Mungkin masih ramai lagi dalam kalangan masyarakat kita yang enggan melakukan ujian saringan talasemia kerana ia kurang diberi perhatian. Malah, ada juga yang bimbang dengan keputusan yang bakal diterima.

Walaupun ujian saringan talasemia dianggap menggerunkan, namun bukan semua jenis peringkat penyakit ini berbahaya untuk individu tersebut dan warisnya. Terdapat banyak jenis talasemia yang dapat dikelas mengikut tahap keseriusannya.

Terdapat tiga tahap talasemia iaitu

  • pembawa talasemia iaitu thalasemia minor,
  • penyakit talasemia pertengahan iaitu thalasemia intermedia dan
  • penyakit thalasemia major iaitu tahap yang paling teruk.

Ujian ini tidak mengubah status kesihatan seseorang, malah merupakan langkah waspada yang baik dalam pengurusan kesihatan. Malah, jika anda disahkan mempunyai beta thalasemia trait iaitu penyakit talasemia ringan, ia tidak merbahaya dan tidak memerlukan sebarang rawatan.

Anda tidak perlu khuatir untuk jalani ujian ini jika selama ini tubuh terasa sihat dan tiada gejala penyakit talasemia serius. Contohnya seperti keadaan badan yang pucat dan lemah serta anemia yang serius sehingga menyebabkan sesak nafas.

3. Dapat Mengenal Pasti Tahap Kesihatan Sebelum Berkahwin

Setiap pasangan mengimpikan untuk melahirkan generasi yang sihat tanpa sebarang masalah kesihatan. Tindakan menjalani ujian saringan talasemia adalah langkah bijak dan menandakan bahawa anda seorang yang berfikiran matang demi kesejahteraan keluarga yang bakal dibina.

Ramai yang terkejut apabila anak mereka disahkan menghidap talasemia. Ada juga yang saling menyalahkan kerana tidak dapat menerima kenyataan. Ini kerana, membesarkan anak talasemia bukan semudah disangkakan. Bahkan, ia menuntut komitmen yang tinggi. Dengan menjalani ujian saringan talasemia sebelum berkahwin, sebarang salah faham dapat dielakkan.

4. Khidmat Kaunseling Untuk Penyakit Ini

Sekiranya anda dan pasangan sanggup menerima risiko dalam mengahwini pasangan yang merupakan pembawa penyakit ini, anda dan pasangan akan dirujuk bagi sesi kaunseling bagi membincangkan kebarangkalian zuriat anda untuk mewarisi penyakit ini.

Kebarangkalian penyakit talasemia yang berisiko kepada bayi yang bakal dilahirkan adalah berbeza-beza bergantung kepada tahap talasemia yang dibawa oleh ibu bapa. Kaunseling juga akan diberikan kepada pesakit yang pertama kali menyedari statusnya sebagai seorang pembawa penyakit talasemia.

Dengan khidmat ini, anda akan diberi maklumat berkaitan pengurusan kesihatan dan diet yang perlu dijaga untuk kesihatan darah dalam badan pada masa akan datang.

5. Mengurangkan Risiko Komplikasi Ketika Hamil

Pasangan pembawa talasemia bukan sahaja dikhuatiri melahirkan anak dengan penyakit ini, malah ia juga mendedahkan risiko kepada ibu mengalami komplikasi ketika mengandung dan melahirkan anak.

Ibu mengandung yang merupakan pembawa talasemia mempunyai risiko untuk mengalami anemia. Anak dalam kandungan yang menghidapi alpha thalasemia major berisiko untuk meninggal dalam kandungan atau semasa dilahirkan.

Ibu mengandung pula dikhuatiri untuk berhadapan dengan komplikasi yang tidak diingini seperti preeklampsia dan tumpah darah semasa bersalin yang boleh mengancam nyawa.

Fadhilah
Author: Fadhilah

We will be happy to hear your thoughts

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart