Punca Dalaman Keretakan Rumah Tangga, 5 Tips Untuk Pengantin Baru Bina Hubungan Dengan Ipar

Apabila kita mengambil keputusan untuk berkahwin dengan pasangan kita, ketahuilah yang kita sebenarnya perlu untuk menerima semuanya mengenai keluarganya juga. Perkahwinan itu sendiri melibatkan penyatuan dua keluarga dengan ikatan seorang lelaki dan perempuan melalui akad nikah, lalu bagaimana mungkin kita boleh mengambil sikap tidak “menghiraukan”. Tidak bolehlah seperti itu. Bina hubungan dengan ipar secara baik dan layan mereka elok-elok seperti mana kita layan ahli keluarga kita sendiri.

Bagaimana nak bina hubungan baik denga ipar kalau suka membeza-bezakan?

hubungan dengan ipar

Wajar, bagi seorang pengantin baru yang berasa kekok apabila berhadapan dan perlu melayani ipar-duai. Namun kecanggungan itu perlulah diubah agar kita sendiri tidak menjadi ipar dari neraka. Pertama sekali untuk wujudkan hubungan dengan ipar yang baik adalah kita perlu buka dan menerima dengan hati yang lapang apa jua perubahan yang berlaku selepas berkahwin.

Sememangnya mereka yang sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga perlu bersedia secara fizikal dan mental kesemuanya. Kita perlu faham akan komitmen dan tanggungjawab yang seharusnya dipikul bergelar suami dan isteri.

Kedua, jangan selalu berburuk sangka. Sebagai ipar khususnya apabila kita melihat isteri adik atau abang kita seperti tidak ramah, tidak bersosial atau mesra dengan adik-beradik kita, jangan meletakkan perpektif bahawa mereka tidak mempunyai peribadi yang baik seperti sombong.

5 Tips bagi pengantin baru bina hubungan dengan ipar

Sebagai konsep asas dalam membina hubungan dengan ipar, kita boleh cuba lakukan perkara seperti di bawah ini:

1. Jangan masuk campur dalam hal adik-beradik pasangan

hubungan dengan ipar

Elakkan jadi penasihat atau orang tengah dalam perselisihan yang berlaku iaitu masalah adik-beradik pasangan. Sekiranya pasangan mahu meluahkan atau berkongsi cerita, biarlah kita hanya menjadi sebagai pendengar. Hal ini dikhuatiri kita mungkin menjadi punca masalah mereka bertambah teruk.

2. Jangan sibuk beri pendapat, idea, nasihat atau cadangan

Ada sesetengah adik-beradik yang mempunyai hubungan sangat erat sehingga sukar menemukan rahsia diantara mereka. Adik-beradik yang seperti ini kadang kala tidak suka “orang luar” melebih-lebih berbanding keluarga mereka sendiri.

Jadi hati-hati dan sebaiknya kita tidak memandai-mandai memberikan pendapat, idea, nasihat atau cadangan sekiranya tidak diminta untuk membuat demikian.

3. Jangan ceritakan keburukan pasangan dan masalah rumah tangga

Seburuk mana pun adik-beradik mereka, mereka masih mempunyai pertalian darah dari ibu dan ayah yang sama. Oleh yang demikian, jangan sesekali kita menceritakan keburukan pasangan dan masalah rumah tangga pada adik-beradik pasangan.

Sebab kita sendiri tidak tahu bagaimana penerimaan mereka. Boleh jadi mereka bertindak sebagai pendamai atau juga batu api yang mengeruhkan lagi hubungan rumah tangga sendiri.

hubungan dengan ipar

4. Jangan terlalu aktif dalam WhatsApp Group keluarga pasangan

Tidak perlu berkongsi apa-apa berkaitan dengan hal keluarga kerana takut niat kita disalahertikan. Tidak semua berlapang dada membaca apa jua hantaran dan perkongsian yang kita buat.

5. Jangan ceritakan kesenangan kita dan pasangan

Ada kesenangan simpan jangan dicerita. Dapat kemewahan diam jangan menunjuk-nunjuk. Ini untuk mengelakkan rasa iri hati antara ipar duai dan rumah tangga kita.

Terima dengan ikhlas, ipar juga manusia biasa tidak sempurna

Bila adik-beradik kita berkahwin dengan seseorang. Layanlah ipar itu baik-baik. Kalau boleh jangan di beza-bezakan ipar ini dengan ipar itu. Ipar ini mungkin rajin di dapur. Tapi ipar itu pula tak kedekut hulur duit atau belanja. Sama-sama ada baiknya.

Buruk ipar ini jangan di jaja pada ipar lain. Kalau ipar ini bermasam muka dengan ipar itu, kita mesti jadi penyejuk dan pendamai. Bukan pengadu domba yang akan memburukkan lagi situasi rumah tangga adik-beradik kita.

hubungan dengan ipar

Jangan menunutut ipar itu sempurna di mata kita. Sebab dia kahwin dengan suadara kita, bukan dengan kita. Dia mungkin sempurna pada mata saudara kita. Bukan di mata kita.

Jangan memaksa agar ipar itu ikut gerak geri keluarga kita. Kerana dia dibesarkan oleh mak ayahnya dengan cara berbeza. Dia tidak dibesarkan di dalam keluarga kita.

Sebolehnya, jadilah ipar yang memberi ketenteraman dan kebaikan agar rumah tangga adik-beradik kita berkekalan. Bukannya jadi ipar dari neraka yang suka melihat rumah tangga keluarga hancur dan bercerai berai.

Hannani Juhari
Author: Hannani Juhari

1 Comment
  1. […] adalah sejenis fobia yang membuatkan seseorang itu takut untuk memiliki komitmen lebih serius seperti berkahwin atau dalam kata lainnya dia takut untuk berkahwin. Namun yang […]

Leave a Reply

Wedpedia
Logo
Register New Account
Shopping cart